Mencari resepi kuih muih tradisional untuk berniaga? Atau untuk acara kenduri dan majlis? Atau mencari resepi kuih setakat makan bersama keluarga? Di sini semua resepi yang anda mahu telah disediakan.

Resepi-resepi kuih kecintaan rakyat Malaysia kami kongsikan di sini. 30 resepi yang kami kongsikan ini ialah resepi kuih muih tradisional pilihan yang paling banyak mendapat perkongsian di Facebook. Bahkan sampai mencecah 25K perkongsian dari warga internet. Bagaimana tidak, resepinya sangat senang, bahan-bahan mudah dan rasanya sangat teramat sedap.

Kuih-kuih tradisional ini hanya boleh anda dapatkan di pasar malam mahupun gerai penjual kuih di tepi jalan pada masa pagi. Namun tidak semua orang ada masa pergi pasar malam. Juga jika mengetangahkan masalah kesihatan dan keberihan tentunya anda akan berpikir 2 sampai 3 kali bahawa membuat kuih sendiri lebih sihat dan berbaloi.

Jika ada mood rajin bolehlah cuba buat kuih seperti resepi-resepi di bawah ini. Sesekali menjamu selera dengan kuih buatan air tangan anda. Nanti selepas buat satu kali mesti akan ketagih buat lagi.

Dangai Kukus

Ada penggemar kuih dangai di sini? Ada cara mudah untuk membuat kuih ini walaupun tiada acuan yang dangai yang sebenar. Resepi yang telah dikongsikan oleh Puan Nurul Hairi di Facebooknya menggunakan kaedah pengukusan. Resepi ini khas untuk 26 biji dangai bersaiz acuan kuih lompang yang kecil.

Bahan-bahan:

  • 3 cawan kelapa parut putih
  • 1 cawan tepung pulut
  • Sedikit garam
  • Gula merah atau gula melaka secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukkan 3 cawan kelapa parut putih bersama 1 cawan tepung pulut dan sedikit garam.

2. Gaul manja kesemuanya.

3. Masukkan 1 sudu penuh kelapa parut tadi kedalam acuan. Tekan-tekan manja kelapa tersebut. Buat lubang tengah dan masukkan 1 sudu kecil membukit gula merah atau gula melaka.

4. Sediakan air kukusan. Nak lebih wangi, masukkan 4 helai daun pandan ke dalam air kukusan tersebut. Setelah itu, boleh kukus kuih dangai tersebut sehingga kuih masak.

Cara Berlauk

Cara lauk juga menjadi kegemaran ramai. Rasanya yang sedikit berempah dan pedas membuatkan ramai yang jatuh cinta. Cara membuatnya sangat mudah. Ikuti resepi dari Zura Zul ini.

Bahan-bahan Cara:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur – pukul dulu
  • 1 sudu marjerin – tak nak letak pun boleh
  • 1 1/2 cawan santan sederhana cair
  • Secubit garam
  • Secubit gula
  • Pewarna kuning telur/ lemon yellow/ serbuk kunyit

Cara-cara:

1.Kisar semua bahan sampai rata & sebati. Tuang dalam jug kecil.

Bahan-bahan Inti :

  • 1 cawan daging kisar/ayam
  • 2 biji bawang merah – dadu kecil2
  • 2 biji bawang putih – dadu kecil2
  • 1 paket serbuk Kari Daging Adabi
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • 1/2 kiub ikan bilis
  • Sedikit garam

Bahan Untuk Hiasan :

  • Daun sup/daun bawang
  • Cili besar merah

Cara-cara:

1. Tumis bawang-bawang. Masukkan serbuk kari lalu masukkan air (agak-agak). Masak sampai terbit minyak lalu masukkan daging atau ayam kisar. Masak hingga kering.

2. Masukkan serbuk lada hitam dan perasakan dengan kiub dan garam. Masak kena kering.

3. Panaskan acuan kuih cara (api perlahan dan masak atas dapur gas). Sapu sedikit minyak lalu tuang adunan 3/4. Nak tuang penuh pun okay. Biarkan sekejap.

4. Masukkan inti kemudian hirisan cili besar merah. Letak daun sup atau daun bawang. Tutup guna penutup periuk hingga kuih masak. Siap.

5. Untuk tuang adunan seterusnya, mesti kacau-kacau adunan terlebih dahulu.

Apom Lenggang

Kuih tradisional ini kerap ditemui di sebelah utara sahaja. Orang utara pasti menggemari kuih unik dan sedap ini. Rupa-rupanya sangat mudah untuk membuat Apom Lenggang. Ikuti resepi Mask Musa yang dikongsikannya di Facebook. Pasti menjadi!

Bahan-bahan:

  • 1 ½  cawan tepung beras
  • ½  cawan tepung gandum
  • 5-6 sudu besar gula (kalau nak manis boleh letak ½  cawan gula)
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 ½  sudu kecil instant yis
  • 1 cawan air
  • 1 cawan santan

Bahan-bahan:

1. Gaul semua bahan kecuali santan.

2. Rehat kan adunan dalam 2 hingga 3 jam.

3. Saya buat adunan malam jadi saya letak dalam peti ais. Esoknya baru saya masak.

4. Apabila dah ready, campurkan santan dalam adunan.

5. Kacau rata.

6. Masak atas pan.

Talam Tokyo

Ada yang dah jemu dengan kuih talam yang biasa dimakan? Apa kata anda cuba kuih talam unik iaitu Talam Tokyo yang kian viral di kalangan ibu-ibu. Bahan utamanya berasaskan sagu. Rasanya juga lain dari talam biasa. Ikuti resepi Siti Hawa Samsam yang sangat mudah dan sedap!

Bahan lapisan bawah:

  • 250 gm sagu biji (basuh sagu guna penapis bawah air paip)
  • 30 gm suhun (direndam hingga lembut dan dipotong)
  • 100 gm kelapa putih
  • 350 gm santan (perah 1 biji kelapa  untuk dapatkan adunan atas dan bawah sebanyak 750ml /gm)
  • 1 tsp /sudu kecil garam
  • ½  tsp / sudu teh pewarna kuning lemon

Cara memasak:

1. Basuh sagu dan toskan.

2. Gaulkan sagu, suhun, kelapa, garam dan pewarna sampai tergaul rata.

3. Masukkan ke dalam loyang, tuangkan santan dan gaul rata sekali lagi.

4. Kukus selama 20 minit.

Bahan lapisan atas:

  • 60 gm tepung kastad
  • 15 gm tepung gandum
  • 175 gm gula pasir halus
  • 400 ml/ gm santan yang dikisar bersama 5 helai daun pandan
  • 1/4 tsp / sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna hijau
  • 2 biji telur

Cara memasak:

1. Satukan semua bahan dan tapis, masak atas api sederhana.

2. Kacau adunan sehingga melekat pada whisk dan agak pekat sedikit. Tutup api dan turunkan dari atas dapur. Kacau lagi hingga agak suam sedikit.

