Membentuk keluarga ibarat membina sebuah negara. Kalau tidak mana mungkin wujud tagline ‘Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera’. Keluarga merupakan unit asas yang membentuk masyarakat yang harmoni.

Masih terngiang-ngiang akan kata-kata seorang ilmuwan Islam iaitu andai kita ingin lihat hancurnya sebuah negara itu, lihatlah kepada asas pembentukkan keluarga ummah tersebut. Bertapa pentingnya untuk kita membentuk sebuah keluarga yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.

Mari kita lihat beberapa tips yang dikongsi semasa Seminar Keluarga Sunnah yang lalu dalam usaha membentuk keluarga yang ideal.

1. Jaga Solat Diawal Waktu

Jaga solat di awal waktu, PASTI keluarga bahagia. Bertambah indah bila kita berjemaah bersama keluarga.

Kualiti solat pasti berbeza antara individu yang sekadar bersolat dengan individu yang sentiasa memastikan solatnya diawal waktu. Kualitinya ibarat jauh langit dan bumi.

Usaha untuk solat diawal waktu. Tinggalkan urusan dunia bila azan sudah berkumandang. Semoga kita sentiasa mampu menjaga kualiti solat menjadi yang terbaik.

Imej via siraplimau.com

2. Wujudkan Taqlim Di Dalam Rumah

Wujudkan taqlim di rumah sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari. Selalunya dilakukan selang maghrib dan isya’.

Taqlim adalah sesi berkumpul sekeluarga sambil bercerita tentang Allah swt, kisah para anbiya, hadith, tafsir Al quran dan lain-lain lagi.

Jadikan rumah kita taman-taman syurga yang sentiasa dipenuhi dengan majlis ilmu yang mendidik jiwa kita dan keluarga.

Imej via webmuslimah.com

3. Wujudkan Waktu Khusus Buat Keluarga

Apa yang dimaksudkan dengan waktu khusus?. Contohnya:

  • Solat berjemaah.
  • Makan bersama.
  • Berbual dengan ahli keluarga.

Waktu khusus ini perlu ada sekurang-kurangnya sekali sehari untuk memastikan kita mempunyai masa berkualiti bersama keluarga.

Pastikan TIADA telefon atau gadjet dalam waktu khusus ini ya! Diharamkan😁.

4. Sebut Nama Anak Dan Pasangan Dalam Doa

Doa itu senjata orang mukmin. Jangan lupa untuk berdoa buat keluarga kita. Sebutkan nama mereka dalam doa kita.

Terdapat beberapa doa yang diajar oleh Ustaz Ebit Liew di akhir penulisan ini untuk kita amalkan. Semoga bermanfaat.

Imej via mbaratna.com

5. Banyakkan Zikir

Banyakkan menyebut ‘Ya Arhamar Rahimin’ yang bermaksud Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang.

Mudah-mudahan semua ahli keluarga kita juga turut mempunyai dua sifat ini dalam diri mereka. Ameen.

6. Hindari Sikap Malas

Malas itu satu sifat yang jelik. Buang perkataan malas dalam hidup kita. Jauhi perkara di bawah kerana sering menjadi punca utama umat masa kini menjadi malas:

  • Kurangkan tidur.
  • Kurangkan makan.
  • Kurangkan media sosial.
  • Kurangkan berhibur.

Sedaya upaya jauhinya supaya setiap masa kita dipenuhi dengan aktiviti yang baik lagi bermanfaat.

7. Rumah Sunnah

Tanda Allah swt sayang pada keluarga kita ialah apabila setiap ahli keluarga kita mampu berlembut dan bertoleransi diantara sama lain.

Jika ahli keluarga kita masih bermusuhan, bertelingkah dan berkasar itu bermakna ahli keluarga kita masih jauh daripada Allah swt.

Apa ciri-ciri Rumah Sunnah?. Rumah yang bersedia menyambut kedatangan Rasulullah saw sebagai tetamu.

