Sebaik sahaja anak anda meningkat umur tertentu, anda merasakan sudah tiba masanya anak anda tidak lagi menggunakan lampin pakai buang, atau pampers. Benar, pampers memudahkan urusan seharian anda, lebih-lebih lagi sewaktu anda keluar bersiar-siar di hujung minggu atau membeli belah di pasaraya.
Namun, pampers juga ada keburukannya. Untuk cuaca panas lembab seperti di Malaysia, dikhuatiri anak anda menanggung ketidakselesaan dan kegatalan kulit. Apabila dia tidak selesa, moodnya akan terganggu sekaligus menggangu aktiviti seharian anda.
Saya sudah beberapa kali melalui pengalaman potty si kecil saya. Lucunya, saya menempuh pengalaman yang berbeza-beza untuk setiap anak saya. Walau apa pun, potty training merupakan antara pengalaman yang mencabar untuk kebanyakan ibu terutamanya untuk ibu bekerjaya seperti saya.
Paling utama, kedua-dua ibu dan anak harus bersedia. Hanya salah satu pihak yang bersedia tidak akan membuahkan hasil.
Ibu seharusnya bersedia untuk proses potty train ini terutamanya dari segi mental. Saya ingatkan sekali lagi, potty train adalah mencabar, terutamanya untuk ibu bekerjaya.
Si manja juga harus bersedia untuk di-potty train. Tiada umur tertentu untuk mengetahui anak anda bersedia atau tidak. Semuanya bergantung pada anak anda sendiri. Sekiranya dia tidak bersedia, semakin anda mendesak, semakin dia tidak mahu.
Jadi, bagaimana untuk mengetahui si manja anda sudah bersedia untuk potty train atau tidak?
Beri perhatian pada tanda-tanda tersebut. Sekiranya si kecil anda mempunyai tanda fizikal tersebut, dia berkemungkinan sudah bersedia untuk di potty train.
Tanda Fizikal
1) Sudah pandai berjalan, atau berlari dengan stabil.
2) Membuang air kecil dengan kadar yang sesuai pada suatu masa.
3) Mempunyai waktu membuang air besar yang tetap dan boleh diramal.
4) Tidak membuang air kecil sewaktu tidur atau sekurang-kurangnya dua jam.
Tanda Tingkah Laku
1) Boleh duduk diam di satu posisi untuk 2 hingga 5 minit.
2) Boleh membuka dan memakai sendiri seluarnya.
3) Tidak suka atau merungut apabila memakai pampers yang basah atau kotor.
4) Memberitahu anda apabila sakit perut setiap kali mahu membuang air besar.
5) Suka berdikari.
6) Bangga dengan apa jua pencapaiannya.
7) Tidak menolak sekiranya diajar menggunakan tandas.
Tanda Kognitif
1) Memahami tanda fizikal yang berlaku padanya. Sebagai contoh, sekiranya dia sakit perut, dia sudah memahami yang dia patut membuang air besar.
2) Bijak untuk memberitahu anda tanda fizikal yang berlaku padanya.
3) Boleh menahannya sebelum betul-betul membuang air.
4) Boleh memahami arahan mudah seperti “kemaskan balik mainan itu selepas main”.
Terangkan berulang kali pada anak anda, sudah tiba masa untuk dia tidak lagi memakai pampers. Jelaskan mengapa dengan lembut, dan jangan sesekali memaksa, memperkecilkan atau memarahinya.
Anda boleh juga menunjukkan gambar atau video berkenaan potty training untuk menarik minat beliau dan membolehkan dia menjangka apa yang akan berlaku sepanjang proses potty train ini.
Rancang trip istimewa ke kedai bersama si manja anda untuk membeli potty dan seluar baru untuknya. Adalah lebih baik sekiranya potty training ini dimulakan dengan potty, berbanding menyuruhnya terus ke tandas.
Belikan juga training seat bersama tangga untuk diletakkan pada tandas anda supaya anak anda boleh mula membuang air dengan berdikari.
Anak-anak lebih cepat belajar dengan memerhati persekitarannya. Dengan melihat anda menggunakan tandas, ia akan membantu dia memahami tujuan sebenar ke tandas. Berbincang dengannya tentang bagaimana anda tahu masa yang sepatutnya untuk ke tandas.
Di awal proses potty train, anda akan membantu si manja anda membersihkan punggungnya selepas membuang air. Jangan khuatir. Selepas melihat anda melakukannya berulang kali sambil memberitahunya cara untuk melakukannya, dia akan terbiasa dengan keseluruhan proses tersebut.
Mulakan dengan mengajar si manja anda membaca doa sebelum melangkah ke dalam tandas dan dahulukan kaki kiri.
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina”.
Anak anda mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terleka semasa di dalam tandas. Apabila berada di dalam tandas, si kecil saya kerap terleka kerana dia berminat untuk memegang hampir semua benda! Lantai, mangkuk tandas, berus tandas, flush air, tong sampah dan apa sahaja.
Jangan putus ada untuk mengingatkan si manja anda agar duduk dan tangan sentiasa di lutut semasa membuang air. Untuk anak lelaki, jangan galakkan dia membuang air kecil berdiri.
Jangan lupa juga untuk mengingatkan anak anda mencuci tangan setiap kali selesai urusannya – walaupun kadang kala urusan tersebut tidak berjaya. Ingat, mencuci tangan bukan sekadar melalukan tangan pada air, tetapi membasuh tangan menggunakan sabun.
Anggaplah potty training ini sebagai larian marathon, bukan acara lari pecut. Potty training merupakan proses pembelajaran untuk si ibu dan si manja.
