Adakah kita sedar kadang kala tindakan kita sebagai ibu bapa telah membunuh minat, potensi dan emosi anak-anak?. Persoalannya, apakah tindakan tersebut? Adakah….

  • Memanjakan anak itu mudarat?
  • Membelikan mainan yang banyak itu tidak bagus?
  • Memberi gajet kepada anak itu teruk?

Adakah persoalan di atas ini boleh dikatakan sebagai tindakan yang menbunuh potensi anak?. Mari kita lihat 10 tindakan yang kita lakukan mungkin tanpa sedar telah memberi kesan buruk kepada perkembangan anak-anak kita.

1. Tidak Bawa Anak Beraktiviti Luar

Terlalu banyak manfaat jika anak diberi peluang bermain di luar. Terutamanya bagi kemahiran motor mereka. Berlari, memanjat, melompat, bermain pasir, memijak rumput, memegang daun dan ranting. Melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti ini akan merangsang kesemua sensori mereka secara optimum! Bukan sahaja fizikal bahkan aspek sosio-emosi anak-anak juga dapat dipenuhi apabila mereka bermain di luar.

Imej via www.borgione.it

Jom bawa anak-anak ke taman permainan😊.

2. Tidak Beri Anak Peluang Membuat Keputusan

Pernah berada dalam situasi ini?.

“Adik, cepat mandi!”.

“Pilih kasut merah lagi cantik”.

“Hari ini kita main gunting-gunting, esok baru main masak-masak”.

Imej via www.everydayfamily.com

Anak suka kasut hijau, ibu suruh beli kasut merah.

Anak tengah main, ibu suruh mandi tanpa kompromi.

Anak nak main masak-masak, tapi mak suruh main gunting-gunting.

Bila pula suara, pendapat dan perasaan anak akan didengari?. Jika hanya kata-kata ibu ayah yang terpaksa dituruti. Dengar suara mereka juga, ini akan membuatkan mereka rasa dihormati dan dihargai. Keyakinan diri mereka juga turut akan meningkat.

3. Tidak Beri Pengalaman Aktiviti Hands On Kepada Anak

Kanak-kanak yang didedahkan dengan aktiviti hands on akan membantu dalam perkembangan otak mereka. Mereka akan belajar dengan lebih baik jika suatu proses pembelajaran itu dijalankan dengan adanya penglibatan aktif kanak-kanak dan merangsang kesemua deria yang ada.

Jika ingin belajar tentang sayur, lebih bagus lagi jika kanak-kanak itu dapat memegang, menghidu,  dan sebagainya. Ajar mereka cara-cara bagaimana untuk menanam sayur. Rekodkan pemerhatian tumbesarannya. Dengan cara ini, mereka akan lebih faham dan mengingati apa yang dipelajari.

Imej via www.pbs.org

4. Tidak Mengawal Masa Mereka Menonton TV Dan Bermain Gajet

Pengaruh gajet masa kini terhadap kanak-kanak memang kuat sekali. Tengok sahaja keliling kita,sama ada di rumah, restoren, pusat asuhan memang kerap kali dilihat kanak-kanak disuakan dengan gajet untuk ‘diam’.

Imej via www.telegram.com

Sedangkan kita tahu usia 0-6 tahun ini adalah fasa kritikal perkembangan kanak-kanak. Seluruh sensori mereka perlu dirangsang dengan optimum untuk perkembangan otak yang baik. Namun, apakah rangsangan yang anak-anak kita akan dapat jika hanya menghadap gajet tanpa kawalan?. Sudah pasti banyak buruk dari baiknya.

5. Tidak Menggalakkan Mereka Bermain

Bermain itu fitrah kanak-kanak. Jangan disekat fitrah itu dengan mengejar akademik semata-mata. Teringat kata-kata Puan Fauziah Sirat di laman facebook beliau iaitu kanak-kanak masa kini..

LAPAR ALAM,

LAPAR BERMAIN,

TAPI KENYANG TEKANAN.

Imej via www.google.com

Ambil tahu tentang statistik DEPRESI yang semakin meningkat saban tahun di kalangan kanak-kanak.

Mengapa ia semakin meningkat?. Punca utamanya, ibu bapa terlalu panik dengan keperluan akademik yang tinggi di sekolah kelak sehingga lupa anak-anak perlu BERMAIN di usia kecil mereka.

