Tanpa sedar,sebenarnya kita sebagai ibu bapa memberi pengaruh yang sangat besar terhadap perlakuan dan karektar anak-anak.
Benarlah kata pepatah. Anak-anak yang baru lahir adalah ibarat kain putih, kita sendiri yang mencorakkannya. Jika corak batik yang kita lukiskan padanya, cantiklah kain tersebut. Jika hanya sekadar contengan kasar dan tanpa tujuan, tidak berapa eloklah kualiti kain tersebut.
Jangan lupa, anak-anak lebih banyak belajar dengan memerhati perlakuan kita berbanding mendapat arahan dari kita.
Jadi sekiranya kita buntu untuk mengawal tingkah laku anak-anak yang sering tidak dijangka, semak dahulu tingkah laku dan tabiat kita, lebih-lebih lagi apabila dihadapan mereka.
Disini saya senaraikan 5 cara bagaimana kita sendiri membentuk anak-anak yang suka meragam tanpa kita sedari.
Di hujung minggu, kita berhasrat untuk menggembirakan anak-anak dengan membawa mereka ke taman permainan. Dalam perjalanan pulang, kita singgah di pusat beli-belah – kebetulan ternampak iklan Sale pula.
Keluar dari membeli belah, lapar pula. Kalau balik rumah tak sempat nak masak. Jadi, singgah di restoran untuk makan tengah hari. Anak-anak sudah menunjukkan tanda kepenatan.
Diwaktu malam, ada jemputan makan malam di rumah rakan baik anda. Pada mulanya, anak-anak kelihatan ok. Tidak sampai satu jam, mereka sudah mula membuat perangai. Ada yang bergaduh dengan anak-anak rakan anda, ada juga menangis tidak berhenti tanpa sebab. Semua yang anda lakukan, semuanya mendapat respon tidak baik dari anak anda.
Anda buntu. Anda memilih untuk pulang ke rumah cepat tanpa sempat berbual-bual dengan rakan anda.Pernah mengalami situasi seperti ini?
Reflek kembali apa yang anak anda lakukan semenjak bangun dari tidur pagi tersebut.
Kita seringkali terlepas pandang perkara ini, tetapi tanpa sengaja, kita sering mempunyai terlalu banyak aktiviti dalam satu hari.
Disebabkan itu, anak anda mendapat rehat yang tidak cukup hingga mengganggu emosi mereka.
Lumrah kanak-kanak, mereka gemar bermain. Bermain bukan sahaja meransang otak mereka untuk menjadi lebih bijak. Dengan bermain, mereka dapat mengembangkan pelbagai skil baru seperti berkawan, berdaya imaginasi sekaligus meneroka pelbagai ilmu baru.
Ketahuilah, masa bermain yang tidak mencukupi untuk hari tersebut boleh menyebabkan anak anda menjadi kuat meragam.
Masa bermain yang tidak mencukupi selalunya berpunca dari aktiviti ibu bapa yang terlalu padat dalam hari tersebut.
Bayangkan jika anda tidak boleh berbuat apa yang anda gemari seperti biasa, mood anda untuk hari tersebut juga akan terjejas. Inikan pula anak-anak!
Walau apa pun aktiviti yang anda rancang dalam hari tersebut, pastikan ia tidak terlalu padat sehingga menjejas masa bermain anak anda.
Sikap dan tabiat yang tidak elok. Bukan anak-anak. Tetapi kita sendiri!
Pernahkan anda perasan, mood anda atau pasangan pasti akan bertempias pada anak-anak?Sekiranya baik mood anda pada hari tersebut, baik jugalah kelakuan dan tingkah laku anak-anak.
Oleh itu, sebagai ibubapa, walau apa pun stress yang anda alami diluar rumah – sama ada dengan kawan-kawan, ditempat kerja ataupun dengan pasangan sekalipun, jangan sesekali membawa stress tersebut pulang ke rumah. Tinggalkan sahaja diluar pagar dan ukirkan senyuman seluas-luasnya!
Kerana setiap kali anda pulang ke rumah, anak-anak pasti akan tertunggu kepulangan anda. Kasihanilah mereka. Jangan melepaskan kekecewaan dan amarah anda pada insan sangat mengharapkan belaian anda.
Anak-anak memerlukan waktu tidur yang lebih panjang berbanding orang dewasa. Sekalipun mereka gemar bangun awal, pastikan mereka mendapat jumlah tidur yang mencukupi.
Anak-anak yang tidur lambat pasti akan menjejaskan mood mereka keesokan harinya.Mereka mungkin kelihatan masih segar setiap kali waktu tidur mereka tiba. Tetapi cuba latih mereka untuk tidur waktu yang sama setiap hari.
Jangan mementingkan diri sendiri dan melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan waktu tidur mereka.
Persekitaran yang tidak anak anda biasa boleh juga menjejaskan mood anak anda. Terutamanya untuk anak-anak yang lebih banyak atau lebih suka menghabiskan masa dirumah.
Mari saya berikan tips yang boleh anda cuba terutamanya sebelum anda pergi bercuti ke tempat yang baru.
Sebelum pergi, perkenalkan pada anak-anak tempat yang bakal mereka lawati. Bercerita serba sedikit tentang tempat tersebut, dan tunjukkan gambar-gambar yang menarik pada mereka.
Jelaskan pada mereka, apa yang patut mereka jangka sepanjang trip tersebut.
“Kita satu keluarga nak pergi melancong ke Melbourne minggu depan. Ummi nak bawa anak-anak soleh ummi ni berjalan-jalan. Tapi kita kena naik kapal terbang 8 jam tau.
Boring sikit, tapi bila dah sampai mesti semua seronok. Tempat tu sejuk sikit dari Malaysia. Kena pakai baju tebal tau”.
Ceritakan apa sahaja. Jadikan percutian tersebut sebagai sesuatu aktiviti keluarga yang menarik.
Anda juga tidak suka sekiranya tiba-tiba dibawa ketempat yang tidak dijangka tanpa diberitahu. Jadi, jangan lakukan perkara yang sama pada anak-anak anda.
Setiap anak-anak pasti mempunyai karekter yang berbeza. Kenalpasti karekter mereka dan anda pasti dapat mengenalpasti apa yang mengganggu mood anak anda.
Dimasa hadapan, bolehlah anda mengelak dari mengulangi kesilapan yang sama. Ayuh berusaha menjadi ibu bapa yang lebih baik dari sebelumnya.