Nak tahu cara mengajar anak membaca dengan cepat?
Tetapi sebelum itu, amri kita hadam statistik di bawah dahulu.
Tahukah anda, menurut kajian, belajar membaca merupakan satu cabaran untuk lebih daripada 40 peratus kanak-kanak? Oleh itu, jangan risau sekiranya anak anda belum pandai membaca seperti anak rakan-rakan anda.
Paling penting, jangan membandingkan anak anda dengan mereka kerana dikhuatiri anak anda akan hilang keyakinan diri dan menyebabkannya hilang minat untuk belajar lagi. Ingatlah, setiap anak-anak mempunyai potensi diri yang berlainan.
Kita sebagai ibu bapalah bertanggungjawab untuk mencungkil dan mengasah potensi mereka supaya menjadi insan yang cemerlang di masa hadapan, inshaAllah.
Artikel kali ini adalah berkenaan 10 tips supaya anak cepat pandai membaca. Sekiranya anda menyedari anak anda lambat membaca berbanding rakan sebaya, jangan diabaikan sahaja mereka. Ini kerana, semakin meningkat usia anak-anak itu, semakin sukar untuk mereka belajar membaca.
Oleh itu, pendidikan awal adalah sangat penting bagi mereka. Semoga tips ini bermanfaat pada ibu bapa diluar sana, inshaAllah.
Kajian mendapati bahawa membacakan buku pada anak setiap hari boleh meningkatkan pemahaman anak dan membolehkan anak menangkap kosa kata atau beberapa perkataan yang rumit. Selain itu, dengan membacakan buku pada anak-anak, ia boleh mencetus sifat kreativiti dan minat mereka untuk membaca.
>Tidak kira sama ada anak anda masih belum bersekolah atau sudah meningkat remaja, cara ini boleh meningkatkan keinginan anak untuk membaca dengan sendiri.
Kita sering melihat orang barat gemar membacakan buku cerita fantasi atau cerita kanak-kanak pada anak mereka sebelum tidur. Apa kata kita pula mengaplikasikan cara ini pada anak kita pula.
Bezanya, sebelum mereka tidur, kita bacakan ayat al-Quran mudah atau doa tidur, dituruti dengan membacakan kisah Nabi dan Rasul pada mereka. Disamping boleh menggalakkan mereka pandai membaca, kita juga boleh mengajar mereka kisah teladan dan sejarah Nabi.
Selain itu, tahukah anda, antara perkara yang boleh meninggalkan kesan dalam ingatan anak-anak adalah membacakan mereka buku! Rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut: 10 Perkara Yang Meninggalkan Kesan Dalam Ingatan Anak.
Kanak-kanak yang dibesarkan di rumah yang mempunyai sumber bahan bacaan yang banyak didapati lebih cemerlang dalam pelajaran. Galakkan anak anda membaca dengan melengkapkan rumah anda dengan pelbagai jenis bahan bacaan seperti majalah, komik dan buku.
Lebih elok sekiranya wujudkan perpustakaan kecil di rumah, atau letakkan bahan bacaan di sekeliling anak anda seperti dalam bilik tidur, ruang tamu ataupun dalam kereta!
Wujudkan waktu membaca keluarga yang tetap. Sebagai contoh, setiap Jumaat malam, anda sekeluarga menetapkan satu jam dimana semua orang membaca bersama-sama dalam keadaan senyap.
Dengan melihat anda membaca, anak anda juga akan terdorong untuk membaca. Hanya 15 minit setiap hari pun memadai bagi meningkatkan tahap kelajuan pembacaan anak anda.
Jadikan membaca itu sebahagian daripada hidup anak anda. Galakkan mereka membaca menu makanan di restoran, papan tanda atau iklan di tepi jalan, tajuk rancangan kegemaran mereka atau apa sahaja informasi yang praktikal.
Anda juga boleh memberikan apa sahaja bentuk bacaan diwaktu lapang mereka sementara mereka menunggu temujanji doktor gigi atau dalam perjalanan menaiki keretapi.
