Sesiapa sahaja pasti berasa tenang apabila mendengar anak-anak berbicara dengan menggunakan kata-kata yang indah. Kata-kata kesat yang keluar daripada mulut anak-anak pula, pasti menjadi kurang enak pada halwa telinga kita.

Ketahuilah bahawa segala-galanya bermula daripada rumah. Kita sebagai ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar berbicara dengan menggunakan kata-kata yang baik setiap hari.

Berikut merupakan 3 kata-kata ‘magic’ iaitu perkataan yang cukup mudah tetapi sangat penting dan memberikan kesan yang mendalam dalam diri kita dan anak-anak. Ayuh ajarkan 3 kata-kata ‘magic’ ini kepada mereka sejak kecil lagi.

Foto Kredit : juniorsclub.gr

1. ‘TOLONG’

Setiap hari, pasti kita akan meminta pertolongan daripada anak dan anak juga akan meminta bantuan daripada kita.

Setiap kali kita ingin meminta pertolongan anak, selitkan perkataan ‘tolong’ tersebut dan didik mereka untuk mengucapkannya juga apabila ingin meminta bantuan.

Percaya atau tidak, ajaibnya ayat yang mempunyai perkataan ‘tolong’ ini, ianya pasti mendatangkan kelainan rasa yang sukar untuk diungkapkan di hati kita dan anak-anak, berbanding dengan tiadanya perkataan tersebut ketika ingin memohon bantuan.

Foto Kredit : americanaquasolutions.com

2. ‘TERIMA KASIH’

Bayangkan, sekiranya kita telah menolong seseorang atau memberikan sesuatu kepadanya, tetapi tiada sedikit pun ucapan terima kasih diungkapkan oleh mereka, hati kita sebagai manusia biasa pasti berasa terkilan.

Oleh itu, ajarkan ucapan terima kasih kepada anak-anak setiap kali mereka menerima sesuatu barang atau pertolongan daripada individu lain.

‘Magic’ sungguh ucapan terima kasih ini, kerana ia dapat menerbitkan rasa dihargai kepada si pemberi dan menyemai rasa bersyukur di hati penerima.

Foto Kredit : eventbrite.com

3. ‘MAAF’

Kita semua tidak sempurna. Selagi kita bernafas di muka bumi ini, kita pasti akan melakukan kesilapan demi kesilapan dan belajar daripada kesilapan tersebut.

Mungkin sebahagian daripada kita berasa sangat sukar untuk meminta maaf kepada orang lain sekiranya kita melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, sebagai ibu bapa, kita seharusnya mengajarkan anak ucapan maaf ini dengan cara mempraktikkannya bersama anak-anak.

Sekiranya kita secara tidak sengaja membuat kesilapan terhadap anak-anak, tidak salah untuk kita memohon maaf kepada mereka. Ya, ianya mungkin bukan perkara yang mudah. Tetapi percayalah, sekiranya anak telah dibiasakan dengan ucapan maaf ini, mereka juga pasti akan menjadikan ianya sebagai amalan dalam kehidupan seharian mereka kelak.

Keajaiban ucapan maaf ini jika kita terima seikhlasnya, ia dapat menyejukkan dan melembutkan hati, serta mengubati hati yang terluka.

Foto Kredit : hayatouki.com

IBU BAPA SEBAGAI ‘ROLE MODEL’

Kita sebagai ibu bapa perlu sedaya upaya berusaha menjadikan diri sebagai contoh teladan terbaik buat anak-anak. Anak-anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas ibu bapa. Kita seharusnya mencorakkan mereka dengan akhlak terpuji dengan dihiasai didikan ucapan kata-kata yang indah.

Sekiranya anak-anak berbicara yang kurang enak kerana terikut-ikut dengan persekitaran mereka, nasihati dan perbetulkan kesilapan mereka dengan cara yang baik.

Semoga atas kesopanan budi bahasa anak-anak kita, mereka akan menjadi hamba yang diredhai Allah, tidak meninggi diri dan menjadi insan yang dihormati masyarakat kelak.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.