3. Ratakan sedikit lapisan pertama tadi guna sudu, baru tuangkan lapisan kedua dan kukus selama 20 hingga 25 minit.

4. Kukus guna loyang 9x9x2 inci atau 9x9x3 inci boleh juga kalau nak guna loyang bulat 9 inci.

5. Basahkan loyang dengan sedikit air lalu lapiskan dengan plastik 14×14 dan sapukan dengan sedikit minyak diatas dan bawah plastik agar plastik mudah melekat pada loyang.

6. Untuk panduan sahabat semua semasa mengukus lapisan kedua penutup kukusan hendaklah sentiasa dibuka selang 2 minit sampai adunan set dalam 15 minit.

Popia Basah

Dah tahu resepi popia goreng? Jom try buat popia basah. Keenakan popia basah terletak pada sos atau kuahnya. Lia Yob Ibrahim telah berkongsi resepi Popia Basah turun-temurun dari ibunya. Kulit popia pun dibuat sendiri. Lebih puas jika masak sendiri.

Bahan kulit:

  • 500g tepung gandum
  • 1 biji putih telur saja
  • 1 sudu makan minyak masak
  • Garam

Cara membuat kulit:

1. Bancuh adunan macam nak buat jejemput. Pastikan jangan cair (lihat pada gambar).

2. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.

3. Selepas itu, guna kuali non stick leper. Oles adunan pada muka kuali. Lihat video untuk rujukan.

Bahan inti:

  • * Sengkuang
  • * Karet
  • * Timun
  • 1 keping tauhu lembut di ramas
  • 3 atau 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu lada sulah
  • 1 sudu besar udang kering (nak tukar ikan bilis pun boleh)

Cara membuat inti:

1. Sagat bahan bertanda * seperti dalam gambar.

2. Tumbuk bawang putih dengan udang kering.

3. Tumis bawang putih dengan udang kering yang di tumbuk.

4. Masukkan tauhu. Nak masukkan sebiji telur juga boleh.

5. Apabila sudah nampak kering sedikit, masukkan bahan inti yang telah di sagat tadi.

6. Masak hingga nampak layu.

7. Perasakan dengan garam.

Bahan sos:

  • Cili kering
  • Kismis/kurma
  • Gula
  • Garam

Cara membuat sos:

1. Semua bahan untuk buat sos ni semua main agak-agak je. Tiada sukatan tau. Tak pernah main sukat.

2. Cili kering dlm 300g yang dibuang biji, rebus lalu kisar. Semasa kisar, masukkan dalam segenggam kismis lalu renihkan hingga airnya kering.

3. Apabila cili sudah kering air, masukkan gula. Agak banyak lebih setengah kilo kot. Sehingga sos jadi merah hitam.

4. Masak sos hingga pekat-melikat dan berkilat. Kacau selalu dan tunggu agak-agak dah melikat tu masukkan garam. Perasakan sos tu, kena ada rasa manis dengan masinnya.

Tips: Sos ini perlu dirasa banyak kali agar sehingga dapat rasa yang disukai

Cara gulung:

1. Sapu sos dengan anggaran yang diinginkan.

2. Tabur kacang, letak inti kemudian letakkan bawang goreng.

3. Gulung dengan kemas. 4. Siap untuk dihidangkan.

Kuih Lapis

Resepi kuih lapis ini milik Linda Kensom yang telah dikongsikan di Facebooknya. Resepi beliau telah mendapat 1.4k perkongsian. Menurutnya, resepi ini paling mudah dan sesuai untuk mereka yang baru pertama kali ingin membuat kuih lapis.

Bahan-bahan:

  • 2 cwn tepung beras
  • ½  cwn tepung gandum
  • ½  cwn tepung jagung
  • 1 cwn gula (boleh tambah jika ingin lebih manis)
  • 1 kotak kecil santan
  • 3 cwn air
  • Secubit garam

Cara memasak:

1. Satukan kesemua dan kacau atau gaul rata.

2. Kisar semua bahan lalu tapiskan.

3. Bahagikan dua bahagian dan letakkan pewarna yang anda inginkan.

4. Panaskan pengukus dan kukus selapis-selapis. Biarkan 5 minit.

Tips:  Pakai sukatan cawan yang sama. Oles minyak pada Loyang terlebih dahulu.

Limas

Kuih Limas adalah kuih tradisi negeri Perak. Ramai yang tidak dapat membezakan kuih limas dengan tepung pelita dan kuih tako. Namun ketiga-tiga kuih ini berbeza walaupun bentuk hampir sama. Perbezaan yang ketara adalah dari segi jenis tepung yang digunakan.

Limas diperbuat daripada tepung gandum manakala tepung pelita menggunakan tepung beras dan tako diperbuat daripada tepung jagung. Jika anda penggemar limas, ikuti resepi milik Mawar Wilsa ini.

Bahan A – Lapisan Bawah (Hijau):

  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung pulut (sukat rata)
  • 1 cawan santan kotak KARA
  • 1 ½ cawan air daun pandan ( 5 helai )
  • ¼ cawan + 2 sudu besar gula pasir
  • 4 titis pewarna hijau apple

Bahan B – Lapisan Atas (Putih):

  •  ½ cawan santan kotak KARA
  • 1 ½ cawan air
  • 2 sudu besar tepung gandum (sukat rata)
  • ½ sudu kecil garam halus

Bahan C:

  • Gula pasir secukupnya – untuk di isi di dalam bekas kuih limas /temalong

Nota : Saya menggunakan sukatan cawan dan sudu metrik untuk resepi ini. Sediakan bekas kuih limas @ temalong secukupnya. Layur dahulu daun pisang di atas api supaya daun tidak mudah koyak apabila di bentuk.

