Hadirnya Islam membawa perubahan yang cukup besar kepada kaum wanita khususnya. Agama Islam telah membaiki darjat dan perlakuan manusia kepada wanita. Sehinggakan dalam Al-Quran sendiri, Allah SWT menjelaskan bahawa kedudukan wanita dalam Islam adalah sama dengan lelaki. Wanita yang kedatangan haid contohnya mempunyai banyak kelebihan yang kita sendiri pun tidak pernah terfikir sebelum ini. Kecintaan Islam kepada kaum wanita sehingga diberikan panduan mengenai amalan ketika haid yang boleh dilakukan dalam keadaan mereka tidak suci.

Membaca Al-Mathurat

Amalan ketika haid yang pertama adalah membaca Al-Mathurat. Untuk pengetahuan anda, zikir ma’thur adalah zikir yang diambil daripada Al-Quran dan Hadis. Manakala Al-Mathurat adalah himpunan zikir dari Nabi Muhamamad SAW. Tokoh yang bertanggungjawab untuk menyusun zikir ini adalah Al-Imam As-Syahid Hasaan Al-Banna (pengasas dan pemimpin gerakan Ikhwan Al-Muslimin).

Dalam Al-Quran, ada disebutkan tentang galakan membaca Al-Mathurat ini.

Dan sebutkanlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” – (Surah Al-Araf, ayat 205)

Wanita ketika haid boleh membaca Al-Mathurat walaupun ia ada mengandungi beberapa potongan ayat Al-Quran, doa, dan zikir. Namun wanita yang sedang haid mestilah niat untuk membacanya sebagai zikir. Bahkan dibolehkan untuk memegang buku Al-Mathurat kerana kedudukannya tidak sama dengan mushaf Al-Quran sebenar.

Beristighfar

Amalan yang mudah dan banyak kelebihannya tetapi sangat sukar dan berat untuk orang lakukan adalah beristighfar. Ibnu kathir ada berpesan, “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan:

  • Memudahkan rezekinya
  • Memudahkan urusannya
  • Menjaga kekuatan jiwanya

Ibnu Qayyim pula berkata:

“Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”

Lafaz istighfar yang biasa kita baca adalah:

“Astaghfirullah hal ‘azim”, atau

“Astaghfirullah hal ‘azim allazi laa ilaaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih”

Mencari ilmu

.

Ilmu adalah keperluan yang sangat penting bagi semua manusia. Manusia boleh menikmati kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat jika mencari ilmu, dan beramal dengannya.

Maka tidak hairanlah ulama-ulama zaman dulu begitu serius dalam menuntut ilmu dan kebaikannya boleh kita peroleh hari ini bila mana banyak rujukan tentang agama Islam boleh kita dapatkan dengan mudah dari kitab tulisan mereka ataupun pandangan mereka terhadap persoalan yang berlaku dalam masyarakat.

Begitu juga hari ini, menuntut ilmu boleh menjadi amalan wanita ketika haid. Ada masa-masa lapang yang selalunya kita wajib untuk solat tetapi ketika haid ambil peluang itu untuk menimba ilmu dengan membaca buku ataupun mengikuti pengajian ilmu.

Bertaubat

Salah satu nikmat yang paling besar Allah berikan kepada hamba Nya adalah kesempatan untuk bertaubat sebelum meninggal dunia. Bertaubat bukan tunggu tatkala kita melakukan dosa sahaja.

Sebagai manusia, sudah semestinya kita tidak akan lari dari berbuat dosa sama ada besar atau kecil, sengaja atau tidak.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.” – (Surah At-Tahrim, ayat 8)

Hanya dengan bertaubat sahaja, dapat menghilangkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Mendengar bacaan Al-Quran

Banyak peranti digital hari ini sama ada dari platform podcast murottal Al-Quran sendiri, YouTube, MP3 Al-Quran, atau sebagainya ada menyediakan bacaan Al-Quran dalam bentuk audio. Jadi amat mudah untuk kita bawa kemana-mana dan dengar pada bila-bila masa.