Bayangkan Rasulullah saw akan datang rumah kita pada hari ini. Adakah kita akan….

  • Menghulurkan Al Quran yang sudah berhabuk, tanda jarang dibuka kepada Rasulullah saw?
  • Menyorokkan segala DVD, majalah atau gambar yang tidak mengikut syariat Islam?
  • Menyorokkan segala baju atau seluar yang tidak menutup aurat?

Pastikah kita Rasulullah saw akan gembira datang ke rumah kita?. Fikir-fikirkanlah.

8. Tidak Merungut

Jadikan sirah Rasulullah saw sebagai contoh tauladan dalam kita membahterai rumah tangga.

Salah satu akhlak Rasulullah saw ialah baginda tidak pernah merungut akan…

  • Masakan isteri baginda tidak sedap.
  • Kekurangan layanan dari isteri baginda.
  • Rajuk atau cemburu isteri baginda.
  • Kesusahan dalam rumahtangga baginda.

Rasulullah saw sentiasa berlapang dada dan menyelesaikan setiap masalah dengan adil dan berhemah.

Imej via /persbiomaonline.word press

9. Bersihkan Hati

Bagaimana mahu bersihkan hati yang hitam?. Haaaa… Rajinkan diri membuat kerja rumah, membersihkan tandas kerana kerja-kerja ‘kotor’ ini mampu menundukkan hati yang kadang-kadang lalai akan kehidupan sebenarnya.

Sambil buat kerja rumah, ulang dalam hati kata-kata ini:

‘Ali, kau bukan siapa-siapa, kau tiada apa-apa di dunia ini. Segala kebaikan yang ada pada kau hanyalah kuasa dan pertolongan Allah swt sahaja’.

Ulang..ulang dan ulang agar kita sentiasa beringat yang segala yang ada di dunia ini hanyalah milik Allah swt Yang Maha Esa.

10. Sentiasa Bersabar

Setiap kali kita nampak keburukan dan kekurangan pada pasangan dan anak-anak, kita hendaklah sentiasa berSABAR.

Perbetulkan diri sendiri dahulu kerana kadang-kala keburukan dan kekurangan itu datangnya dari diri kita sendiri yang..

  • Gagal bersyukur.
  • Gagal mendidik.
  • Gagal menjadi contoh yang baik.

Orang yang yakin kepada Allah swt tidak pernah memandang rendah kepada orang lain termasuk dirinya sendiri.

11. Tidak Mengharapkan Pujian Makhluk

Setiap kali buat kebaikan, jangan kita harapkan pujian, penghargaan dan sanjungan orang. Sebaliknya, harapkan keredhaan Allah swt. Setiap kebaikan itu menjadi sebab Allah swt pandang dan sayang akan diri kita.

Jika Yang Maha Esa itu sayang akan hambaNya, secara automatik segala makhluk turut sayang kepadanya.

12. Kekalkan Mawaddah Dalam Rumahtangga

Bagaimana mahu mengekalkan suasana mawaddah dalam rumahtangga?. Cuba lakukan perkara ini:

  • Jalan berpimpin tangan dengan pasangan.
  • Peluk pasangan.
  • Baring di atas riba pasangan.
  • Pandang pasangan dengan rasa cinta.

Hargai pasangan seadanya kerana kita juga akan menjadi contoh kepada anak-anak untuk menghargai orang yang disayangi mereka pula nanti.

Imej via keluargasamawa.com

13. Tunjukkan Cinta dan Penghargaan Kepada Keluarga

Ringankan mulut untuk melahirkan kata cinta, penghargaan, pujian dan dorongan kepada pasangan dan anak-anak setiap hari.

Kata-kata positif ini akan melembutkan hati dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Penuhkan tangki emosi pasangan dan anak-anak dengan emosi yang positif.