Cara Penyediaan:

1. Bancuh lapisan bawah (hijau) lalu tapiskan dan ketepikan. Di dalam bekas berasingan bancuh lapisan atas (putih) lalu tapiskan dan ketepikan.

2. Panaskan kukusan, masukkan 1 sudu kecil gula ke dalam temalong, masukkan adunan lapisan bawah (hijau) lebih kurang separuh bekas temalong. Kukus selama 10 minit dengan api sederhana besar.

3. Buka penutup, masukkan lapisan atas (putih) kukus lagi 10 minit. Adunan putih terasa dan nampak masih lembut semasa panas dan akan cantik sesudah sejuk. Tapi masih lembut atas dan bawah kuih limas bila dimakan.

4. Angkat dan biarkan sejuk baru hidangkan.

Tepung Pelita

Buat peminat tepung pelita, Puan Mawar Wilsa juga berkongsikan resepi kesukaan ramai ini. Apa yang menarik, kuih ini tidak perlu dikukus seperti kebiasaan. Resepi dibawah boleh menghasilkan 34  biji kuih mengikut saiz acuan.

Bahan Lapisan Hijau (Bawah):

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula
  • 5 cawan air
  • 4 helai daun pandan ~ diblend dgn sedikit air
  • Sedikit air kapur  – ambil yang jernih

Bahan Lapisan Putih (Atas):

  • 4 sudu besar ( rata ) tepung beras – saya letak 7 sudu besar
  • 1 biji kelapa diperah jadi 4 cawan santan
  • Sedikit garam
  • 2 sudu besar gula – saya tambah

Nota : Saya menggunakan sukatan cawan dan sudu metric. Sediakan acuan sarung kuih tepung pelita secukupnya . Susun diatas loyang atau dulang dan letakkan 1/2 sudu kecil gula pasir di dalam acuan kuih tepung pelita.

Cara Penyediaan:

1. Bancuh adunan untuk lapisan hijau @ bawah iaitu tepung beras, gula, 5 cawan air, air daun pandan dan air kapur dibancuh hingga sebati.

2. Masakkan adunan hijau (api sederhana) dan kacau hingga adunan pekat dan berkilat. Apabila nampak adunan meletup-letup (buih besar), tutup api dan masukkan ke dalam acuan tepung pelita (tuang sewaktu ianya masih panas).

3. Perah santan dan tapiskan . Masukkan tepung beras, garam dan gula. Kacau sehingga sebati.

4.  Kemudian masak adunan santan (api sederhana) yang diadun tadi dan kacau sehingga adunan pekat (nampak adunan meletup-letup buih besar, tutup api dan masukkan diatas lapisan hijau tadi (tuang sewaktu ianya masih panas).

5. Sejukkan sebentar hingga hilang wap panas baru masukkan ke dalam peti sejuk.

Putu Piring

Wo-aini Crafter telah berkongsi resepi putu piring di Facebook. Kuih tradisional Perak ini lazimnya dimakan dengan inti kelapa. Putu yang asli adalah inti kelapa parut. Namun kali ini kami berkongsikan resepi putu piring dengan inti gula merah. Resepi di bawah dapat menghasilkan 15 keping putu.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 3/4 sudu garam
  • 150ml air panas
  • 1/2 cawan kelapa parut (ambil yang putih sahaja dan gaul dgn ½  sudu teh garam)
  • 1/2 cawan gula melaka diparut
  • 5-6 helai daun pandan
  • Kain Muslin (kain putih jarang berukuran 6-8inci persegi)
  • Daun pisang digunting 2 inci persegi

Cara penyediaan:

1. Tepung beras digoreng tanpa minyak selama 5 minit. Ayak dan biarkan sejuk.

2. Campurkan garam dengan air panas dan daun pandan. Biarkan sebentar untuk mendapatkan bau pandan.

3. Renjis-renjiskan pada tepung. Gaulkan supaya dapat hasil seperti serbuk roti. Seeloknya air panas.

4. Panaskan pengukus.

5. Griskan acuan putu dgn sedikit minyak.

6. Tabur sedikit tepung kemudian sedikit gula merah.

7. Tambah sedikit tepung lagi diatasnya.

8. Letakkan kain muslin diatasnya dan telangkupkan acuan pada pengukus (elok guna pengukus khas) lalu biarkan selama 3 hingga 4 minit dan angkat acuan.

9. Biarkan putu dalam kain muslin selama kira2 seminit lagi sebelum kain dan putu diangkat.

10. Buka kain muslin dan letakkan sedikit kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

11. Letakkan daun pisang di atasnya dan terbalikkan putu.

12.Sedia untuk dihidang.

Nona Manis

Salah satu kuih yang manis dan cair di dalam mulut semestinya nona manis. Nak tahu resepi pasti jadi kuih ini? Ikuti resepi mudah oleh Anisah Nisa.

Bahan A:

  • ½ cawan tepung jagung
  • 1 sudu besar tepung kastard
  • 2 cawan santan (kisar bersama kelapa, daun pandan & ambil perahan santannya)

Cara penyediaan:

1. Masak atas api sederhana kecil, kacau selalu hingga pekat berkilat.

2. Matikan api dan ketepikan.

Bahan B:

  • 1 cawan gula
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 1 sk garam
  •  3 cawan santan (kisar kelapa, daun pandan & ambil perahan santannya)
  • Sedikit pewarna hijau

Cara penyediaan:

1.Kacau semua bahan hingga sebati.

Cara untuk jadikan adunan pandan:

1. Campurkan bahan A dan bahan B.

2. Kacau hingga sebati.

3. Kemudian kisarkan adunan tadi sehingga halus.

4. Ketepikan adunan sementara kita buat adunan santan.

Bahan C (Cara buat santan putih):

  • 2 cawan santan KARA
  • 1 cawan air
  • 1 sk garam
  • 3 sdb tepung gandum

Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan dalam periuk dan kacau sebati.

2. Masakkan dengan api kecil.

3. Sentiasa kacau adunan hingga pekat.

4. Matikan api dan ketepikan.

5. Masukkan adunan santan putih ke dalam botol.

Cara kukus nona manis:

1. Sapukan minyak pada acuan.

2. Masukkan adunan pandan ke dalam acuan.

3. Kemudian masukkan adunan santan (pipe guna botol) di bahagian tengahnya)

4. Kukus selama 5 minit dengan api besar dan 10 minit api kecil.

5. Kemudian buka tutup periuk kukusan dan kukus lagi selama 5 minit tanpa penutup.

Cucur Badak

Salah satu kuih pedas kegemaran ramai adalah cucur badak. Bukan mudah untuk hasilkan cucur badak yang elok bulat dan gebu. Nak tips rahsia resepi ini? Ikuti resepi dari Nur Ayuni Syazira.

