Mencari resepi air detox untuk kesihatan?

Media sosial dipenuhi dengan bahan dan langkah menghasilkannya semasa ia mula diperkenalkan. Bagi mereka yang suka berniaga pula, ini dilihat sebagai peluang terbaik memperkenalkan air detoks sebagai produk terbaru mereka.

Tidak menolak dengan kenyataan bahawa hati dan buah pinggang kita secara semulajadinya menjalankan fungsi detoks, meminum banyak air juga membantu membuang bahan-bahan tidak sihat yang ada di dalam tubuh.

Maka, di sinilah air detoks memberikan kebaikannya. Ia menyokong hati dan buah pinggang dengan nutrien atau zat makanan yang diperlukan tubuh. Mari lihat 4 resepi air detoks yang anda boleh cuba:

1. Timun + Lemon

Imej via Bidadari

Fakta khasiat: Lemon membantu pencernaan sementara mengeluarkan toksin dari tubuh. Vitamin C menjadikan kulit lebih sihat.

Malah, menurut kajian para saintis di Korea Selatan pada tahun 2015, diet berasaskan minuman detoks lemon mampu menurunkan tahap lemak badan dan meningkatkan aktiviti insulin untuk kawalan gula dalam darah yang lebih baik.

Kajian mereka dijalankan ke atas 84 wanita Korea yang mempunyai masalah berat berlebihan selama 7 hari. Hasil kajian mereka menyimpulkan bahawa lemon sangat bagus diamalkan dalam diet seharian sebagai langkah pencegahan penyakit kardiovaskular. Penggunaan timun pula sangat bermanfaat dalam menjadikan badan kekal hidrat.

Bahan-bahan:

  • ½ timun
  • 1 lemon
  • Beberapa tangkai daun pudina
  • Air

Cara:

  • Bersihkan dan hiris timun, lemon serta daun pudina.
  • Masukkan timun dan lemon ke dalam jag.
  • Masukkan air ke dalam jag yang berisi timun dan lemon. Biarkan ia semalaman di dalam peti sejuk.

Nota: Air boleh ditambah ke dalam jag berulang-kali sehingga anda perlu menukar timun dan lemon.

2. Strawberi + daun selasih

Imej via Bidadari

Fakta khasiat: Menurut analisis makmal, strawberi tinggi dengan kandungan antioksidan, potassium, vitamin C dan nutrien lain. Daun selasih pula mempunyai bahan aktif yang bersifat anti-radang dan anti-bakteria.

Penggunaan buah strawberi untuk memberi kesan detoks juga disokong oleh kajian para saintis di China pada tahun 2018. Mereka mengesan 3 jenis enzim (SOD, CAT, POX) yang berperanan sebagai agen detoks.

Mereka turut mencadangkan pemilihan strawberi yang lebih tua dan masak ranum kerana mengandungi antioksidan yang paling tinggi berbanding strawberi yang lebih muda.

Bahan-bahan:

  • 10 biji strawberi
  • 2 potong lemon
  • Jus dari ½ lemon
  • Beberapa helai daun basil
  • Air

Cara:

  • Campurkan bahan-bahan di dalam gelas atau jag.
  • Kacau perlahan.
  • Biarkan di dalam peti sejuk selama 3 hingga 4 jam.

3. Halia + Pudina

Imej via Bidadari

Fakta khasiat: Menurut petua orang lama, halia bagus untuk perut yang sakit dan sakit tekak. Daun pudina pula memberikan rasa kesegaran.

Berdasarkan kajian oleh saintis Poland pada tahun 2008, mereka menganalisis kandungan bahan aktif di dalam halia dan daun pudina. Mereka mendapati bahawa kedua-dua halia dan daun pudina mengandungi monoterpenoids, sesquiterpenoids dan sebatian aromatik yang lain.

Sebatian aktif ini ternyata membantu memberikan tahap kesihatan yang baik kerana kaya dengan kuasa antioksidan dan antimikrob.