Pelbagaikan bahan atau sumber yang boleh membantu mereka cepat belajar seperti flashcard, permainan atau ipad apps yang sesuai. Dengan cara ini, anak anda akan lebih teruja untuk belajar membaca sekaligus menarik minat mereka.
Terimbau kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu. Dahulu, kami tidak mempunyai kereta, jadi, jika mahu kemana-mana kami akan menaiki bas. Teringat kesusahan ibu saya membawa kami tiga beradik yang masih kecil ke perpustakaan seminggu sekali.
Tidak kira apa jua keadaan, perpustakaan menjadi tempat wajib kami kunjungi setiap minggu. Sewaktu cuti sekolah, ibu memilih untuk menghantar kami ke perpustakaan setiap hari. Di penghujung hari, selepas pulang dari pejabat barulah ibu menjemput kami.
Meletihkan dan kami juga tidak dapat pergi bermain. Tetapi dengan cara tersebut, kami lebih berminat untuk membaca berbanding aktiviti lain.
Ketahui secara terperinci setiap perkembangan anak anda. Dapatkan maklumat dari guru di sekolah berkenaan sejauh mana perkembangan yang anak anda tonjolkan di sekolah. Kenalpasti kemahiran membaca yang sepatutnya mengikut peringkat umur.
Kebanyakan ibu bapa gemar meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mengajar anak mereka di bahu guru di sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan anak mereka sendiri.
Hakikatnya, itu adalah perbuatan yang salah! Sesi pembelajaran dan pengajaran tidak sepatutnya berlaku hanya disekolah. Ia sepatutnya bermula dari rumah. Ibu bapalah pendidik terawal dan utama bagi anak mereka.
Pembelajaran di sekolah hanya untuk perkara yang tidak mampu diajar oleh ibu bapa di rumah. Apalah gunanya anda belajar tinggi sehingga ke peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah jika anak anda sendiri diajar oleh pembantu rumah Indonesia yang tidak pernah bersekolah.
Kenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak anda semasa proses membaca. Mungkin, anak anda tidak boleh menyebut suatu huruf dengan betul. Mungkin, dia sendiri tidak faham apa yang dia baca.
Dan mungkin juga anak anda keliru dengan huruf-huruf yang ada. Kenalpasti masalah ini dan dapatkan kerjasama dari guru di sekolah sekiranya anda tidak tahu cara terbaik untuk menanganinya.
“Saya mahu anak saya pandai membaca dalam masa satu bulan!”. Sekadar berimpian tidak boleh menyebabkan anak anda membaca dengan cepat. Jujur pada diri, dan letakkan matlamat yang realistik. Hanya anda mengetahui sejauh mana potensi dan tahap perkembangan anak anda.
Anda boleh meletakkan matlamat seperti ‘berusaha melatih anak membaca 15 minit setiap hari’ atau ‘menggalakkan anak membaca tiga buah buku sebulan’. Apa sahaja matlamat mengikut kemampuan anak anda.
Terlalu mendesak anak mencapai matlamat yang anda tetapkan sendiri bukan sahaja menyebabkan anak tertekan, malah boleh meragut minat mereka untuk membaca. Jadikan membaca ini suatu perkara yang menyeronokkan, bukan merunsingkan.
“Anak saya membaca terlalu perlahan”. Antara keluhan yang sering diluahkan oleh ramai para ibu. Tidak mengapa untuk anak anda membaca lambat. Setiap anak-anak mempunyai keupayaan belajar yang berbeza. Ada yang cepat dan ada yang lambat.
Jangan sesekali membanding-banding anak anda dengan anak orang lain – lebih-lebih lagi dihadapannya. Dikuhatiri, semangat dan minatnyanya untuk belajar hilang sedikit demi sedikit.
Jangan terlalu bimbangkan selaju manakah anak anda membaca. Sebaliknya, tumpukan lebih perhatian pada bagaimana anak anda menyebut sesuatu perkataan dengan tepat dan betul.