Berzikir

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Tidak ada kaum/seseorang yang berzikir kepada Allah kecuali mereka dikelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh rahmat, turun kepada mereka ketenteraman, dan Allah menyebut mereka ketenteraman, dan Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang disisi.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Zikir ini amat penting kerana dengan berzikir menandakan bukti kita sentiasa mengingati Allah. Bahkan kerana pentingnya berzikir ini, Al-Imam Ibn Al-Qyyim pernah menempelak kumpulan manusia yang berat lidahnya untuk berzikir menyebut dan mengingati Allah.

Kata Ibn Al-Qayyim: “Seberat-berat hukuman yang dikenakan di dunia adalah Allah menghentikan lisan kamu dari mengingatinya.”

Baca buku agama atau bahan ilmiah

Apa sahaja buku yang mampu memberikan kita ilmu pengetahuan yang bermanfaat ia amat digalakkan untuk dibaca. Tidak habis sehari satu buku, dapat baca setengah buku sehari pun memadai.

Banyakkan berdoa

Firman Allah SWT dalam Al-Quran,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” – (Surah Ghafir, ayat 60)

Berdoalah dimana sahaja kita berada, dan pada bila-bila masa kerana dengan berdoa membuktikan yang kita bukan hamba Nya yang sombong.

Mencuci telekung solat

Wanita ketika haid boleh mengumpul pahalanya dengan mencuci pakaian untuk solat. Jika wanita biasanya adalah telekung dan kain sarung. Apabila pakaian solat yang digunakan untuk menghadap Allah bersih, ia akan menambahkan lagi rasa selesa dan khusyuk semasa beribadah.

Mengulangi bacaan hafalan Al-Quran

Amalan mengulangi bacaan hafalan Al-Quran mempunyai beberapa pendapat sebenarnya. Pertama, hukumnya haram. Ini berdasarkan pendapat jumhur Fuqaha yang melarang wanita membaca Al-Quran ketika dalam keadaan haid atau sedang berjunub.

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada Al-Quran.”  – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 131)

Manakala kedua, hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang Al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan membacanya bagi tujuan mengajar atau belajar. Namun yang demikian, kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja bukan sedang berjunub.

Maka, wanita ketika haid boleh mengulang hafalan atas sebab-sebab takut terlupa apa yang dihafal.

Berselawat

Jangan pernah tinggal selawat di bibir kita walaupun sehari. Selawat inilah kelak yang akan menjadi bukti kita umat Nabi Muhammad SAW. Dengannya juga kita mendambakan syafaat di akhirat kelak.

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang berdasarkan dalil sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.” – (Dari hadis: An-Nasae’i: 1292)

Banyakkan bersedekah

Hulurkan sedekah walau sedikit. Jangan tunggu kaya untuk bersedekah kerana takut kaya itu hadirnya ketika nyawa kita sudah nun di hujung tanduk. Ruginya manusia yang sepanjang hidupnya tidak mahu bersedekah. Kerana mereka yang meninggal dunia jika dizinkan kembali ke dunia, ingin melakukan satu amal sahaja lagi iaitu bersedekah.

Banyakkan aktiviti sosial

Rajinkan diri membantu orang sama ada ahli keluarga kita atau orang lain. Dengan itu kita tidak membuang masa begitu sahaja, dan malah dapat mengumpul pahala dengan meringankan beban orang lain.

Semoga dengan panduan amalan ketika haid ini dapat menyampaikan ilmu yang bermanfaat buat kaum wanita Islam di luar sana. Kita tidak tahu selama mana Allah memberikan nikmat kehidupan kepada kita. Oleh yang demikian, manfaatkanlah hidup ini sebaik mungkin.

Anda juga boleh baca artikel lain kami yang menarik seperti:

Rujukan:

  1. Amalan 24 Jam Wanita Haid, Karya Fahrur Muis. PTS Publications
  2. Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke 136: Amaln Wanita Haid Di Bulan Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Hukum Wanita Dalam Haid Baca Al-Quran. Berita Harian

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.