Mari bersama kenali siapakah wanita yang bernama Lubna dan kehebatannya.

Siapakah Lubna?

Nama Lubna sememangnya sangat jarang didengari. Begitu juga dengan kisah kehidupannya yang  kurang diceritakan seperti tokoh wanita terkemuka lain. Namun, Lubna mempunyai jalan cerita dan kisah sejarahnya sendiri yang menggagumkan dan sangat menarik untuk diselusuri.

Kisah wanita yang berbangsa Sepanyol ini bermula sewaktu bertapaknya kerajaan Islam Bani Umayyah di Damsyik yang kemudiannya berpindah ke Cordoba, Sepanyol.

Dalam kegemilangan pemerintahan kerajaan Umayyah itu, Lubna muncul sebagai seorang wanita hebat yang terlibat dalam pelbagai bidang. Beliau turut menyerlah dalam pemerintahan sehingga menjadi tokoh penting dalam memacu kegemilangan dinasti  Umayyah.

Membesar Dalam Istana

Lubna dilahirkan sekitar abad ke-10M, dan meninggal dunia pada tahun 984M. Pada awalnya Lubna merupakan seorang hamba di Cordoba dan kemudiannya membesar dalam Istana Khalifah Abdurrahman III.

Dikatakan Khalifah membebaskannya kerana kagum dengan kelebihan dan bakatnya yang istimewa.

Peranan Lubna Dalam Pemerintahan Andalusia

Lubna mempunyai keperibadian yang kuat dan mampu berdikari, selain bercita-cita tinggi. Beliau berupaya meningkatkan kehidupannya di istana Andalusia sehingga berperanan penting bidang politik dan  pentadbiran.

Dengan pengalaman dan ilmu pengetahuannya yang luasnya Lubna juga bertanggungjawab memegang jawatan sebagai setiausaha istana Sultan Abd al-Rahman III dan puteranya Al-Hakam II, selain sebagai seorang jurutulis peribadi Sultan juga.

Walau ketika itu, sudah terdapat golongan wanita yang memegang peranan penting dalam pentadbiran istana Umayyah, namun bilangannya masih kecil.  Malah Lubna dikatakan wanita yang paling menonjol kerana menjadi satu-satunya wanita yang memegang banyak jawatan dalam kerajaan dan mahkamah sekaligus pada waktu itu. Apatah lagi selalunya jawatan seperti itu  dipegang oleh golongan lelaki.

Lubna Menguasai Pelbagai Bidang Keilmuan

Memandangkan beliau tidak berlatarbelakangkan dari keturunan diraja mahupun bangsawan, kedudukannya sebagai setiausaha peribadi Sultan mengisyaratkan betapa tingginya kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya atas bakat dan kebolehannya sendiri. Apatah lagi di usianya yang masih muda, sudah tentu Lubna bukan sembarangan wanita.

Selain menjawat jawatan penting di istana, Lubna merupakan seorang wanita yang cerdas dalam pelbagai jenis bidang keilmuan pada zaman itu. Beliau juga lambang wanita yang merentasi zaman dengan meletakkan dirinya sebaris dengan golongan lelaki lantaran ilmu dan kebijaksanaan yang dimilikinya.

Dalam satu-satu masa, Lubna juga unggul sebagai seorang penyair yang sangat fasih, selain ahli dalam bidang tatabahasa, penulisan dan puisi. Bahkan beliau juga mahir dalam ilmu matematik dan sains.

Dikatakan juga, beliau juga hebat dalam ilmu penterjemahan. Beliau bertanggungjawab sebagai penterjemah kitab-kitab yang berlaras tinggi seperti Euclid dan Archimedes yang jarang dimiliki oleh ramai orang ketika itu.

Beliau juga seorang penulis buku yang banyak menghasilkan karya selain gemar mengkaji pelbagai bidang ilmu. Selain terkenal sebagai penulis buku dengan pelbagai karya.

Diceritakan beliau kerap meluangkan masa di sekitar bandar Cordoba untuk mengajar kanak-kanak ilmu matematik. Begitu juga setiap kali sewaktu berulang-alik ke istana, beliau akan singgah di mana-mana untuk mengajar dan berkongsi ilmunya kepada kanak-kanak, selain memberikan soalan kepada mereka untuk diselesaikan.

Pakar Perpustakaan Cordoba

Lubna juga seorang pustakawati yang cekap. Perpustakaan diraja yang diselianya telah menjadi perpustakaan terpenting dan termasyhur pada waktu itu.


Selama berabad-abad, perpustakaan yang dipimpin Lubna ini menjadi pusat ilmu yang utama di Eropah dan hanya berjaya dikalahkan oleh perpustakaan di Baghdad.


Kehebatan Lubna sebagai seorang pakar perolehan terbukti dalam kejayaannya menguruskan perpustakaan yang mengandungi lebih 500, 000 buah buku itu.

Tambahan lagi sewaktu pemerintahan Khalifah Al-Hakam II (selepas kematian Khalifah Abdurrahman) bidang keilmuan sangat diberi penekanan. Khalifah juga sentiasa memberi galakan terhadap usaha memajukan dunia perbukuan dan penterjemahan. Baginda Khalifah juga memberi kepercayaan kepada Lubna untuk terus memimpin perpustakaan diraja itu selain memberi galakan untuk memajukannya.  

Ini memacu semangat Lubna, sehingga  berterusan berusaha mendidik masyarakat Cordoba berpusatkan pada perpustakaan. Salah satunya dengan menambahbanyakkan buku dari pelbagai negara dan bahasa. Termasuk juga memperhebat bidang penterjemahan. Dikatakan seramai 170 wanita yang terdiri daripada golongan ilmuwan telah dipertangungjawabkan  untuk menyalin naskah-naskah penting.

Lubna sendiri juga telah berusaha menyalin semula manuskrip-manuskrip penting, termasuklah teks sejarah Yunani yang laangka dan berkemungkinan hilang ditelan zaman.


Beliau juga dikatakan pernah mengembara ke seluruh Timur Tengah demi menambah koleksi di perpustakaan kerajaan, dan  membawa masuk kitab-kitab Arab daripada Kaherah, Damsyik dan  Baghdad ke dalam Perpustakaan Cordoba.


Usaha beliau dilihat sangat berjaya lantaran perpustakaan diraja Cordoba menjadi pusat keilmuan penting pada masa itu, bahkan sehingga berabad lamanya. Lubna sangat berhasil dan berjaya melahirkan golongan bijak pandai dengan bantuan penyebaran ilmu yang diusahanya.

Penutup: Lubna Lambang Wanita Cerdas Dan Merentas Zaman

Lubna, muncul sebagai salah satu sosok wanita muslimah dari Andalusia yang dikenal cerdas, bersemangat dan mendepani zamannnya.

Walaupun Lubna bukanlah dari golongan yang ternama, tetapi dengan bakat dan kebolehannya menjadikan kedudukannya setaraf, bahkan lebih penting peranannya dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau wanita unik seperti Lubna inilah yang seharusnya dijadikan idola terbaik kepada golongan muslimah masa kini.

Sudah tentu dengan menjadikan wanita hebat seperti Lubna ini sebagai inspirasi sedikit sebanyak membuka jalan agar sentiasa mencinta ilmu dan berusaha menjadikan diri sendiri lebih baik dengan usaha sendiri. Bahkan meningkatkan martabat diri dengan kebolehan yang dikurniakan.

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.