Banjir telah menjadi bencana alam yang paling biasa berlaku di seluruh dunia, menyebabkan hampir separuh daripada mangsa bencana alam ini mengalami kerugian ekonomi, masalah kesihatan dan kerosakan harta benda.

Peristiwa banjir dijangka akan terus meningkat disebabkan peningkatan paras laut dan perubahan iklim hujan yang lebih kerap (Ramin dan McMichael, 2009).

Bencana banjir yang melanda negara

Sumber gambar: BHonline

Kajian kesan banjir ke atas kesihatan manusia telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu ke atas kedua-dua negara berpendapatan tinggi dan rendah.

Terdapat keperluan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang risiko kesihatan dan kesan kesihatan akibat banjir terutamanya bagi masyarakat yang sentiasa terdedah dengan ancaman banjir seperti di Malaysia, justeru, kaedah-kaedah pencegahan boleh diusulkan sesuai dengan pengenalpastian kesan buruk akibat bencana banjir ini.

1. Kematian

Kematian boleh berlaku dalam kalangan mangsa banjir yang lemas atau mudah panik dalam keadaan banjir. Banjir dianggarkan telah menyebabkan hampir 100,000 kematian di seluruh dunia sejak tahun 2000.

Kes kematian ini banyak berlaku di negara-negara yang sedang membangun yang mempunyai sistem pengurusan bencana yang lemah (Ahern et al., 2005).

Selain itu, golongan wanita dilaporkan berisiko dua kali ganda berhadapan dengan kematian berbanding lelaki akibat banjir.

Hal ini dikaitkan dengan perbezaan kekuatan fizikal lelaki dan wanita selain kebolehan berenang.

Di negara Barat pula, dari segi etnik, orang kulit hitam di atas usia 18 tahun mempunyai risiko kematian dengan kadar kematian sehingga empat kali lebih tinggi berbanding orang kulit putih yang dibezakan dengan tahap kesedaran persediaan menghadapi banjir (Brunkard et al., 2008).

Kematian warga tua berusia 50 tahun ke atas juga berisiko sehingga 85% ketika musim banjir yang disebabkan oleh dehidrasi, serangan jantung atau kekurangan bekalan perubatan disebabkan keengganan meninggalkan rumah mereka yang meningkatkan lagi risiko kematian (Yeo dan Blong, 2010).

2. Kecederaan Fizikal

Kecederaan bukan fatal bersama dengan peningkatan penyakit kronik adalah antara kesan kesihatan yang dilaporkan dalam kalangan penduduk terjejas banjir.

Kecederaan boleh berlaku sebelum, semasa dan selepas banjir, sepanjang fasa pembersihan dan semasa pemulihan kawasan pasca banjir (Abaya et al., 2009).

Antara punca kecederaan yang paling biasa dilaporkan adalah seperti terjatuh, serangan binatang berbisa, dihempap runtuhan objek dan hentaman objek yang bergerak pantas dalam air banjir.

Golongan belia hingga pertengahan usia paling banyak berisiko untuk mengalami kecederaan ini kerana mereka merupakan golongan yang paling aktif mengambil bahagian dalam aktiviti bantuan sukarela semasa musim banjir.

3. Pendedahan Kepada Bahan Toksik

Perairan banjir mungkin bertindak sebagai pencetus atau pemula untuk melepaskan bahan kimia yang sedia ada di alam sekitar.

Kesan kesihatan yang berkaitan dengan pendedahan toksik ini boleh dilihat dalam populasi yang tinggal di kawasan perindustrian atau pertanian yang terjejas akibat banjir.

Walau bagaimanapun, hubungan antara banjir, pencemaran dan kesan kesihatan populasi yang terjejas belum dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagai contoh, penyelidik dari United Kingdom yang mengkaji mengenai kejadian pencemaran kimia yang berkaitan dengan banjir di Malaysia mendedahkan bahawa hubungan antara kejadian pencemaran dan kesihatan penduduk tidak menghasilkan data hubungan korelasi yang meyakinkan (Euripidou dan Murray, 2004).

Namun begitu, faktor ini perlu diambil kira kerana air banjir dan tanah boleh tercemar dengan bahan toksik seperti karbon monoksida, racun perosak, dioksin dan logam berat.

Bahan-bahan toksik tersebut pula sering dikaitkan dengan terjadinya penyakit-penyakit kronik seperti kanser, masalah kardiovaskular, masalah buah pinggang, hati, dan penyakit saraf.

4. Penyakit Berjangkit

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), banjir juga dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk pencemaran air dan penyakit bawaan vektor.

Risiko penyakit berjangkit ini akan meningkat apabila semakin banyak infrastruktur terjejas, penduduk berpindah dan sistem bekalan air rosak yang membawa kepada pencemaran kemudahan air minuman.

Secara amnya, penyakit akibat pencemaran air termasuklah kolera, penyakit diarrhea, hepatitis A dan E, leptospirosis, penyakit parasit, rotavirus, shigellosis dan demam kepialu (Ligon, 2006).

Penyakit bawaan air yang berkaitan dengan banjir pula ialah jangkitan luka, dermatitis, konjungtivitis dan jangkitan telinga, hidung dan tekak.

Ancaman terhadap kesihatan manusia juga wujud berhubung dengan memakan tanaman yang ditanam di tanah yang tercemar semasa banjir dengan air kumbahan (operasi perbandaran dan ternakan).