Bahan Bahagian Kulit Cucur Badak:

  • ½  kilo ubi keledek oren
  • 1 sudu mkn marjerin
  • 1 cwn tepung gandum
  • Secubit garam

Bahan-bahan Inti:

  • 1 biji kelapa parut saiz sederhana
  • 10 hingga 15 tangkai cili kering
  • 1 Inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 batang serai
  • 1 biji bawang merah saiz bola tenis
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 mangkuk udang kering

Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan kecuali kelapa parut. Kisar dulu sehingga lumat lalu ketepikan.

2. Kisar kering kelapa parut supaya halus. Kalau nak gantikan udang kering dengan udang geragau pun boleh.

 3. Masukkan dalam kuali semua bahan dan masak hingga kering. Tak perlu letak minyak. Apabila sudah kering elok, perasakan dengan garam dan gula mengikut selera.

4. Guna api perlahan saja.

Cara penyediaan:

1. Rebus ubi keledek oren atau kukus terlebih dahulu hingga empuk. Lenyekkan ketika masih panas menggunakan sudu. Kemudian ketepikan hingga betul-betul sejuk.

2. Apabila sudah sejuk, masukkan tepung, marjerin dan secubit garam. Uli sekata dan bulat-bulatkan doh ikut saiz yang diingini. Nak cantik timbang setiap doh.

3. Doh-doh bulat tadi diratakan atau dileperkan dan masukkan inti dalam anggaran ½  sudu makan mengikut saiz anda. 4. Tutup balik dan gentelkan bagi cantik dan bulat semula. Jika tidak mahu melekat, jangan lupa oles minyak pada tapak tangan anda.

Kuih Bakar Pandan

Kuih bakar pandan juga dikenali sebagai bengkang pandan di sesetangah tempat. Cara pembuatannya sangat mudah. Tidak perlu masak di atas kayu api, hanya menggunakan oven anda boleh hasilkan kuih bakar yang enak. Ikuti resepi dari Mdm Kelly ini.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan air pandan
  • 1 cawan gula
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan santan
  • 2 biji telur
  • 2 sudu makan marjerin
  • 1 sudu teh garam
  • Pewarna hijau
  • Biji bijan

Cara Penyediaan:

1. Panaskan oven.

2. Kisar semua bahan kecuali bijan dengan anggaran satu minit.

3. Tuang adunan dalam loyang 7″ yang disapu marjerin.

4. Taburkan bijan.

5. Bakar suhu 180-200c selama 1 jam 15 minit. Jika bahagian atas belum garing tambahkan masa dalam 10 minit.

Pulut Panggang

Resepi kuih ini pula dikongsikan oleh Lin Linda Azlinda di Facebook. Resepi pulut panggangnya menggunakan serunding kelapa udang kering sebagai inti. Pastikan anda menggunakan kelapa parut yang segar untuk mendapatkan rasa inti yang padu.

Bahan pulut:

  • 2 cawan pulut
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan air
  • Sedikit garam
  • Daun pisang (bersihkan, layurkan & potong ikut saiz yang disukai)

Cara penyediaan:

1. Cuci bersih pulut kemudian masak dgn santan, air serta garam

2. Tanak pulut seperti masak nasi.

Bahan Serondeng Kelapa:

  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu besar gula melaka racik
  • ½  sudu besar gula pasir

Bahan Kisar:

  • 10 cili kering-rendam air panas
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu teh jintan kasar
  • 2 btg serai
  • 2 sudu besar udang kering (rendam)

Cara penyediaan:

1. Satukan bahan yang dikisar dengan kelapa,  garam dan gula.

2. Sentiasa kacau hingga agak kering dan berderai (kalau suka basah cukup dikacau hingga kelapa masak sahaja).

Cara Bungkus:

1. Letak sesudu besar pulut di atas daun pisang dan tekan sedikit hingga leper. Boleh guna sarung tangan plastik atau daun pisang yang kecil utk elakkan dari melekat di tangan.

2. Sudukan inti ditengah-tengah pulut secara memanjang.

3. Lipat kiri dan kanan daun pisang supaya inti tertutup.

4. Adjust ikut suka dan bungkus dengan cara gulung daun pisang tersebut.

5. Sematkan dengan lidi dan gunting sedikit utk kemaskan hujungnya.

6. Apabila siap, susun di dalam kuali non-stick tanpa minyak & panggang sebentar.

Cakoi

Jika anda mencari resepi kuih cakoi yang gebu, rangup di luar dan lembut di dalam, ikuti saja resepi dari Raja Amanina. Bukan sahaja cakoi, beliau turut berkongsi resepi sos manis pandan yang sedap dicicah bersama cakoi. Makan panas-panas memang sedap!

Bahan Cakoi:

  • 3 ½ cawan tepung gandum
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu besar susu pekat
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar marjerin
  • 2 sudu besar yis
  • ½  sudu kecik soda bikarbonat
  • Minyak untuk menggoreng

Nota: Kalau suka boleh masukkan 1 ulas bawang putih yang ditumbuk ke dalam

 bancuhan cakoi.

Cara Penyediaan:

1. Satukan air, marjerin, minyak, garam, gula, susu, yis, telur dan soda bikarbonat ke dalam mangkuk lalu kacau sebati.

2. Masukkan tepung sikit-sikit ke dalam bancuhan.

3. Uli hingga menjadi doh lembut yang tidak melekat di jari lalu biarkan sekejap dalam 20

 minit dalam bekas bertutup atau balut dengan plastik.

4. Canaikan doh lebih kurang setebal  ½ sm bentuk segi empat.

5. Potong kepada kepingan bersaiz lebih kurang 1inci (saiz terpulang takpe).

6. Rendam lidi di dalam air, tekan lidi basah di atas setiap kepingan 1 inci itu.

7. Cantumkan dua bahagian kepingan dengan bahagian yang bertanda lidi hingga bertemu antara satu sama main.

8. Panaskan minyak lalu tarik sedikit kedua dua hujung cakoi tu dan goreng hingga keperangan.

Bahan Sos Manis:

  • 1 ½  cawan susu cair
  • Pes atau esen pandan sikit
  • Secubit garam
  • 1 ½ sudu besar tepung kastard
  • Susu pekat 3 hingga 4 sudu
  • Sedikit pewarna hijau

Cara Penyediaan:

1.Campurkan kesemua bahan dan kacau sebati sehingga masak dan sedikit pekat.

