Baru baru ini, mahkamah tinggi Amerika Syarikat ‘menghalalkan’ perkahwinan sejenis (lelaki boleh kahwin lelaki dan perempuan boleh kahwin perempuan) di seluruh negeri-negerinya. Apa yang dulunya tidak dibenarkan dan dipandang serong oleh kebanyakan masyarakat Amerika, kini bukan sahaja diterima, bahkan disahkan pula oleh undang-undang. Cukup menggerunkan.
Nampaknya, seluruh dunia seolah-olah terpaksa akur kepada tuntutan golongan LGBT ini. Tidak berapa lama dulu ia diluluskan di negara-negara Eropah termasuk yang terbaru, di Ireland. Tidak mustahil, dengan kelicikan perancangan mereka melalui pelbagai jalan, ke depan ini negara-negara Asia yang cukup ‘anti’ dengan kesongsangan ini mungkin akhirnya terpaksa tunduk.
Di Malaysia juga, golongan LGBT ini wujud. Tapi di sini, perjuangan mereka masih taboo dan ditolak oleh kebanyakan masyarakat Islam yang masih rasional. Namun, berhati-hati adalah mesti, selain dari memastikan bahawa golongan yang pro perjuangan LGBT tidak mendapat pentas di media dan di parti-parti politik, bagi setiap kita, terutamanya ibu bapa, ada peranan yang boleh kita lakukan untuk sekurang-kurangnya memastikan anak-anak kita bebas dari gejala ini.
Proses pembentukan identiti seseorang bermula sejak dia dilahirkan. Pengalaman hidup seseorang sewaktu kecil berperanan besar dalam menentukan anak lelaki membesar menjadi lelaki dan anak perempuan membesar sebagai perempuan.
Ada ahli akademik yang menyatakan bahawa proses ini bermula sejak anak-anak berusia 8 bulan dan paling kritikal sebelum anak-anak mencecah usia 5 tahun. Dalam tempoh ini, ada 5 perkara yang perlu diberi perhatian dalam memastikan anak-anak lelaki tidak membesar menjadi ‘gay’.
Pertama sekali, adalah pemerkasaan peranan ayah. Kajian yang cukup popular yang dilakukan oleh Irving Bieber terhadap lelaki-lelaki gay menunjukkan bahawa ketiadaan ayah yang punya sifat ‘qawwam’ (pelindung) dan rijal (kejantanan) adalah punca utama mengapa anak-anak lelaki mengalami kecelaruan identiti hingga menjadi ‘gay’.
Peranan ayah mesti diperkasakan dalam keluarga, apa yang diperlukan bukan ayah yang ‘sweet’, romantik dan boleh melakukan semua jenis kerja-kerja rumah, bukan juga ayah yang garang macam singa sepanjang masa, tapi ayah yang tegas dan lembut pada masanya, bertanggungjawab dan melayani anak-anak lelaki sesuai dengan fitrah mereka.
Bieber menyarankan dalam kajiannya agar ayah-ayah bermain dengan anak-anak lelaki, terutamanya permainan-permainan berbentuk fizikal yang agak ‘kasar’. Permainan antara ayah dan anak ini pada peringkat awal usia anak-anak menurut beliau boleh membentuk jatidiri dan sifat kelelakian anak-anak lelaki.
Kehilangan figura ayah dalam kehidupan anak-anak, terutamanya di barat di mana banyak berlaku kelahiran luar nikah yang mana anak tidak mengenal ayahnya mungkin menyebabkan penyakit ini banyak berlaku di barat.
Adalah penting untuk mereka yang berada di sekitar anak-anak tersebut memastikan anak-anak lelaki membesar dalam suasana lelaki. Sebagai contoh, anak-anak lelaki jangan dibenarkan bermain dengan anak patung ‘cute’ bersama dengan anak perempuan, memakai lipstick atau memakai pakaian perempuan. Jika ia berlaku, ahli keluarga dan ahli masyarakat mesti menegur dan memperbetulkan keadaan.
Anak lelaki mesti dibiarkan bermain dengan kasar, bergomol, meredah lecak dan bermain bolasepak dengan rakan-rakan sebaya. Luka-luka sedikit tidak mengapa selagi tidak berbahaya. Permainan berkumpulan seperti bolasepak dan galah panjang adalah penting untuk membentuk identiti dan sifat kepimpinan. Sesekali juga, ayah juga perlu melayani hobi anak-anak lelaki dengan melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal MTB, memanjat gunung dan bermain perang.
Keempat, anak lelaki juga mesti diajar agar tiada siapa yang boleh menyentuh bahagian sulit mereka. Biasanya perkara ini wajib diajar kepada anak-anak perempuan, tapi hidup dalam zaman ini, di mana anak-anak lelaki juga terdedah kepada pencabulan, anak-anak lelaki mesti juga diingatkan bahawa bahagian sulit mereka adalah eksklusif hanya untuk diri mereka.
Kelima, ibu kepada anak-anak lelaki mesti mengesahkan sifat kepimpinan ayah dalam rumahtangga. Jika ayah kurang berfungsi, atau berlaku perceraian dalam rumahtangga, ibu mesti seboleh mungkin cuba untuk tidak memburukkan ayah di hadapan anak-anak.
Banyak masalah sosial yang berlaku di kalangan anak-anak remaja asalnya adalah dari rumahtangga yang berantakan dan bercerai berai. Kesannya bukan sehari dua, seminggu dua, tapi dibawa hingga ke mati.
Lima perkara ini mesti diambil kira oleh ibu bapa dalam memastikan anak-anak lelaki tidak membesar menjadi ‘gay’. Anak-anak lelaki bukan sahaja mesti dibesarkan sebagai lelaki, tetapi sebagai ‘rijal’ yang sentiasa siap siaga jiwanya untuk membantu agama.
Moga Allah memberi kita semua kekuatan.
*Idea asal artikel ini adalah dari Dave O’ Leary yang menulis tentang ‘How to prevent homosexuality in boys’ di lama ‘Fathers for Life’.