Ayuh kita pelajari akan adab ketika memasuki masjid.

Masjid merupakan sebuah tempat mulia yang sangat sinonim sebagai tempat beribadah. Dalam agama Islam, masjid adalah ‘rumah Allah’ yang seeloknya dijagai adab serta akhlak ketika berada di dalamnya.

Sejak zaman permulaan Islam lagi, masjid dijadikan sebgai institusi penting dalam memajukan umat Islam dan agama, sehinggakan masjid menjadi lambang kesatuan ummah.

Jadi, dalam menjaga kesucian masjid, terdapat beberapa adab dan tingkah laku yang sepatutnya dijaga. Bahkan Rasulullah SAW sangat mengajak umat Islam untuk menghormati masjid dengan sebaik mungkin.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, baginda SAW menyifatkan bahawa Masjid adalah tempat yang mulia dan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW: “Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah Masjid”.

(Hadis Riwayat Muslim)

1. Berpakaian Kemas Dan Bersih

Sebaiknya kunjungilah masjid dalam keadaan diri yang bersih, kemas, termasuklah berwangian. Tampilkan diri dalam keadaan sehabis baik ketika mengunjungi masjid. Bahkan lebih baik jika dalam keadaan berwuduk dan bersedia untuk beribadah.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah : 108:

“Dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orangorang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”

2. Masuk Dengan Langkah Kaki Kanan

Apabila hendak masuk ke dalam masjid,  maka seseorang muslim itu hendaklah melangkah dengan mendahulukan kaki kanan. Iaitu sepertimana mengunjugi tempat yang baik yang didahulukan bahgian kanan, dan keluar dari masjid dengan kaki kiri.

3. Membaca Doa Ketika Masuk Ke Dalam Masjid

Ketika masuk ke dalam masjid, dianjurkan untuk berdoa seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda mengajarkan kita doa yang bermaksud :

“Aku berlindung kepada Allah yang Maha Besar, kepada wajah-Nya yang Maha Mulia dan kerajaan-Nya yang qadim (azali) dari syaitan terkutuk, segala puji bagi Allah. Ya Allah limpahkan selawat dan sejahtera atas Nabi Muhammad SAW dan keluarganya.”

(Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Nas’i hadis)

Dari Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Amr bin Ash pula, Nabi SAW bersabda:

“Apabila masuk masjid, Baginda mengucapkan ‘Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan dengan wajah-Nya yang Mulia serta kekuasaan-Nya yang tidak mendahuluinya, dan dari gangguan syaitan yang terkutuk’.”

Sabda Rasulullah SAW lagi :

“Apabila ia mengucapkan demikian (doa di atas), syaitan pun berkata :’ Dipelihara lah ia dari padaku sisa harinya’.”

4. Memberi Salam

Ucapkanlah salam kepada sesiapa jua yang berada dalam masjid, sama ada yang dikenali atau tidak. Dengan mengucapkan salam bukan sahaja membuka pintu silaturahim, tetapi memupuk kasih sayang serta memberi doa kesejahteraan kepada sesama muslim.

Firman Allah SWT:


“(Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”

(ar-Ra’d : 24)
Namun, sekiranya tidak ada sesiapa yang berada dalam masjid, maka digalakan untuk mengucapkan; ‘Selamat ke atas kami dan atas hamba Allah yang soleh’.

5. Mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Solat sunat Tahiyatul Masjid  adalah solat sunat yang didirikan untuk menghormati masjid. Solat ini didirikan sebaik sahaja memasuki masjid sebelum duduk atau emlakuakn perkara lain. Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya untuk menunaikan solat sunat dua rakaat ini.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud ;

“Apabila ada di antara kamu memasuki masjid, maka hendaklah dia rukuk (solat dua rakaat sebelum duduk)”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Beritikaf

Iktikaf bemaksud berhenti seketika atau berada lebih  dalam masjid dengan niat untuk beribadat atau mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di waktu iktikaf itulah  sebaik-baiknya diisi dengan bacaan al-Quran, zikir, selawat ke atas nabi, banyakkan berdoa, sembahyang sunat dan lain-lain ibadah.

Iktikaf didirikan dengan keadaan diam dan dengan suara perlahan agar tidak mengganggu jemaah yang lain yang sedang beribadat juga. Setelah selesai sembahyang hendaklah diniat duduk iktikaf dalam masjid iaitu;

“Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini sunat kerana Allah Taala.”

7. Menjaga Kebersihan Masjid

Jangan menjadikan masjid sebagai tempat asing yang boleh dilakukan sesuka hati. Jagalah masjid seperti rumah sendiri. Bersihkanlah masjid dan persekitarannya agar tidak kotor dan sentiasa terpelihara.

Sabda Nabi SAW daripada Anas bin Malik RA:

“Sesungguhnya masjid-masjid tidak wajar untuk dijadikan tempat kencing dan melakukan kekotoran serta membuang sampah. Ia hanya untuk dijadikan tempat mengingati Allah, dan Solat dan membaca al-Quran.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Penutup: Masjid Adalah Rumah Allah Yang Perlu Ada Adabnya

Sesungguhnya apabila berada dalam masjid atau di persekitarannya, jagalah adab dan perilaku agar tidak mencemarkan tempat ibadah yang suci ini. Masjid adalah tempat mulia yang memerlukan adab yang khusus apabila berada di dalamnya, bukannya tempat yang boleh diperlakukan sesuka hati.

Kesucian masjid sepatutnya dipelihara oleh umat Islam sendiri agar keharmonian Islam dan umatnya dapat dijaga selalu.

Bacaan lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.