Keria Gula Melaka

Tak tahu nak buat apa dengan lebihan ubi keledek di rumah? Apa kata anda buat kuih keria yang menjadi kuih muih tradisional kesukaan ramai. Nak tahu tips keria yang menjadi? Ikuti resepi milik CT Nazura ini.

Bahan-bahan:

  • 1 kg keledek oren
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecik baking powder
  • Daun pandan
  • Gula pasir
  • Gula melaka
  • Garam
  • Air

Cara Penyedian:

1. Rebus keledek sampai agak lembut kemudian letak sedikit garam lalu toskan.

2. Tunggu keledek sejuk baru lenyekkan.

3. 1 cawan tepung gandum dicampurkan dengan 1 sudu baking powder lalu gaulkan.

4. Masukkan keledek yang sudah di lenyek lalu ulikan.

5. Bentukkan adunan tetapi pastikan tangan diletakkan sedikit tepung gandum untuk elakkan melekat.

6. Goreng hingga masak.

Bahan Sira:

  • 4 sudu besar gula
  • 1 gula melaka
  • 1 cawan air
  • Daun pandan

Cara Penyediaan:

1. Masukkan kesemua bahan kecuali daun pandan. Masak sampai likat dan berbuih.

2. Masukkan daun pandan.

3. Masukkan keria yang sudah di goreng.

4. Matikan api kemudian kacau perlahan hingga kering.

5. Siap.

Roti Jala

Roti jala juga enak dimakan bersama kuah kari yang masih panas. Resepi yang dikongsikan oleh Sapurah Rajulan ini khas buat peniaga baru atau mereka yang mahu membuat jamuan makan. Hal ini kerana, resepi ini menggunakan 1 Kg tepung gandum yang dapat menghasilkan 70 hingga 75 keping roti jala.

Bahan Roti Jala:

  • 1 kg tepung gandum (Sauh)
  • 2 biji telur gred B
  • 80 g butter/ margerin
  • 2 tsp garam
  • 2 tsp gula( optional)
  • Pewarna kuning lemon
  • 1500 ml air

Cara penyediaan:

1. Campur kesemua bahan di dalam besen dan gaulkan menggunakan whisk hingga sebati.

2. Kisarkan bahan tadi kemudian tapis.

3. Masukkan ke dalam botol dan masak di atas kuali.

4. Apabila sudah masak, angkat dan terus lipat mengikut bentuk yang anda inginkan.

Bahan Kari Ayam:

  • 800g ayam dipotong kecil
  • 3 sudu makan serbuk kari
  • 4 biji kentang potong dadu kasar
  • 4 senduk minyak masak
  • 1 biji bawang besar (mayang)
  • 3 ulas bawang putih
  •  1 batang serai
  •  1 inci halia
  •  1 keping asam keping
  •  1 tangkai daun kari
  •  Garam dan Maggie secukup rasa
  •  200 ml santan KARA

Cara Penyediaan:

1. Tumis bawang sampai wangi .

2. Masukkan sedikit air baru masukkan rempah, serai, halia, daun kari, asam keping dan masak dengan api sederhana hingga terbit minyak.

3. Masukkan ayam dan kentang.

4. Tambah garam dan Maggi cukup rasa secukupnya.

5. Masukkan santan dan kacau hingga masak.

Akok

Ramai yang berfikir bahawa susah untuk memasak kuih akok. Namun tidaklah sesusah mana, anda boleh membakarnya dalam apa-apa acuan di dalam ketuhar atau alat elektrik yang lain. Mudah dan pasti menjadi. Ikuti resepi akok kedut dari Are Peace yang dikongsikannya di Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2-3 helai daun pandan
  • 100ml air
  • 140 gm gula melaka (boleh nak tambah atau kurangkan gula ikut citarasa)
  • 35 gm tepung gandum
  • 200 ml santan
  • 5 biji telur saiz A
  • 2-3 titis essen vanila

Cara Pembuatan:

1. Potong daun pandan lalu masukkan ke dalam pengisar bersama 100ml air dan kisar hingga hancur.

2. Tapiskan air daun pandan dan masukkan ke dalam periuk bersama-sama gula Melaka atau gula pasir tadi. Masak keduanya sehingga hancur. Tutup api, ketepikan dan biarkan sejuk.

3. Pecahkan 5 biji telur dan masukkan ke dalam pengisar. Masukkan tepung gandum, santan dan air gula tadi. Kisar sehingga halus, sebati dan tidak berketul. 4. Bakar menggunakan acuan cupcake  selama 15 minit dengan suhu 200°c.

Onde-onde Gula Kabung

Mudah sahaja untuk membuat onde-onde. Hanya menggunakan enam bahan,  onde-onde dapat dihasilkan dalam masa yang singkat. Zaliha Salleh telah berkongsikan resepi onde-onde yang mudah dan enak buat anda.

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan tepung pulut
  • 4 sudu besar tepung beras
  • 5 helai daun pandan
  • Gula kabung dipotong kiub kecil
  • Kelapa parut (gaulkan dengan garam halus secukup rasa)
  • Sedikit pewarna hijau

Cara Pembuatan:

1. Didihkan air ¾  penuh di dalam periuk.

2. Kisar daun pandan bersama sedikit air dan kemudian tapis.

3. Campur air pandan tadi dengan sedikit pewarna hijau dan tuang air sedikit demi sedikit ke dalam campuran tepung pulut dan tepung beras, sehingga menjadi doh yang kental dan boleh digentel.

4. Ambil sedikit adunan, leperkan atas tapak tangan dan letakkan gula melaka sebagai inti. Tutup rapat dan bentukkan bulat.

5. Rebus dalam air mendidih sehingga Onde Onde timbul. Angkat dan toskan.

6. Golek Onde Onde dengan kelapa parut yang telah dikukus. Tabur sedikit garam dan gaul rata.

7. Sedia untuk dihidangkan

Donut Susu

Pasti ramai yang sudah tahu untuk membuat donut biasa. Kini donut susu pula kian viral dan rasanya memang sedap tak terkata. Cara membuat donut yang sama namun apa yang membezakannya adalah donut susu disalutkan dengan gula icing serta susu. Jom buat mengikut resepi Siti Suliana Ana.