14. Tidak Berlaku Kasar

Rasulullah saw tidak pernah memukul, merotan, menengking dan meninggikan suara kepada pasangan dan anak-anak.

Baginda bijak menggunakan bahasa yang berhemah dalam menyelesaikan sebarang konflik dan masalah.

Kekerasan dan kekasaran hanya akan mengeraskan hati dan merenggangkan hubungan kekeluargaan sahaja.

15.  Sentiasa Buat Kebaikan

Cara hidup kita, menentukkan cara mati kita.

Cara mati kita pula menentukkan cara kita dibangkitkan kelak.

Jadi, jika kita ingin kesudahan penghidupan ini dengan pengakhiran yang baik. Maka, betulkan cara hidup kita dahulu.

Pastikan setiap tindakan itu berlandaskan syariat Islam. Berusahalah untuk sentiasa buat kebaikan bukan kemungkaran. Nauzubillah.

16. Menjadi Suami yang Rajin

Suami yang rajin tolong basuh pinggan BUKAN suami yang dayus.

Suami yang tolong jaga anak, BUKAN suami yang dayus.

Suami yang tolong sidai baju, BUKAN suami yang dayus.

Tapi, suami yang DAYUS ialah:

  • TIDAK mampu membentengi isterinya dari azab api neraka.
  • TIDAK mampu memelihara aurat isterinya.
  • TIDAK mampu membimbing isterinya ke jalan Allah swt.

Isteri itu cerminan didikan seorang suami. Jika baik didikan suaminya, maka baiklah isterinya. Insya-Allah.

17. Banyakkan Sujud, Kembali Kepada Allah

Jarak suatu masalah dengan jalan penyelesaiannya, ibarat jarak dahi dengan tempat sujudnya. Apa sekali pun konflik yang melanda, kembalilah kepada Allah swt.

Kualiti sesebuah keluarga itu terletak kepada kualiti solat ahlinya. Rumahtangga yang sentiasa ada solat dan zikir di dalamnya pasti bahagia.

Jaga hubungan kita dengan Allah swt kerana Allah swt pasti jaga hubungan kita dengan orang lain. Insya-Allah.

Imej via abiummi.com

18. Sentiasa Bersedekah

Rajin bersedekah sesama anggota keluarga. Bukan hanya wang dan makanan, malah pemberian hadiah permainan untuk si anak kecil juga adalah satu sedekah.

Teringat akan satu kisah seorang alim yang tidak pernah lupa untuk membawa ‘buah tangan’ buat keluarganya apabila pulang dari tempat kerja.

Walau sekecil-kecil pemberian sepotong coklat buat anak pun sudah menggembirakan hati anak-anak yang menanti di rumah.

Kegembiraan itulah yang menjadi kunci kepada keluarga yang bahagia.

19. Suami Perlu Ada Sifat ‘Ghirrah’

Ghirrah bermaksud cemburu. Suami perlu ada sifat cemburu bertujuan menjaga kehormatan isteri dan menghindarkan isteri daripada maksiat.

Contohnya, jika isteri ingin keluar bersama rakan-rakan, suami perlu pastikan isteri menutup aurat dan menjaga pergaulannya.

20. Banyakkan Berdoa

Antara doa-doa khusus yang boleh diamalkan ialah:

  • Doa apabila rumahtangga dilanda badai. (Surah At Taubah: 128-129)
  • Doa supaya ahli keluarga sentiasa menjaga solat. (Surah Ibrahim: 40)
  • Doa supaya Allah swt memelihara kedua ibu bapa kita dan menjadikan anak-anak kita seorang yang taat. (Surah Al Ahqaf: 15)

Rumahtangga yang bahagia adalah salah satu syurga dunia. Pelihara syurga dunia ini agar kita dan keluarga dapat masuk ke syurga akhirat bersama-sama. Ameen.

 

 

 

Sumber: Perkongsian di laman facebook Lina Princess Coway 

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.