Bahan-bahan:

  • 1 timun, dihiris tipis.
  • 2 inci halia yang sudah dikupas dan dibersihkan.
  • 2 lemon, dipotong
  • 10-12 helai daun pudina
  • Secubit garam Himalaya
  • Air

Cara:

  • Campurkan semua bahan ke dalam jag.
  • Biarkan di dalam peti sejuk selama 3-4 jam.

4. Mangga + Lemon + Nanas

Imej via Bidadari

Fakta khasiat: Bromelain di dalam nanas merupakan enzim anti keradangan. Mangga membantu pencernaan.

Kombinasi jus minuman ini telah diamalkan oleh penduduk India sejak berzaman dahulu. Hal ini memberi inspirasi kepada penyelidik di sana pada tahun 2003 untuk menganalisis kandungan nutrisi yang terkandung di dalam minuman tersebut.

Antara nutrisi hebat yang dikesan ialah kandungan asid askorbik atau vitamin C yang sangat bagus untuk sistem pertahanan tubuh.

Tambahan pula, kajian oleh sekumpulan penyelidik di Sepanyol pada tahun 2012, melaporkan bahawa mangga, nanas dan lemon mempunyai kapasiti antioksidan yang sangat baik. Mereka menambah, kandungan serat dalam buah-buahan tersebut turut menyumbang sebagai diet yang seimbang.

  • Bahan-bahan:
  • Nanas, dipotong kiub
  • Mangga, dipotong kiub
  • Hirisan lemon
  • Air

Nota: Jumlah nanas dan mangga adalah 1/3 daripada gelas

Cara:

  • Campurkan semua bahan-bahan dan siap untuk dihidang.

Kesimpulan

Air detoks tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan. Kebersihan dan kesegarannya juga lebih diyakini jika kita membuatnya sendiri. Ia bukan sahaja lazat, tapi apa yang lebih penting adalah menyihatkan tubuh kita.

Penggunaan buah-buahan yang segar juga membekalkan nutrisi yang seimbang buat kita. Jangan lupa untuk mencuba dan amalkan!

Rujukan

  1. Byrdie
  2. Ban, Z., Zhang, J., Li, L., Luo, Z., Chen, C., Wang, Y., … & Yu, L. (2018). Antioxidant Profiles of Strawberry (Fragaria ananassa) in Relation to Fruit Maturity and Postharvest Storage. Journal of Biobased Materials and Bioenergy12(1), 122-128. (link)
  3. Deka, B. C., Sethi, V., & Saikia, A. (2005). Changes in quality of mango-pineapple spiced beverage during storage. Indian journal of Horticulture62(1), 71-75. (link)
  4. Golebiowski, M., Ostrowski, B., Paszkiewicz, M., Czerwicka, M., Kumirska, J., Halinski, L., … & Stepnowski, P. (2008). Chemical composition of commercially available essential oils from blackcurrant, ginger, and peppermint. Chemistry of natural compounds44(6), 794-796. (link)
  5. Kim, M. J., Hwang, J. H., Ko, H. J., Na, H. B., & Kim, J. H. (2015). Lemon detox diet reduced body fat, insulin resistance, and serum hs-CRP level without hematological changes in overweight Korean women. Nutrition Research35(5), 409-420. (link)
  6. Martínez, R., Torres, P., Meneses, M. A., Figueroa, J. G., Pérez-Álvarez, J. A., & Viuda-Martos, M. (2012). Chemical, technological and in vitro antioxidant properties of mango, guava, pineapple and passion fruit dietary fibre concentrate. Food chemistry135(3), 1520-1526. (link)

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Lily Izzuan

Seorang yang simple dan berpegang pada prinsip bahawa sesuatu yang baik itu perlu dikongsi. Merupakan salah seorang penyumbang artikel di Bidadari.my. Mencari artikel yang menarik yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.