Bahan A:

  • 1paket yis kering
  • Air suam
  • 4 sudu mkn gula

Bahan B:

  • 1paket tepung gandum cap ros
  • 4 sudu makan marjerin
  • 4 sudu makan susu pekat
  • 2 sudu kfc garam
  • 2 sudu makan susu tepung

Bahan C:

  • Air
  • Perasa pandan
  • Pewarna hijau

Cara Penyediaan:

1. Gaul sebati bahan A dan biarkan sehingga berbuih.

2. Gaul sebati bahan B hingga adunan akan jadi seperti serbuk roti.

3. Kacau bahan C hingga sebati.

4. Satukan bahan A dan B. Masukkan sedikit demi sedikit bahan C dan uli sehingga doh tidak melekat di tangan. Doh lagi lama uli lagi lembut.

5. Rehatkan doh selama 1/2 jam (jangan lupa tutup dan masukkan dalam bekas yang besar, doh akan mengembang berganda-ganda)

6. Selepas setengah jam, ambil doh tadi tumbuk-tumbuk untuk buang angin dalamnya.

7. Canai doh mengikut bentuk yang disukai.

8. Siap canai semuanya boleh terus digoreng.

9. Biarkan sejuk baru boleh salut dengan gula ising dan susu tepung.

Bebola Ubi

Kuih viral ini turut dikenali dengan Sweet Potato Ball. Kuih ini banyak dijual dan menjadi antara makanan perlu dicuba di Cameron Highland. Resepinya hampir sama dengan kuih cek mek. Nak dapatkan bebola ubi yang rangup di luar dan lembut di dalam? Ikuti resepi dari Tuan Adriana Arissa.

Bahan-bahan Bebola Ubi Ungu:

  • 450g ubi keledek – direbus dan dilenyek
  • ½  cwn tepg pulut
  • ¾  cwn tepg beras
  • ¼  cwn gula
  • 1 sdt baking powder
  • Sedikit garam
  • Bijan

Cara penyediaan:

1. Campur semua bahan sehingga menjadi doh.

2. Kemudian bulat-bulatkan dan boleh digolek diatas bijan.

3. Goreng sehingga masak dengan api yang kecil.

Bahan-bahan bebola ubi oren:

  • 300g ubi keledek-direbus & dilenyek
  • 70g tepung ubi
  • 30g tepung gandum
  • 70g gula
  • Sedikit garam
  • 1 sdt baking powder
  • 1-2 sudu besar air

Cara Penyediaan:

1. Campur semua bahan dan gaul sebati.

2. Kemudian bulat-bulatkan sebesar biji bola pinpong. Untuk kuih ini wajib dapatkan hasil yang kosong atau kopong di dalam barulah menjadi kuihnya.

Nota: Untuk mendapatkan tekstur kuih yang rangup di dalam dan lembut di luar, goreng dengan api sederhana besar. Apabila sudah nampak hampir separuh masak, hendaklah ditekan-tekan kuihnya dengan sudip dan digolek-golek di dalam kuali. Kuih akan naik lebih kembung. Jangan risau terpenyek kerana ia akan bulat semula. Kuih akan menjadi ringan apabila sudah masak.

Peneram

Nak buat kuih peneram haruslah mengikut resepi yang betul agar peneram tidak liat apabila sudah sejuk. Ramai juga yang menyukai kuih ini kerana rasanya yang manis dan seakan cair di mulut. Resepi yang sangat mudah, ikuti perkongsian dari Annie Ibrahim.

Bahan-bahan:

  • 500gram tepung beras
  • 400gram gula merah
  • 270ml air (untuk rebus gula merah)

Cara Penyediaan:

1. Rebus gula merah dengan air sehingga meruap (berbuih).

2. Masukkan rebusan gula merah ke dalam tepung beras dan kacau hingga rata dan tidak berbiji-biji. Berhati-hati kerana sangat panas.

3. Sejukkan doh selama 7 jam (Selalunya perap satu malam)

4. Rajin-rajin uli doh dalam 2 atau 3 jam sekali. Jika keras, bolehlah campur sedikit dengan air panas (agak-agak). Bentukkan peneram.

5. Apabila sudah perap, goreng  peneram dalam minyak yang betul-betul panas. Goreng dengan api sederhana.

Sagu Merah Kelapa

Nasuha Saiful telah berkongsikan resepi kuih sagu merah kelapa. Menggunakan tujuh bahan, cara penyediaannya cukup mudah. Memang berbaloi untuk dicuba. Ini resepi yang perlu anda cuba!

Bahan-bahan:

  • 2 cwn sagu
  • 2 ½  cwn air
  • 1 ½  cwn gula pasir
  • 2 sdk pati sirap rose
  • Kelapa parut
  • Sedikit garam
  • Daun pandan

Cara Penyediaan:

1. Basuh sagu dan toskan.

2. Masukkan sagu ke dalam pan.

3. Tuangkan air.

4. Masukkan gula, sirap rose dan daun pandan.

5. Masak sehingga pekat.

6. Tuang ke dalam loyang.

7. Kukus sehingga sagu jernih.

8. Biarkan sejuk (kalau nak cepat masukkan ke dalam peti ais)

9. Potong dan gaul ke dalam kelapa parut yang dicampur bersama sedikit garam. 10. Sedia untuk dihidang.

Kaswi

Kaswi yang sedap dan menarik semestinya kaswi yang mempunyai tekstur yang boleh melantun dan rasanya yang manis. Cara penyediaannya juga mudah dan menggunakan bahan asas yang ada di rumah. Resepi milik Fatimah Saari ini telah mendapat perkongsian ramai. Tentu menjadi jika dicuba!

