Anda pernah dengar tentang penyakit angin pasang? Penyakit ini turut dikenali dengan nama hernia dikalangan para doktor. Untuk pengetahuan anda hernia ini adalah salah satu jenis penyakit yang banyak berlaku dan hingga kini ia terus berlaku di mana-mana.
Bagi anda yang tertanya-tanya apakah sebenarnya hernia ini dan bagaimana pula ianya boleh berlaku, di sini akan dikongsikan beberapa info mengenai hernia dan semoga dengan perkongsian ini dapatlah anda lebih faham apakah hernia ini sebenarnya.
Hernia ini selalunya akan berlaku disebabkan oleh kelemahan atau kecederaan pada otot. Serangan juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian pusat di celah kelangkang atau bahagian perut yang mempunyai rongga seperti diafram antara dada atau perut.
Sebahagian besar komponen hernia ini pula adalah organ yang terdapat di dalam perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus. Serangan ini disebabkan satu benjolan organ atau tisu yang masuk melalui bukaan abnormal.
Ada beberapa jenis hernia dan ianya adalah bergantung kepada tahap pesakit itu sendiri. Ada hernia yang berlaku secara dalaman dengan berada di dalam bahagian tubuh hingga tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Dan ada juga hernia yang berlaku pada secara luaran terutama pada bahagian otot pemisah antara bahagian perut dan dada hingga menyebabkan pembentukan diafragma yang tidak sempurna.
Yang pasti, antara jenis hernia yang paling kerap berlaku adalah hernia inquinal yang selalunya akan muncul pada bahagian lipatan paha dan yang keduanya pula adalah umbilical hernia yang sering muncul pada kawasan pusat (umbilikus).
Hernia ini lebih banyak dihidapi lelaki kerana risiko seorang lelaki menghidap hernia inguinal adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding golongan kaum wanita.
Malah sebahagian besar bayi baru lahir yang menghidap masalah ini adalah dari kalangan bayi lelaki juga jika hendak dibandingkan dengan bayi perempuan. Golongan kanak-kanak lelaki turut tidak terkecuali dengan jumlah yang agak besar untuk penyakit ini.
Manakala hernia yang terjadi pada orang dewasa pula biasanya akan berlaku di saat ketika usia telah semakin lanjut. Ini kerana pada waktu tersebut otot dinding rongga abdomen telah mula menjadi lemah. Seiring dengan usia yang semakin berumur maka organ dan jaringan tubuh juga akan ikut mengalami proses kemerosotan untuk terus berfungsi dengan baik seperti di usia muda.
Hernia boleh dikesan secara luaran oleh pesakit itu sendiri. Mengesan hernia pada golongan lelaki dewasa pula adalah jauh lebih mudah daripada mengesan hernia pada bayi. Ketika membuang air besar pula contohnya, orang lelaki dewasa boleh merasai ada benjolan yang muncul pada bahagian perut.
Mungkin ada yang menganggap hernia ini adalah penyakit biasa yang sering berlaku pada golongan lelaki. Namun percaya ataupun tidak hernia ini sebenarnya adalah sangat berbahaya. Menurut info, hernia ini jika terus dibiarkan tanpa mengambil langkah awal yang sewajarnya akan menyebabkan masalah pada pembuluh darah di kawasan yang berkenaan.
Malah hernia ini juga akan menyebabkan pesakit mengalami masalah iskemia di mana tisu yang ada pada tubuh akan mengalami masalah kekurangan oksigen. Secara tidak langsung ia akan menyebabkan berlakunya lambakan toksin yang kemudiannya akan tersebar melalui pembuluh darah sehingga ke serata tubuh.
Antara simptom yang boleh dijadikan sebagai tanda peringatan awal bahawa diri sedang berhadapan dengan masalah hernia ini adalah seperti :
Pada masa ini, telah ada beberapa jenis rawatan untuk bantu pulihkan pesakit dari masalah hernia. Ianya adalah dalam bentuk pembedahan dan terdapat dua kaedah pembedahan untuk merawat hernia ini iaitu secara konvensional (memerlukan torehan yang agak besar) dan juga secara teknik laparoskopik (hanya perlu lakukan torehan kecil).
Tidak kira sama ada secara konvensional mahupun laparoskopik, si pesakit tidak perlu bimbang kerana pembedahan ini akan dilakukan dengan cara pesakit di bius sepenuhnya. Dalam erti kata lain pesakit tidak akan berasa apa-apa kerana akan di bius secara keseluruhan.
Malah proses pemulihan juga akan berlaku dengan sangat cepat. Ramai pesakit telah melaluinya dan selepas pembedahan pesakit telah boleh menjalani aktiviti normal dalam kehidupan semula hanya dalam masa beberapa minggu sahaja selepas selesai pembedahan.
Bagi pesakit yang menjalani rawatan dengan cara teknik laparoskopik pula, sebanyak tiga torehan kecil sepanjang lima hingga 10 milimeter akan dilakukan dan sememangnya rawatan ini memerlukan kepakaran yang tinggi dari doktor pakar yang terpilih.
Bagi pembedahan laparoskopik, pesakit mengalami kesakitan amat kurang manakala risiko jangkitan kuman juga rendah berbanding pembedahan konvensional. Ini kerana luka yang dilakukan hanya kecil saja dan proses penyembuhan juga akan berlaku dengan lebih cepat.
Jangan risau kerana risiko untuk penyakit ini berulang adalah sangat rendah. Walaubagaimanapun peratus kes ulangan masih tinggi. Sememangnya pesakit hernia masih berisiko untuk mengalaminya semula dalam masa yang tertentu bergantung kepada tubuh si pesakit itu sendiri.
Kerana itu setiap pesakit yang telah selesai menjalani pembedahan untuk hernia amat dinasihatkan supaya mulakan amalan gaya hidup sihat dengan segera. Pesakit hendaklah berhenti merokok dan jika sukar membuang air, segera berubat dan elakkan meneran ketika sedang membuang air besar.
Para pesakit ini juga disarankan untuk melakukan kerja yang lebih ringan dan cuba juga turunkan berat badan kerana berat yang berlebihan dengan kerja yang berat-berat boleh menyebabkan organ berkenaan pecah sehingga boleh membawa maut.