Jangan membandingkan anak anda dengan anak-anak rakan anda atau sesiapa sahaja. Setiap anak-anak mempunyai jadual potty training yang unik dan tersendiri.
Anda tidak perlu memaksa anak anda atau berharap dia segera memahami situasi ini. Apa yang penting, anda berterusan melatih anak anda tanpa jemu. Mulakan semuanya dengan perlahan-lahan.
Di awal proses, anda cuba galakkan si manja anda untuk duduk di atas potty sehari sekali. Selepas bersarapan, sebelum mandi atau bila-bila sahaja yang anda jangka dia akan membuang air.
Sekiranya dia menolak, anda jangan cepat berputus asa atau memarahinya. Biarkan dahulu potty di tepid an cuba lagi seminggu kemudian.
Sekiranya dia nampak berminat, mula terangkan padanya ibu, ayah, kakak dan abang melakukannya setiap hari.
Buat ibu-ibu yang bekerjaya, anda boleh peruntukkan masa setiap hujung minggu untuk melatih si dia. Dengan cara ini, apabila si manja anda sudah terbiasa, perlahan-lahan dia sendiri akan menolak untuk memakai pampers lagi.
Pastikan potty tersebut mudah dibawa kemana-mana dan senang untuk dilihat supaya anda mudah menggunakannya apabila anak anda tiba-tiba mahu membuang air. Pastikan juga pengasuhnya menggunakan kaedah yang sama supaya dia tidak keliru.
Saya dapati anak-anak saya memberi respon yang lebih baik sekiranya saya memberi mereka pilihan. “Harini awak nak pakai dress ke, nak pakai baju kurung untuk ke kenduri?” “Along minat nasi goreng ke, spageti untuk makan malam?”.
Sebagai ibu bapa, walaupun kita selalu rasa kita lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak, kadang kala kita perlu memberi kebebasan untuk mereka memilih apa yang mereka mahu.
Rancang trip anda ke kedai bersama si manja anda, dan berikan kebebasan untuk dia memilih training pants atau seluar dalam baru yang dia sukai.
Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda sudah terdesak untuk membuang air, tetapi bergelut disebabkan baju atau seluar anda? Begitu juga dengan anak anda.
Si kecil tersebut baru sahaja belajar untuk menggunakan potty. Sebaiknya, permudahkanlah urusan anak anda. Bagi anak perempuan, memakai skirt atau dress sesuai untuk mereka. Manakala untuk anak lelaki pula, memadai memakaikan mereka seluar pendek atau seluar yang longgar agar untuk memudahkannya semasa mahu membuang air.
Elakkanlah pemakaian yang bergaya tetapi menyusahkan si manja anda nanti terutamanya sekiranya anda bercadang untuk keluar bersiar-siar di hujung minggu.
Semasa di rumah, pastikan potty mudah dijumpai oleh si kecil anda. Saya sendiri membeli beberapa potty untuk diletakkan disekitar rumah supaya mudah dijumpai si manja saya. Di dalam bilik tidur, di dalam tandas, di dalam boot kereta, diruang tamu malah di dapur!
Lebih baik sekiranya anda boleh membeli potty seat untuk perjalanan jauh seperti pulang ke kampung. Dengan cara ini, walau dimana anda pergi, anda boleh mengekalkan momentum potty training. Ingat, demi kejayaan potty training ini, ia harus dilakukan berterusan, bukan sekadar dilakukan apabila si ibu mempunyai kerajinan sahaja.
Sekiranya si manja anda memiilih untuk membuang air di tandas biasa, sediakan tangga kecil untuk memudahkannyamemanjat. Dengan cara ini, anak anda akan lebih berdikari dan tidak terlalu mengharapkan bantuan anda.
Walaupun anak anda didapati berjaya membuang air di tandas di siang hari, anak anda pasti akan mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk melatihnya di waktu malam. Semestinya anda tidak mahu membasuh cadar dan menjemur tilam hampir setiap hari, bukan?
Kebanyakan ibu bapa mula melatih untuk waktu malam apaila anak mereka menjangkau usia 3 hingga 4 tahun. Tetapi bukanlah satu masalah sekiranya anda mahu bermula sejak awal. Namun, jangan lupa untuk mengalas tempat tidurnya setiap malam.
Cuba kurangkan pengambilan air si manja anda diwaktu malam. Sentiasa mengingatkannya sekiranya terbangun malam untuk membuang air, dia boleh sentiasa mengejutkan anda untuk membantu atau menemani.
Sepanjang potty train, anda pasti akan melalui beberapa pengalaman atau peristiwa dimana anak anda terlupa untuk ke tandas mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Agak menggeramkan dan memenatkan. Tetapi jangan sesekali melepaskannya pada si manja anda atau memarahinya.
Anda bukan keseorangan. Ia adalah normal berlaku kerana anda anda pasti akan mengambil masa untuk betul-betul memahami dan menyesuaikan diri. Letakkan diri anda ditempatnya.
Anda juga pasti akan berasa tertekan jika terpaksa melalui pengalaman dan situasi yang baru. Berilah sokongan padanya dan bersihkanlah dengan tenang tanpa merungut. Dudukkannya di atas potty selepas itu untuk menunjukkan padanya dimana sepatutnya dia membuang air.
Anda sudah berusaha sebaik mungkin, yang selebihnya biarlah kita meletakkan kebergantungan pada Allah. Banyakkan berdoa, dan berfikiran positif. Percaya bahawa mendidik anak juga merupakan salah satu cara untuk kita mendekatkan diri pada-Nya.
Potty training ini semestinya memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. InshaAllah Allah akan memudahkan urusan kita dan memberikan kita ganjaran yang setimpal di syurga kelak.