6. Tidak Menyediakan Persekitaran yang Kondusif Di Rumah

Rumah yang ada sudut khas untuk anak-anak bermain adalah sangat bagus dalam membantu perkembangan mereka. Menarik sekali jika kita dapat mewujudkan sudut-sudut khas di dalam rumah seperti:

  • Sudut membaca
  • Sudut kraf
  • Sudut permainan sensori
  • Sudut rekacipta

Imej via www.realestatedirectories.info

Keperluan bermain bukan hanya terhad di luar rumah, malah di dalam rumah juga anak-anak boleh bermain jika ibu bapa bijak menyediakan ruang kreatif dan kondusif buat mereka.

7. Tidak Menjawab Soalan Anak

Ketahuilah ibu ayah bahawa membiarkan anak dengan pelbagai soalan tanpa dijawab oleh kita adalah satu benda yang sangat menyedihkan hati si anak.

Tapi, memang selalukan kita rasa dah tak larat nak jawab setiap soalan anak-anak. Kadang kala kita penat, letih, serabut, banyak kerja nak buat. Memang tak terlayan kadang kala soalan-soalan mereka 😅.

Cuba untuk berubah dan sedar. Anak yang banyak bertanya itu bijak!. Raikan soalan-soalan mereka itu. Secara tidak langsung dapat merangsang daya fikir mereka juga.

8. Tidak Meluangkan Masa Bersama Mereka

Kualiti masa bersama anak itu sangat penting. Istilah orang putihnya bonding time. Cipta waktu khusus untuk bersama anak dan keluarga setiap hari seperti formula dari Juruterapis, Puan Siti ‘Aisyah Rozalli iaitu Q-15.

Apa itu Q-15?. Luangkan masa 15 minit waktu yang paling kualiti kita dengan anak-anak dalam sehari. Pastikan tiada sebarang gangguan. Layan mereka bersembang, bermain atau dengar cerita yang ingin mereka kongsikan.

Masa bersama-sama adalah ‘makanan jiwa’ anak-anak. Mereka akan rasa kehadiran ibu bapa mereka. Pasti lahir perasaan gembira, kasih sayang dan bahagia itu dalam diri anak-anak.

Imej via www.mojpedijatar.co.rs

9. Tidak Menggalakkan Sifat Ingin Tahu Mereka

Budaya spoon feeding di kalangan kita sebenarnya boleh merencatkan daya kreativiti dan imaginasi anak-anak. Jika ada projek sekolah, bukan anak yang sibuk mencipta tetapi ibu bapa yang beriya menyiapkan tugasan anak dari  A – Z . Aduhh!Parah!

Sepatutnya, orang dewasa perlu galakkan mereka berfikir, menjana idea, berkreativiti dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Barulah minda mereka  dapat berkembang dengan baik.

Hayati juga fenomena alam sekeliling bersama anak-anak dan galakkan mereka berfikir dan bertanya bagaimana sesuatu fenomena atau kejadian itu berlaku seperti:

  • Mengapa air hujan turun ke bawah?
  • Mengapa cacing tanah keluar dari tanah selepas hujan?
  • Mengapa kapal selam tidak terapung seperti kapal-kapal yang lain?
  • Mengapa kita mengantuk selepas makan?

Terlalu banyak benda yang boleh dipelajari anak jika mereka bermesra dengan alam sekeliling.

Imej via amorebeautifulquestion.com

Banyakkan juga aktiviti hands on seperti yang diterangkan di atas kepada anak-anak.  Contohnya, mencipta kapal terbang dari kotak, rumah terapung dari span dan baju dari kertas surat khabar.

Walaupun nampak mudah, namun aktiviti inilah mampu merangsang sifat ingin tahu mereka untuk mencipta pelbagai benda hasil kreativiti dan imaginasi mereka.

10.  Tidak Mengelakkan Gula Putih dan Junk Food Dalam Diet Mereka

Umum sudah ketahui bahawa gula putih, makanan segera, jajan, keropok, gula-gula dan sebagainya adalah makanan yang tidak sihat.

Bukan hanya mendatangkan penyakit seperti obesiti malah turut merencatkan perkembangan otak kanak-kanak. Hyperactive atau sawan gula ‘sugar seizures’ dikalangan kanak-kanak juga adalah berpunca daripada paras gula yang tinggi dalam badan mereka.

Oleh itu, periksa semula diet makanan anak-anak setiap hari. Pastikan mereka hanya makan makanan yang sihat demi perkembangan mental, fizikal dan emosi yang baik.

Imej via www.checkpregnancy.com

Semoga kita dapat elakkan tindakan-tindakan seperti di atas agar anak-anak kita dapat membesar dengan baik dari segala aspek fizikal, emosi, kognitif dan sosial.

 

 

 

Sumber: Laman facebook Al Fateh Homeschooling

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.