Setiap kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Walaupun kanak-kanak adalah sebaya, tetapi mereka sebenarnya tidak sama daripada pelbagai segi.

Dengan kelebihan yang ada dalam diri anak, adakah salah jika pada usia seawal 3 tahun, anak sudah pandai membaca?

Adakah ibu bapa kepada anak yang bijak membaca di usia 3 tahun ini memaksa anak mereka untuk pandai belajar membaca?

Adakah salah apabila ibu ayah ‘mengajar’ anak mereka membaca terlalu awal?

Ayuh kita kupas perkara ini dengan lebih mendalam agar kita dapat lebih memahami isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

Foto Kredit : topsante.com

KETAHUI 3 PERKARA UTAMA TENTANG KANAK-KANAK

Berikut merupakan tiga perkara utama yang kita perlu tahu tentang kanak-kanak.

1. PEKERJAAN KANAK-KANAK ADALAH BERMAIN

Sepertimana yang kita ketahui, secara fitrahnya, kanak-kanak sememangnya suka bermain. Mereka tidak seharusnya dilarang daripada bermain.

Sebagai ibu ayah, kita wajib membenarkan dan menggalakkan anak-anak kecil untuk bermain pelbagai medium permainan.

Tidak semestinya kita perlu membelikan mereka permainan atau membawa anak ke taman permainan berbayar setiap hujung minggu.

Kita sebenarnya boleh ‘DIY’  sendiri permainan untuk mereka dengan menggunakan bahan terpakai dan bawa mereka meneroka alam semulajadi secara percuma.

Foto Kredit : computermerchants.com.au

2. PUNYA SIFAT INGIN TAHU DAN EKSPERIMENTASI YANG TINGGI

Kanak-kanak secara naturalnya mempunyai sifat ingin tahu dan eksperimentasi yang tinggi dalam diri mereka. Ianya jelas kelihatan pada kanak-kanak.

Anda tidak percaya? Luangkan masa bersama anak-anak dengan lebih banyak dan anda akan lihat betapa ‘curious’ dan eksperimentalnya anak-anak terhadap sesuatu perkara itu.

Foto Kredit : thestar.com

3. SETIAP ANAK MEMPUNYAI ‘MULTIPLE INTELLIGENCES’

Secara teorinya, manusia cenderung untuk mempunyai kepelbagaian kecerdasan natural (Multiple Intelligences). Teori ini turut diguna pakai oleh ramai pendidik.

Jika kita sering berada di sekitar anak-anak, kita akan akui bahawa seorang anak, menunjukkan kecenderungan jenis kecerdasan yang agak pelbagai, tidak rigid dan tidak terhad.

Di bawah disertakan petikan penerangan tentang teori ‘Multiple Intelligences’ oleh Howard Gardner ini.

JOM KITA GABUNGKAN KETIGA-TIGA POIN DI ATAS

Dengan gabungan tiga perkara utama tentang kanak-kanak ini, adakah ‘possible’ untuk anak-anak pandai membaca pada usia 3 tahun tanpa rasa ‘stress’?

BERMAIN + SIFAT INGIN TAHU & SUKA EKSPERIMEN + KEPELBAGAIAN KECERDASAN NATURAL (MULTIPLE INTELLIGENCES)

Jika dilihat pada kecenderungan kecerdasan verbal-linguistik yang dicadangkan dalam teori Prof. Gardner, ianya merujuk kepada seseorang yang mempunyai keupayaan verbal yang baik dan sensitif terhadap bunyi, maksud dan ritma perkataan.

Jadi, menurut teori Prof. Gardner ini, memang ada anak-anak yang mempunyai kecenderungan kecerdasan ini, minatnya adalah pada bermain bahasa. Anak-anak ini :

  • Cekap mengenal bunyi.
  • Cekap mengenal pasti perbezaan sebutan antara satu perkataan dengan perkataan lain.
  • Cekap menangkap pecahan-pecahan bunyi yang ada dalam satu-satu perkataan.
  • Sangat mudah belajar membaca jika kaedah bunyian seperti kaedah fonik didedahkan kepada mereka.

Maka, membaca dengan membunyikan huruf menjadi lebih mudah buat mereka.

Jadi, kenapa perlu halang anak-anak ini? Mereka seronok BERMAIN bunyi-bunyi perkataan, seronok BERMAIN baca-baca apabila terjumpa perkataan di pasar raya. Memang kecenderungan kecerdasan anak itu pada kemahiran verbal-linguistiknya.

Usah dikecam ibu ayah yang mengajak anak kecilnya bermain dengan bunyi huruf untuk mendedahkannya dengan kemahiran pra-membaca.

Mereka bukan mengajar, tetapi mengajak anak bermain dengan kaedah tertentu dalam proses membaca ini – ajak dan ajar adalah 2 perkara yang berbeza.

Foto Kredit : americanspcc.org

JADI, KITA BOLEH AJAR ANAK 3 TAHUN MEMBACA?

Tidak.

Kita tidak ajar anak 3 tahun membaca. Kita AJAK anak 3 tahun MAIN BACA-BACA.

Macam mana nak main baca-baca? Terdapat banyak kaedah belajar membaca sambil bermain mengikut tahap perkembangan natural kanak-kanak tanpa paksaan. Kaedah-kaedah itu digunakan dengan syarat meletakkan anak sebagai matlamat, bukan pandai membaca sebagai matlamat.

Contohnya adalah dengan kaedah ReadEasy atau Bacalah Anakku, ianya adalah kaedah yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.

Yang penting, jangan paksa anak. Ikut ‘pace’, tahap perkembangan dan tahap kemampuan anak.

Foto Kredit : imgdealix.pw

RAIKAN KECENDERUNGAN ANAK

Sebagai ibu ayah, ayuh kita raikan apa jua kecenderungan kecerdasan natural anak-anak. Terdapat anak-anak yang kecenderungannya bukan pada verbal-linguistik tetapi pada bidang kecerdasan natural yang lain. Jadi, dengan pemahaman kita tentang perkara ini, dalam konsep membaca, mungkin anak ini agak lewat berbanding rakan sebaya mereka.

Usah dibanding beza anak kita dengan anak orang lain. Fahamkan ‘milestone’  perkembangan anak-anak dan ‘be positive , In Sha Allah kita akan sentiasa bersyukur serta tidak ‘stress’  jika perkembangan anak kita tidak sama dengan kanak-kanak lain. Setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing.

Perjalanan menjadi ibu ayah adalah ‘continuous learning’, maka jom kita sama-sama belajar dan gali ilmu ‘parenting’  setiap hari. Semoga kita menjadi ibu bapa hebat buat anak-anak kita.

‘Let’s read, research, learn and be wise!’

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.