Aktiviti kraf untuk anak-anak 5-6 tahun bukan sekadar untuk mengisi masa lapang mereka. Tetapi ia merupakan sebahagian daripada pembelajaran untuk anak-anak prasekolah ini. Banyak kepentingan aktiviti kraf untuk anak-anak diusia ini, antaranya:

Kemahiran Komunikasi

Semasa melakukan aktiviti kraf, anak-anak perlu berkomunikasi dengan orang disekelilingnya. Ini kerana pada usia ini, mereka masih belum mampu melakukan keseluruhan proses aktiviti kraf sendirian. Mereka perlu berkomunikasi untuk meminta tolong orang yang lebih dewasa membantunya menggunting, menampal, atau mungkin mewarna. Mereka juga pasti akan bertanya kepada kita tentang hasil krafnya nanti. Adakah ia cantik dan sempurna? Perbualan antara anak-anak dengan orang lain dalam menyelesaikan suatu aktiviti kraf ini membantu anak-anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta menambah kosa katanya.

Kemahiran Sosial & Mengurus Emosi

Kreativiti anak-anak dalam melakukan aktiviti kraf sangat berkait dengan emosi mereka. Sekiranya emosi mereka baik, pasti ia terpancar pada hasil kraf mereka nanti. Pemilihan warna yang ceria, kesungguhan semasa melakukan aktiviti serta kesabaran menyiapkan kraf melatih anak-anak mengurus emosi mereka.

Jika aktiviti ini dilakukan bersama-sama adik-beradik atau kawan-kawan yang lain, ia akan meningkatkan kemahiran sosial anak-anak. Contohnya, anak-anak akan belajar bagaimana untuk berkongsi alatan dan bekerjasama menyiapkan kerja kraf masing-masing.

Kreativiti & Kemahiran Menyelesaikan Masalah 

Aktiviti kraf memberi kebebasan untuk anak-anak melukis corak, mewarna, atau membuat apa-apa hiasan pada hasil kraf mereka. Anak-anak akan belajar membuat keputusan untuk memilih warna yang sesuai diletakkan pada kerja kraf mereka. Apa corak yang cantik untuk dilukis dan macam-macam lagi keputusan yang perlu difikirkan dan diambil untuk menyiapkan kerja kraf mereka.

Kemahiran Motor Halus

Aktiviti seni dan kraf sangat penting bagi meningkatkan skil motor halus anak-anak. Ini kerana kebanyakan aktiviti kraf pasti memerlukan anak-anak untuk memegang benda yang kecil, menggunting, menampal atau mengoyakkan kertas. Aktiviti-aktiviti dapat meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Hal ini sangat penting kerana dengan motor halus yang kuat, barulah anak-anak dapat memegang pensel dengan baik, membutang baju sendiri, dapat mengepit baju dan lain-lain aktiviti seharian mereka.

Meningkatkan Fokus

Bukan senang untuk pastikan anak-anak diusi 5-6 tahun untuk tetap melakukan satu perkara dalam tempoh masa yang lama. Ada kanak-kanak yang lebih sukakan aktiviti lasak seperti berlari dan melompat daripada duduk membuat kerja setempat. Jadi, untuk melatih anak-anak supaya dapat fokus menyelesaikan sesuatu tugas adalah dengan melakukan aktiviti kraf. Aktiviti sebegini dapat melatih anak-anak untuk fokus dengan lebih lama lagi. Ini penting bagi meningkatkan daya tumpuannya terutama apabila mereka sudah melangkah ke alam persekolahan nanti.

Senarai Aktiviti Kraf Untuk Anak 5-6 Tahun

Tisu Gulung

Tisu gulung atau tisu tandas antara bahan yang mudah untuk kita dapati. Kebiasaannya apabila tisu sudah habis diguna, kotak gulung pada tisu itu akan dibuang. Sebenarnya banyak kerja kraf yang boleh dihasilkan daripada kotak tisu gulung tersebut.

Imej via playtivities

Anak-anak boleh membuat kraf berbentuk haiwan seperti arnab, rama-rama. Kucing dan macam-macam lagi dengan kotak tisu gulung tersebut. Malah, bagi anak lelaki yang sukakan kereta, mereka juga boleh menghasilkan kereta daripada tisu gulung tersebut. Sudah siap jadi kereta, nanti bolehlah bermain lumba kereta dengan adik-beradik atau kawan-kaawn yang lain.

Imej via family.disney

Origami

Dengan sekeping kertas bersaiz A4, pelbagai bentuk dapat dihasilkan dengan teknik lipatan tertentu. Antara lipatan origami yang mudah untuk anak-anak 5-6 tahun adalah origami baju, sampan, rumah, katak, roket, bunga dan macam-macam lagi.

Imej via thesprucecrafts

Warna Air

Pelbagai aktiviti kraf dan seni boleh dilakukan dengan warna air. Anak-anak boleh menggunakan straw untuk membuat ‘bubble art’ di atas kertas. Aktiviti ini membantu mereka menguatkan otot-otot pada tangan, jari dan bibir.

Imej via theimaginationtree

Selain itu, anak-anak juga boleh membuat aktiviti capan dengan mengecap warna-warna air itu di atas kertas menggunakan daun, ubi kentang atau objek lain yang mempunyai tekstur seperti span dan lain-lain.

Anak Patung Kertas 

Anak-anak perempuan terutamanya bebas berkreativiti untuk mencipta anak patung kertas mereka sendiri. Setelah siap menghasilkan anak patung kertas, mereka boleh melukis serta mewarna pelbagai jenis baju yang cantik-cantik untuk dipakaikan kepada anak patung kertas tadi.

Aktiviti ini bukan sahaja menguatkan motor halus mereka kerana perlu memakaikan pakaian-pakaian kepada anak patung itu. Tetapi juga mereka bebas berkreativiti dan berimaginasi untuk menghasilkan pakaian yang cantik-cantik untuk anak patung tersebut.

Imej via pinterest

Pinggan Kertas

Pinggan kertas juga antara bahan yang mudah didapati di kedai-kedai. Dengan modal yang kecil, anak-anak boleh menghasilkan kerja kraf yang menarik menggunkan pinggan kertas. Antaranya membuat topeng muka dengan kreativiti masing-masing. Anak-anak boleh membuat muka haiwan kegemaran mereka menggunakan pinggan kertas tersebut. Kemudian anak-anak boleh memakain topeng itu dan boleh bermain serta berlakon menggunakannya.

Pinggan kertas juga boleh dijadikan bat ping pong, fail poket dan macam-macam lagi.

Imej via pinterest

Batang Ais Krim

Dengan batang ais krim juga pelbagai hasil kraf boleh dibuat. Antaranya bingkai gambar, kotak letak alat tulis dan penanda buku. Jika ingin memberi cabaran yang lebih buat anak-anak ini, mungkin anda boleh berikan tugasan membuat model rumah menggunakan batang ais krim ini. Pasti anak-anak teruja apabila rumah mini mereka sudah siap nanti.

Imej via istimewapkbpsmkso

 

Kesimpulan

Aktiviti kraf untuk anak-anak 5-6 tahun bukan sekadar untuk mengisi masa lapang mereka sahaja. Tetapi ia penting untuk menguatkan otot-otot motor halus mereka. Selain itu, banyak kemahiran yang boleh dipupuk kepada mereka melalui aktiviti-aktiviti kraf. Hal ini sangat penting buat mereka sebagai persediaan untuk mereka memasuki alam persekolahan apabila mereka menginjak usia 7 tahun nanti.

 

Rujukan:

Artikel Menarik Lain:

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.