EDD dah semakin dekat. Bayi dah mula turun ke bawah, kepala engaged dengan tulang pelvik. Barang keperluan untuk bayi dan ibu semua dah tersedia. Sekarang tinggal menunggu masa untuk bersalin. Apa kata kalau anda luangkan masa untuk membaca petua mudah bersalin yang ingin kami kongsikan.

Sumber Gambar: Todaysparent

1. Amalkan membaca Surah Maryam

Amalkan membaca surah ini dengan niat semoga dipermudahkan semasa bersalin. Apabila sampai diayat sujud tilawah, anda boleh sujud. Minta dan berdoalah apa yang anda inginkan semasa bersujud. Minta supaya proses bersalin berjalan dengan lancar. Mohon supaya anda dan bayi sihat wal afiat. Jangan lupa minta supaya bayi yang dikandung menjadi anak yang soleh atau solehah. Jadikan surah ini sebagai amalan harian.

2. Khatam Al-Quran

Sekiranya anda mempunyai masa lapang, banyakkan membaca Al-Quran. Lebih bagus kalau anda berjaya khatam Al-Quran dalam tempoh kehamilan.

3. Rajin bersenam

Bersenam bukan sahaja membantu anda kekal cergas dan bertenaga, malah bayi yang dilahirkan dari rahim ibu yang aktif sepanjang tempoh kehamilan lebih alert dan cerdas berbanding ibu yang memilih untuk duduk atau baring sepanjang hari. Bersenam juga membantu anda tidak mudah penat semasa proses bersalin yang panjang.

4. Jaga pemakanan

Amalkan pemakanan yang seimbang. Makanan makanan sebenar. Banyakkan sayu-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan makanan yang tinggi dengan MSG, makanan ringan, makanan segera, dan juga organ dalaman haiwan seperti hati, pedal, jantung, limpa, paru dan sebagainya.

Ada pendapat mengatakan bahawa organ dalaman seperti hati baik untuk ibu hamil, terutamanya untuk ibu yang mengalami masalah darah rendah. Tapi menurut islam, semua organ dalaman adalah makruh untuk dimakan.

Begitu juga dengan pil ubat-ubatan dan supplement. Sebolehnya elakkan daripada mengambil sebarang jenis pil termasuklah paracetamol dan ubat selsema. Makan suppelement yang dibekalkan dari klinik setiap hari menurut jadual makan yang diberikan. Elakkan supplement yang dibeli sendiri di farmasi atau online.

Sumber Gambar: Mednutrition

5. Doa selusuh

Anda boleh mula amalkan doa mudah bersalin apabila kandungan memasuki  usia 7 bulan. Di samping itu anda juga boleh mengamalkan minum minyak selusuh dan sapu di perut dari atas ke bawah, bertujuan memudahkan bayi meluncur keluar semasa bersalin. Kata orang-orang tua, minyak selusuh yang terbaik ialah yang dibuat oleh suami sendiri. Namun jika suami anda terlalu sibuk, boleh juga membeli minyak selusuh yang banyak dijual di pasaran.

6. Kerap Bersama Suami

Jika anda ingin mudah bersalin, salah satu petua yang menjadi sebutan ialah kerap bersama suami (bersetubuh) pada hari-hari terakhir menanti kelahiran. Mengikut petua orang-orang terdahulu, ini merupakan selusuh yang paling original. Dari segi perubatan, air mani merembeskan hormon yang menggalakkan kontraksi dan mempercepatkan bukaan serviks.

7. Kurangkan duduk dan baring

Elakkan daripada sentiasa baring, duduk dan berehat setiap masa. Sibukkan diri dengan aktiviti seperti mengemas rumah, berjalan-jalan di taman sambil ambil angin, window shopping, dan sebagainya. Gaya hidup yang aktif sepanjang tempoh kehamilan terutamanya saat-saat menjelang kehamilan membantu anda lebih cergas semasa bersalin.

8. Pemakanan Sunnah

Anda juga boleh mengamalkan makanan sunnah seperti kurma, kismis, madu dan habbatus sauda sepanjang  tempoh kehamilan. Makanan sunnah dipercayai dapat membantu memudahkan proses bersalin di samping mengalkkan bayi daripada terkena demam kuning atau jaundis. Kekacang juga bagus untuk anda dan bayi dalam kandungan.

Sumber Gambar: Cun.my

9. Pastikan Tenaga Mencukupi

Pastikan anda bertenaga semasa masuk ke bilik bersalin. Makan dan minum secukupnya supaya anda tidak kehabisan tenaga semasa meneran.

10. Posisi Bebas, Ikut Fitrah

Pilih mana-mana posisi yang selesa bagi anda. Tidak semestinya anda wajib berbaring dengan posisi terlentang diatas katil. Jangan takut dimarahi oleh jururawat.

11. Jalan itik

Jalan itik membantu mempercepatkan bukaan serviks lalu memendekkan proses bersalin. Anda tidak perlu menanggung sakit dalam tempoh yang lama.

12. Berendam dalam air suam sebelum Ke Hospital

Apabila anda mula terasa sakit contraction, boleh berendam dalam air suam sambil sebelum ke hospital. Jika rumah anda ada bathtub, boleh berendam didalam bathtub. Kalau takde bathtub, anda boleh berendam dalam kolam kanak-kanak yang boleh dibeli di pasaraya atau kedai mainan.

Alunan muzik atau zikir yang menenangkan juga sangat membantu. Boleh juga gunakan wangian kegemaran anda untuk menimbulkan suasana relax. Ianya sangat membantu anda supaya mudah bersalin.

Sumber Gambar: Fivelementsbirth

13. Ketuk ketampi

Seperti jalan itik, ketuk ketampi juga membantu mempercepatkan bukaan serviks.

14. Jangan meneran jika bukan waktunya

Jangan meneran sekiranya bukaan anda masih kecil dan tidak mendapat green light dari bidan dan doktor. Meneran terlalu awal boleh menyebabkan rahim anda pecah dan komplikasi yang lain termasuk koyakan faraj yang teruk serta buasir. Macam mana cara untuk mengawal diri daripada meneran sebelum waktunya?

Sentiasa kawal diri dengan fokus kepada pernafasan. Tarik nafas dan hembus perlahan-lahan secara konsisten.

15. Jangan mengangkat punggung

Ingin kami ingatkan, jangan sesekali mengangkat punggung semasa anda meneran. Mengangkat punggung semasa bersalin akan menyebabkan berlakunya koyakan yang teruk pada faraj. Seteruk mana pun sakit yang anda alami, sentiasa pastikan punggung berada atas katil, bukannya di udara. Sentiasa longgarkan otot untuk memberikan pergerakan semulajadi terhadap proses kelahiran.

Sumber Gambar: Pregnancyandbaby

Itulah dia 15 petua mudah bersalin yang boleh anda praktiskan mulai hari ini. Semoga artikel ini membantu. Kami doakan anda melalui proses bersalin yang mudah dan cepat.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.