Bahan-bahan:

  • 1 cawan gula merah
  • 1 cawan gula putih
  • 5 cawan air
  • 1 cawan tepung ubi
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh air kapur
  • Kelapa parut dan garam (gaul dan kukus sekejap bagi kelapa tahan lama)

Cara Penyediaan:

1. Campurkan gula merah dan gula putih di dalam air lalu masak. Kemudian tapiskan dan sejukkan.

2. Campur tepung gandum, tepung ubi dan air kapur lalu kacau sebati dan tapis.

3. Panaskan periuk kukus dan loyang. Apabila loyang sudah panas, tuang adunan dan kukus selama 30 minit hingga masak.

4. Apabila sudah sejuk, boleh gaul dengan kelapa parut.

Tepung Gomak

Turut dikenali sebagai kuih abuk-abuk,  kuih tradisional ini sangat terkenal lebih-lebih lagi di negeri Melaka. Kuih yang kenyal diluar dan intinya yang manis pasti buat ramai yang menyukainya. Resepinya cukup mudah, ikut sahaja resepi milik Ila Nabilah Jaaffar.

Bahan-bahan Kulit:

  • 1 kg tepung pulut
  • Air (agak-agak)

Cara Penyediaan:

1.Uli macam biasa. Jangan terlalu banyak air nanti terlalu lembik.

Tips: Rahsia nak tepung gomak kenyal apabila makan tarik macam cheese, jangan tambah tepung gandum. Tepung gandum buat kuih tepung gomak menjadi keras dan tidak kenyal, tetapi ikut selera masing-masing.

Bahan Inti Kelapa:

  • 5 biji kelapa parut
  • ½ kg gula merah
  • 1kg gula pasir
  • Daun pandan

Cara Penyediaan:

1. Masak gula merah sehingga cari.

2. Apabila sudah masak, tapis untuk buang serdak-serdak.

3. Satukan semua bahan di atas kecuali kelapa.

4. Apabila semua bahan sudah betul-betul sebati dan mendidih, masukkan kelapa. 5. Apabila sudah nak kering, tambah sedikit tepung gandum (agak-agak).

Cucur Jawa

Leina Qaliena telah berkongsikan resepi cucur jawa yang sedap. Kuih yang turut dikenali sebagai kuih penjaram dan penyaram ini adalah salah satu kuih tradisional yang enak. Cucur jawa yang menjadi mestilah mempunyai tekstur berongga di dalamnya serta lembut.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras cap 3 gajah(erawan brand)
  • 2 cawan tepung gandum cap ros
  • 1 cawan gula merah hancur
  • 1 cawan gula putih (boleh kurangkan kepada 3/4 cwn sahaja)
  • 2 ¼  – 2 ½  cawan air (ikut kesesuaian)
  • 2 helai daun pandan
  • 1 sudu teh garam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Masak gula merah dan gula putih dengan air sehingga gula larut. Boleh letak daun pandan untuk lebih wangi. Tapis dan biarkan seketika (suam).

2. Satukan tepung gandum dan tepung beras dan garam. Tuang air gula merah tadi sedikit-sedikit dan adun sebati. Jika adunan nampak masih kental, boleh ditambah air sedikit-sedikit sahaja sehingga dapat adunan yang cantik (tidak terlalu cair dan tidak terlalu kental).

3. Tapis adunan kedalam bekas supaya adunan halus sekata. Whisk adunan sehingga timbul buih atau timba menggunakan senduk baru diperap.

4. Tutup bekas adunan dan perap pada suhu bilik minimum 4 jam. Boleh digoreng. Nak lebih cantik perap semalaman sehingga esok pagi baru digoreng. Boleh juga diperap didalam peti ais.

5. Guna kuali yang sedikit dalam, tuang ½  cawan minyak dan gunakan api yang perlahan sahaja.

6. Tuang adunan perlahan dan biarkan ia masak dan membentuk seperti bersarang sehingga habis baru dibalikkan.

Nota: Semasa menggoreng, jika ia menjadi serat-serat bermakna adunan yang cantik. Hasilnya kuih menjadi renda atau ropol topi yang cantik, ringan, rangup di bahagian tepi dan lembut di dalam.

Lepat Labu

Antara kuih tradisional yang sedap, Julia Aleen Aireish berkongsi resepi mengenai kuih lepat labu. Tak tahu nak buat apa dengan labu? Buat saja lepat labu pasti ramai yang menyukainya. Ini bahan dan cara pembuatannya:

Bahan A:

  • 2 cawan tepung gandum
  • ½  cawan tepung jagung
  • ¼  cawan gula [tambah 3 sudu makan lg]
  • ½  sudu teh garam halus

Cara Penyediaan: Satukan semua bahan atas ini di dalam bekas dan gaul sekata.

Bahan B:

  • ½  biji labu kuning [1kg berat]

Cara Penyediaan: Rebus empuk, toskan air dan lenyek hingga halus.

Bahan C:

  • 1/2 biji kelapa parut (gaulkan dengan sedikit garam)
  • Daun pisang secukupnya (dilayur)

Cara Penyediaan:

1. Campurkan bahan A dengan bahan B, gaul rata dan sebatikan.

2. Sudukan satu sudu makan adunan labu di atas daun pisang.

3. Letak inti kelapa di atasnya.

4. Ambil lebih kurang satu sudu adunan tadi tutup inti kelapa.

5. Lipat daun pisang, lipat kiri dan kanan buat sampai habis susun dalam kukus. 6. Didih air kukus lebih kurang 15 minit atau hingga masak. Sebelum makan, sejukkan dahulu. Lepat labu kelihatan berkilat dan licin.

Koci Pulut Hitam

Resepi kuih koci hitam ini menggunakan santan agar rasanya sedap berlemak. Resepi yang dikongsikan oleh Zaliha Salleh ini sangat mudah untuk diikuti. Mendapat banyak perkongsian di Facebook, hasilnya pasti memuaskan.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 5 sudu makan beras pulut hitam dikisar halus dan diayak
  • Sedikit garam
  • 1 cawan air

Cara Penyediaan:

1. Tepung pulut dan beras pulut hitam serta garam di adun sebati.

2. Kemudian curah air sedikit demi sedikit.

3. Apabila doh tidak melekat di tangan bermaksud doh sudah okay.

Bahan Inti Kelapa :

  • 1 biji kelapa parut
  • 2 biji gula melaka
  • 3/4 cwn gula pasir
  • 1 sudu besar tepung gandum dibancuh dengan sedikit air
  • Daun pandan disimpul

Cara-Cara:

1.Masak gula melaka, ¾  cawan gula pasir dan daun pandan dengan sedikit air. Masak sehingga gula

melaka hancur kemudian tapis.

