Apakah amalan terbaik yang boleh dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan? Inilah amalan yang disarankan Rasulullah SAW!

Setelah menjalani 20 hari dalam bulan Ramadan, Allah SWT telah menyediakan hadiah paling istimewa pada umat mulim pada 10 malam terakhir. Selain malam Lailatul Qadar, amalan ibadah pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan juga dilipatgandakan.

Rasulullah SAW juga sangat memanfaatkan waktu-waktu pada 10 hari terakhir dengan bersungguh-sungguh mendirikan ibadah melebihi kesungguhan Baginda beribadah di waktu lainnya. 

“Dari Aisyah RA, Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan), melebihi kesungguhan beribadah di selain (malam) tersebut.

(Hadis Riwayat Muslim)

Namun, apakah amalam pada 10 malam terakhir yang kerap dilakukan oleh Rasulullah dengan pahala yang besar?

Berikut beberapa amalan yang terbaik dan disarankan untuk dikejarkan pada 10 malam terakhir Ramadan:

1. Memperbanyak Solat Malam 

Seperti yang disampaikan oleh Aisyah RA:

“Rasulullah SAW. biasa ketika memasuki 10 Ramadan terakhir, beliau memperketatkan ikatan pinggang (bersungguh-sungguh dalam ibadah), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini jelas menyatakan baahwa pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, Rasulullah SAW tidak tidur, malah Baginda dan para sahabat menjauhkan diri dari tempat tidur.

Baginda akan menghidupkan malam-malam dengan beribadah, mendirikan solat, berzikir sehingga waktu malam berakhir.

2.  Beriktikaf 

Beriktikaf adalah keadaan yang sesorang itu berada di masjid, tidak keluar dari masjid melainkan memenuhi hajatnya sebagai manusia.

Itikaf sangat dianjurkan pada setiap waktu, tetapi lebih digalakkan sebaik menginjak 10 malam terakhir Ramadan.  

Setiap kali tiba 10 malam terakhir Ramadan, Baginda SAW akan beriktikaf.

“Bahawa Nabi SAW beritikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari. Tetapi beritikaf 20 hari pada tahun kewafatannya”

(Hadis Riwayat Bukhari)

3.  Memperbanyak Bacaan Al-Quran Dan Berzikir

Ramadan adalah bulan al-Quran. Pada bulan inilah digalakkan untuk melebihkan bacaan al-Quran melebihi bulan lainnya.

Ibadah ini menjadi ibadah yang disarankan sepanjang 10 hari terakhir Ramadan. Membaca al-Quran dilihat sebagai iabdah yang mudah dan ringan untuk dilaksanakan, bahkan jika dapat mengkhatamkan 30 juzuk sepanjang Ramadan ada;ah sangat baik.

4. Qiyamullail

Dari Abu Hurairah RA berkata Baginda SAW;

“Sesiapa yang melakukan qiyam pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan segala dosa-dosanya yang lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Berqiyamulail adalah mendirikan solat pada sepertiga malam, di kala waktu yang sunyi dengan bersendirian.

Mestilah tidur sebentar dan bangun semula pada tengah malam hari untuk mendirikan solat sunat tarawih, tahajjud, taubat, hajat, tasbih dan witir, termasuklah tilwah al-Quran, berzikir dan sebagainya.

5. Bersedekah 

Selain membayar zakat yang diwajibkan. Perbanyakkan juga bersedekah kerana ganjaran pahalanya yang begitu besar.

Bersedekah juga akan membuka pintu rezeki, melapangkan dada dengan ketenangan dan sebagai tanda kita bersyukur.

Apatah lagi di waktu 10 amalan terakhir, bersedekah juga akan menyepurnakan ibadah kita dalam bulan Ramadan selain menjalani ibadah puasa.

6.  Bertaubat dan Istighfar

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk bertaubat dengan kesalahan yang lalu, termasuklah menginsafi diri dengan memperbanyak istighfar. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristighfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Baginda banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah meskipun telah dipelihara daripada kesilapan dan perlakuan dosa.

Jadi, sangat disarankan untuk membasahkan lidah dengan sentiasa bersitigfar di hari-hari terakhir Ramadan.

7. Mengejutkan Ahli Keluarga Dan Beribadah Bersama

Ada ketikanya, Baginda SAW tidak bersendirian beribadah. Baginda akan mengajak ahli keluarga Baginda untuk sama-sama menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan.

 Diceritakan oleh Saidatina Aisyah RA bahawa;

“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut.”

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

8. Berzikir

Berzikir adalah amalan yang mudah, namun sangat besar ganjarannya. Berzikir boleh dilakukan di mana-mana pun, pada bila-bila masa pun.

Bukan sahaja mendekatkan diri dengan Allah SWT, berzikir akan membuatkan hati menjadi tenang, memelihara hati dan lidah daripada perkara munkar selain menjadikan diri sebagai seorang mukmim yang lebih bertakwa.

9. Berselawat

Berselawatlah kepada Rasulullah SAW sebanyaknya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam  surah al-Ahzab : 56;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkan salam penghormatan kepadanya.”

Dengan berselawat bukan sahaja sebagai lambang kecintaan kepada Nabi, tetapi akan turut mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

Penutup: Malam Lailatul Qadar Adlah Hadiah Istimewa Pada 10 Malam Terakhir

Bulan Ramadan hanyalah hadir sekali dalam setahun. Bahkan hadiah malam terbaik dari 1000 bulan juga terdapat dalam bulan Ramadan. Demi  mendapatkan kemuliaan malam Lailatul Qadar itulah umat Islam dianjurkan untuk meningkatkan amalan dan ibadah terutamanya pada 10 malam yang terakhir.

Dengan itu, jadikanlah Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam mengejar ibadah pada 10 malam taerakhir Ramadan. Barangkali dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam beribadah akan dianugerahkan dengan malam Lailatul Qadar. Amin!

Rujukan:

  1. TZKRH.com
  2. Utusantv.com
  3. Sinarplus
  4. FB Ustaz Wadi Anuar

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.