Kisah ini semasa saya di taman permainan berhampiran dengan rumah bersama dengan anak-anak. Ketika sedang melayani anak-anak bermain, datang beberapa orang kanak-kanak lelaki sekitar usia 7-9 tahun datang bermain berhampiran dengan saya.
Pada mulanya, saya hanya fokus pada melayani anak-anak sahaja dan membiarkan sahaja kumpulan kanak-kanak lelaki itu bermain. Tetapi, tidak beberapa lama selepas itu, kanak-kanak tersebut mula bergaduh dan mencarut sesama mereka dengan perkataan-perkataan yang tak sanggup saya nak tulis di sini.
Tidak lagi dapat menahan perasaan, secara automatik saya pergi ke tempat kanak-kanak itu bermain dan terus menegur.
“Adik! Tak boleh mencarut! Tak baik! Berdosa! Allah tak suka.”
“Tak mau mencarut dah lepas ni ya, pakcik tak mau dengar dah adik-adik mencarut, main elok-elok.”
Kanak-kanak itu seolah tersentak dan hanya menjawab, “baik, pakcik.”
Mujurlah teguran itu diterima dengan baik dan selepas itu tidak ada lagi carutan yang kedengaran sepanjang saya bermain dengan anak-anak di situ.
Terfikir saya, macam mana anak-anak semuda itu boleh mencarut?
Dengan sifat anak-anak yang akan meniru apa sahaja yang diikutnya, tidak mustahil anak-anak ini mula belajar mencarut di rumah dari ahli keluarga yang suka mencarut.
Mungkin juga anak-anak ini belajar mencarut dari rakan-rakan sebanyanya di sekolah.
Mungkin juga dari rancangan televisyen, Internet dan bahan-bahan bacaan yang dibaca.
Saya yakin, tidak ada ibu bapa yang waras akalnya yang suka anak-anaknya mencarut. Justeru itu, sebagai ibu-bapa, memang kita kena kawal banyak benda, termasuklah bahasa yang digunakan oleh anak-anak kita.
Untuk mengawal anak-anak kita dari mencarut, ada tiga langkah yang perlu ibu bapa laksanakan.
Ibu bapa jangan sesekali mencarut di rumah dan lebih penting, jangan mencarut di hadapan anak-anak. Bahkan sebenarnya, jangan sesekali mencarut walau sekali.
Anak-anak perlu diajar bahawa mencarut adalah salah dan berdosa. Tidak ada yang ‘cool’ bila mencarut walaupun ada selebriti-selebriti dari kalangan artis atau orang-orang terkenal yang suka melakukannya.
Jika tidak diajar bahawa mencarut adalah salah sejak kecil, bimbang jika bila anak-anak telah meningkat remaja, mencarut menjadi mainan bibir akibat dari pengaruh rakan-rakan atau selebriti di facebook yang suka mencarut.
Kenakan hukuman terhadap anak-anak yang mencarut, walaupun tersasul. Polisi tiada toleransi terhadap bahasa yang buruk mestilah diwujudkan di rumah. Hukuman boleh dalam bentuk menahan belanja sekolah, tidak membenarkan anak-anak keluar bermain dan menonton televisyen, dan akhir sekali, rotan juga boleh digunakan.
Bahasa melambangkan apa yang ada di dalam hati dan kesopanan adalah warisan agama yang perlu dipelihara, jangan biarkan bahasa carutan menjadi budaya di kalangan anak-anak kita.