2. Masukkan kelapa parut dan biarkan masak sekejap atas dapur. Agak-agak dah kering, masukkan bancuhan tepung gandum. Masak sehingga ia lembap kemudian sejukkan.

3. Bulat-bulatkan inti tersebut.

4. Daun pisang dilayur di atas api.

Bahan Koci:

  • Kuah santan pekat
  • 2 sudu besar tepung beras
  • 2 cawan santan pekat
  • Sedikit garam

Cara penyediaan: Campurkan tepung beras ke dalam santan pekat. Kacau sebati dan masukkan garam. Masak adunan sehingga pekat dan ketepikan.

Cara Membuat Kuih Koci:

1. Masakkan air rebusan dalam satu periuk untuk masak kuih koci.

2. Ambil sedikit adunan tepung pulut tadi dan bulatkan kemudian leperkan diatas tangan. Masukkan inti kelapa dan bulatkan semula. Buat sampai doh habis.

3. Apabila air rebusan sudah mendidih, masukkan doh-doh kuih koci ke dalam air rebusan sehingga kuih koci terapung dan angkat.

4. Masukkan pula kuih koci ke dalam adunan campuran santan dan tepung beras.

5. Guna sudu ambil doh koci sekali dengan adunan santan tadi dan letak di atas daun pisang yang disapu minyak. Bungkus dengan cantik.

6. Kemudian kukus sekejap dalam 7 minit untuk bagi aroma daun pisang.

Samosa Daging

Zaliha Saleh turut berkongsi resepi samosa yang mudah dan enak. Inti samosa lazimnya diletakkan kentang dengan ayam atau daging. Kerangupan samosa menjadikan ia enak dimakan bersama intinya yang pelbagai.

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus kulit popia
  • 400 gm daging kisar – Ramly
  • 2 biji kentang – dipotong dadu kecil
  • 2 labu bawang besar – dipotong dadu kecil*
  • 3 ulas bawang putih – tumbuk*
  • 2 sudu serbuk kari daging
  • Garam
  • Serbuk perasa
  • Daun sup – potong halus

Cara Penyediaan:

1. Panaskan 2 sudu minyak masak, tumiskan bahan bertanda * hingga kekuningan.

2. Masukkan serbuk kari, daging dan kentang. Masak diatas api kecil hingga kentang menjadi lembut lalu letak sedikit air jika perlu.

3. Masukkan garam dan serbuk perasa secukup rasa.

4. Akhir sekali masukkan daun sup tunggu sejukkan.

5. Ambil sekeping kulit popia, isikan inti ke atas kulit popia dan tutup lipat tiga segi dan gamkan menggunakan putih telur. Ulang hingga habis.

6. Panaskan minyak dan goreng hingga garing. Siap sedia untuk dihidangkan.

Kasturi

Ada penggemar kuih kasturi? Kuih yang berasaskan kacang hijau ini memang enak di makan sewaktu pagi mahupun petang. Nor Afidah telah berkongsi resepi yang mudah. Pasti menjadi jika ikut cara yang betul. Ini bahan-bahannya.

Bahan-bahan:

  • 1 kg kacang hijau (cuci bersih dan rendam 30 minit)
  • 3200 ml air
  • Beberapa helai daun pandan
  • Rebus kacang sehingga empok

Bahan Bancuhan Tepung Beras:

  • 600 g tpg beras cap gajah 1 @ 3
  • 30 g garam
  • 100 g tepung gandum
  • 1 litter air
  • 1 sdb air kapur
  • Sedikit pewarna kuning

Cara Penyediaan: Campurkan semua.

Bahan Lain:

  • 500 g gula pasir (sesuai selera)
  • 800 g kelapa muda parut putih
  • 200 g tepung gandum

Cara Penyediaan:

1. Rebus kacang hijau sehingga empuk. Jika ada biji-biji tidak mengapa asalkan lembut.

2. Masukkan gula pasir masa kacang masih panas lagi dan gaul rata.

3. Sejukkan.

4. Apabila kacang sudah sejuk, baru masukkan kelapa parut dan gaul sebati. Kemudian masukkan tepung gandum dan gaul sehingga gandum bercampur rata.

5. Timbang 30g, kemudian bulat-bulatkan dan leperkan. Guna sarung tangan sebelah kiri untuk membentuk supaya tidak melekat. Buat sehingga habis.

6. Sedia untuk digoreng. Untuk kuih kasturi yang bersalut tepung ranggup dan berkerinting, pastikan goreng minyak yang banyak dan panas (rujuk video menggoreng).

7. Simpan dalam peti sejuk selepas dibentuk supaya kuih kasturi keras dan mudah untuk dipegang semasa proses mencelup tepung untuk digoreng.

8. Untuk frozen goreng separuh masak, sejukkan baru susun dalam bekas untuk frozen.

Tips:

1. 1kg kacang hijau menghasilkan kuih kasturi yang banyak.

2. Disyorkan untuk percubaan buat 500 g kacang hijau. 3. Rujuk video cara menggoreng kuih kasturi yang bersalut tepung berkerinting dan ranggup.

Lempeng Kelapa

Imej via [ Nor Afidah ]

Ada yang rindu lempeng kelapa air tangan bonda? Lempeng kelapa enak dimakan bersama gula merah, gula pasir, kelapa parut, kari mahupun sambal bilis. Juadah minum petang ini sangat mudah untuk dimasak. Ikuti resepi milik Salwani Ibrahim ini.

Bahan-bahan:

  • Setengah biji kelapa parut (Kalau dapat kelapa muda lagi sedap)
  • 3 cwn tepung gandum (saya guna cap ros)
  • 2 biji telur
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 sudu besar marjerin yang di cairkan
  • Air suam

Cara Penyediaan:

1. Gaul semua bahan hingga sebati. Air suam tu agak-agak sahaja seperti bancuhan tepung goreng pisang.

2. Sendukkan adunan dalam kuali non stick tanpa minyak ( dalam adunan dah ada marjerin)

3. Tunggu dan terbalikkan hingga masak.

Banyak resepi kuih muih tradisional yang boleh anda cuba. Resepi di atas telah dikongsikan di Facebook dan mendapat perkongsian hingga beribu orang.

Jika anda tak tahu nak masak untuk menu sarapan atau menu petang, pilih sahaja resepi di atas yang mudah dan pasti menjadi. Pilihlah resepi yang menggunakan bahan sedia ada di rumah anda. Selamat mencuba!

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.