Jangan terlalu memberi tekanan pada anak anda supaya laju membaca. Lebih baik sekiranya anda boleh membantunya mengingati apa yang dia baca sebentar tadi. Sebagai contoh, anda boleh menulis beberapa perkataan atau melukis sesuatu yang menggambarkan apa yang berlaku. Dengan cara ini, minat anak anda untuk membaca boleh bercambah hari demi hari.
Reaksi dan respon dari anda mempunyai pengaruh yang besar dalam menggalakkan anak anda membaca. Pastikan anda memuji dengan ikhlas setiap usaha mereka. Sekali sekala, hadiahkan barang impian mereka untuk mengiktiraf segala usaha mereka dan membuatkan mereka rasa dihargai. Ingat, usaha yang kecil tetapi diamalkan setiap hari boleh menyumbang pada kejayaan yang besar dikemudian hari.
Anak anda tidak mahu membaca? Fahami perasaan mereka. Kebiasannya apabila sesuatu perkara tersebut dianggap terlalu sukar untuk dilakukan, ditambah lagi dengan tekanan pelbagai pihak termasuk guru di sekolah dan ibu di rumah, anak anda seringkali memilih untuk tidak melakukannya lansung!
Kongsikan pada anak anda apa jua perkara yang anda tidak pandai atau menghadapi masalah untuk melakukannya. Akui padanya, sebagai manusia biasa, tidak mengapa untuk tidak pandai – asalkan berusaha dan mencuba.
Paling penting, raikan setiap kejayaan dan usaha anak anda – setiap satu kejayaan! Jangan hanya bergantung pada kad kemajuan sekolah anak anda untuk mengetahui tahap kemajuan mereka dalam pelajaran.
*Raikan apabila anak anda berjaya menyebut satu perkataan yang sukar dengan betul.
*Raikan apabila beliau sudah semakin membaca dengan lancar.
*Raikan apabila mereka memperbetulkan sebutan bacaan sendiri.
*Raikan apabila mereka menghabiskan banyak buku untuk dibaca,
*Raikan setiap satu darinya!
Dalam mendidik anak membaca, saya mendapati diri saya kerap memuji walau sedikit pun kejayaan yang dilakukan oleh mereka. Bukan memuji untuk menggalakkan sikap riak dalam diri mereka, tetapi memuji untuk menghargai setiap usaha yang mereka lakukan.
Kerana hakikatnya, dalam apa jua perkara, Allah memberi pahala pada hamba-Nya berdasarkan usaha, bukan pada hasil semata-mata. Hanya manusia yang mengharapkan hasil yang baik. Sedangkan, kita hidup kerana Allah, bukan hidup untuk memenuhi apa yang diharapkan manusia.
Saya sendiri tidak begitu meletakkan harapan yang tinggi pada anak-anak saya terutamanya dalam pelajaran mereka. Saya percaya, asalkan mereka berusaha, mereka sudah pun berjaya di mata saya. Kejayaan tanpa usaha adalah rezeki. Tetapi kejayaan dengan usaha lebih manis nilainya dan lebih dihargai.
Saya juga percaya, setiap anak mempunyai bakat dan kemampuan tersendiri. Membanding dan menghakimi mereka berdasarkan bilangan A yang diperolehi adalah tidak adil pada mereka sama sekali.
Anak-anak bukan dilahirkan untuk memenuhi segala kehendak dan impian kita. Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa hanyalah sekadar melatih dan mendidik mereka menjadi manusia yang lebih baik dikemudian hari. Asalkan mereka berusaha untuk memperbaiki diri, itu sudah memadai.
Walau apa pun cara yang anda praktis bagi membolehkan anak anda membaca dengan cepat sekaligus memupuk minat mereka membaca, semuanya terletak pada diri anda sendiri. Anak-anak akan dicorak mengikut acuan anda sendiri. Sekiranya anda sendiri malas membaca, bagaimana untuk berharap anak anda mengikut seperti yang anda mahukan?
Bak kata pepatah English, “we must lead by example”. Sekiranya kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik, walau dipaksa sekalipun, anak anda tidak akan melakukan perkara baik tersebut.
Kredit gambar: Arnau M. Bertran, Subhendu Sarkar, Yasser Chalid, Farrukh