Dalam tempoh 10 tahun terakhir, masalah penyakit diarhea dan kematian akibat banjir telah berlaku di beberapa negara Afrika, Bangladesh dan Indonesia.

Pemindahan pasca banjir, kesesakan dan kualiti udara dan kebersihan yang tidak dijaga di Ethiopia, menyumbang kepada insiden yang tinggi bagi merebanknya penyakit diarrhea (Abaya et al., 2009).

Banjir 2008 di Mozambique pula telah mengakibatkan wabak kolera.

5. Sebaran Hepatitis

Sebaran penyakit Hepatitis A dan E (penyakit keradangan hati) melalui laluan najis boleh berlaku dengan terdedah kepada makanan atau air tercemar.

Wabak Hepatitis E disebabkan banjir adalah kerap di kawasan endemik dan disebabkan terutamanya oleh pencemaran sumber air yang sangat berbahaya bagi wanita hamil, seperti yang dilihat pada tahun 1991 di Kaupur , India, di mana daripada 79,000 kes virus Hepatitis E, 13 daripada 48 kematian yang direkodkan berlaku dalam kalangan wanita hamil.

Semasa banjir pada tahun 2005 di England, simptom-simptom seperti selesema termasuklah jangkitan tekak, batuk dan demam dilaporkan oleh mereka yang rumahnya telah terjejas (Carroll et al., 2010).

Selain daripada pembengkakan saluran pernafasan, sakit telinga dan ruam kulit adalah antara aduan yang diterima selepas banjir.

Pada musim banjir di Thailand, daripada 102 orang pesakit yang mengadu masalah kulit, 59 didiagnosis dengan keradangan kulit (58%) dan 40 dengan keadaan kulit berjangkit (39%).

6. Wabak Leptospriosis (Kencing Tikus)

Wabak leptospirosis atau kencing tikus selepas banjir telah diperhatikan dalam pelbagai persekitaran di seluruh dunia, di kedua-dua kawasan luar bandar dan bandar.

Gejala awal leptospirosis mungkin menyerupai penyakit lain yang sering berlaku yang berlaku selepas banjir. Diagnosis dan pengambilan antibiotik yang sesuai adalah penting dalam mencegah perkembangan penyakit seperti leptospirosis yang boleh mencapai lebih sehingga 100,000 kes kematian.

Leptospirosis adalah endemik di kebanyakan kawasan Asia Tenggara dan lebih membimbangkan, banjir telah dilaporkan meningkatkan risiko jangkitan tersebut.

7. Penyakit Bawaan Vektor

Nyamuk yang menyebarkan penyakit sering membiak ketika air banjir mulai surut.

Walau bagaimanapun, peristiwa banjir masih boleh meningkatkan penyebaran penyakit bawaan vektor seperti malaria, demam denggi, demam berdarah dan demam kuning, Penyakit bawaan vektor menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa virus, dan permulaan penyakit pada manusia biasanya berlaku beberapa minggu setelah banjir.

Di samping itu, penyakit bawaan vektor juga boleh berlaku apabila digigit oleh haiwan, biasanya kelawar atau skunks.

Risiko bencana penyakit bawaan vektor yang berkaitan dengan banjir boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan pendedahan kepada vektor (iaitu dengan tidur di luar dan kesesakan), perubahan dalam habitat vektor dan program kawalan vektor yang terjejas semasa banjir (Alderman et al. 2012).

Jemput juga baca artikel jenis sisa domestik dan El Nino

Rujukan

  • Abaya, S., Mandere, N., & Ewald, G. (2009). Floods and health in Gambella region, Ethiopia: a qualitative assessment of the strengths and weaknesses of coping mechanisms. Global health action, 2(1), 2019.
  • Alderman, K., Turner, L. R., & Tong, S. (2012). Floods and human health: a systematic review. Environment international, 47, 37-47.
  • Ahern, M., Kovats, R. S., Wilkinson, P., Few, R., & Matthies, F. (2005). Global health impacts of floods: epidemiologic evidence. Epidemiologic reviews, 27(1), 36-46.
  • Brunkard, J., Namulanda, G., & Ratard, R. (2008). Hurricane katrina deaths, louisiana, 2005. Disaster medicine and public health preparedness, 2(4), 215-223.
  • Carroll, B., Balogh, R., Morbey, H., & Araoz, G. (2010). Health and social impacts of a flood disaster: responding to needs and implications for practice. Disasters, 34(4), 1045-1063.
  • Euripidou, E., & Murray, V. (2004). Public health impacts of floods and chemical contamination. Journal of Public Health, 26(4), 376-383.
  • https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/638906/mangsa-banjir-di-johor-pahang-terus-meningkat
  • Ligon, B. L. (2006, January). Infectious diseases that pose specific challenges after natural disasters: a review. In Seminars in pediatric infectious diseases (Vol. 17, No. 1, pp. 36-45). WB Saunders.
  • Ramin, B. M., & McMichael, A. J. (2009). Climate change and health in sub-Saharan Africa: a case-based perspective. EcoHealth, 6(1), 52.
  • Yeo, S. W., & Blong, R. J. (2010). Fiji’s worst natural disaster: the 1931 hurricane and flood. Disasters, 34(3), 657-683.

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.