“Faris ni berapa kali mama cakap jangan buat macam ni, Faris nak mama pukul ke atau nak mama kurung Faris dalam bilik air?” marah seorang ibu kepada anaknya.

Situasi begini normal berlaku dalam kalangan ibu dan anak. Tetapi jika situasi seperti ini berterusan, ia boleh menyebabkan tekanan kepada ibu dan anak itu sendiri. Oleh itu, si ibu perlu bijak dalam mengawal emosi bagi mengelakkan perkara negatif berlaku kelak.

emosi anak

Mana-mana ibu sekalipun akan merasa rimas apabila melihat keadaan anak yang menangis dan tidak mendengar kata bila berada di luar rumah contohnya di pusat membeli belah kerana merengek untuk membeli barang mainan atau  benda yang menarik perhatiannya. Bagi si anak, menangis merengek dan berguling itu merupakan tiket untuk meraih sesuatu yang diingininya. Situasi seperti ini memang menguji kesabaran dan emosi ibu bapa, segelintir daripadanya mengambil jalan mudah iaitu dengan membeli apa yang diingini anak mereka, ada juga yang menggunakan jalan penyelesaian dengan memukul atau mencubit anak mereka dan membuatkan anak mereka menangis lebih kuat serta menjadi perhatian orang ramai, tidak kurang juga yang tidak mengendahkan anak-anak mereka dengan membiarkan anak menangis.

Mengambil tindakan memukul dan memarahi anak merupakan satu tindakan yang dipengaruhi emosi amarah dan ini adalah suatu tindakan yang kurang bijak. Sebagai seorang dewasa dan matang, seorang ibu atau ayah perlu menangani masalah berkaitan dengan anak-anak mereka dengan lebih bijak iaitu perlu mengawal emosi anda kerana tindakan yang dipengaruhi emosi bukan sahaja menambahkan lagi tekanan pada anda tetapi boleh membahayakan si kecil itu sendiri.

Si ibu boleh menggunakan kelembutan dalam menasihati anak dan ini akan membuatkan anak lebih hormat kepada anda seperti, “anak mama sayang. Jangan nangis, nanti mama belikan adik benda yang lebih baik lagi untuk adik daripada mainan ini. Jangan menangis macam ni, anak mama kan comel.”

Berilah peluang kepada si kecil untuk luahkan apa yang dia sedang rasakan. Dengarlah bicaranya walaupun kadangkala perkara yang dikatakan tidak logik, dengan itu si anak akan merasa lebih dihargai. Selalunya ibu bapa akan meninggikan suara dan menyuruh anaknya diam, ketika mereka sedang marah, anak akan fikir bahawa anda tidak memahami perasaannya.

Si kecil akan lebih merasa dihargai apabila anda melayan mereka dengan cara yang betul iaitu tidak menambahkan bara yang sudah sedia ada pada mereka serta pujilah sikap positif yang ditunjukkan oleh mereka dan ini merupakan motivasi untuk mereka meneruskan tindakan yang baik.

 

Kredit gambar kepada :http://www.sheknows.com

 

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.