Ibu mana yang tak susah hati apabila anak demam? Tak senang duduk dibuatnya.
Nak-nak pula kalau suhu anak mencecah 39 darjah celcius. Jangan susah hati mama, jom kami kongsikan 13 tips turunkan suhu demam anak di rumah dengan cepat tanpa perlu bergegas ke klinik.
Pastikan anda ada termometer di rumah. Jika badan anak mulai panas, gunakan termometer untuk memantau suhu badan anak. Suhu badan yang normal ialah 36.7 darjah celcius. Kawal suhu badan anak anda. Jika terlalu panas dan melebihi 38 darjah celcius, ambil inisiatif untuk menurunkan suhu badan anak anda.
Lakukan tepid sponging atau lap badan anak anda. Gunakan air suam, bukannya air sejuk. Lap keseluruhan badan. Basahkan kepalanya. Utamakan untuk mengelap di celah ketiak, bawah leher, celah peha & tapak kaki.
Jangan bogelkan anak yang demam. Biasa kita tengok bila anak demam, ibu cuma pakaikan lampin pakai buang kepada anak. Pemakaian yang terbaik ialah pakaian yang ringan dan nipis.
Elakkan pakaian yang tebal kerana ia boleh menyerap haba. Kain cotton adalah yang terbaik kerana boleh menyerap peluh. Jangan bedung atau selimutkan anak yang demam.
Menjerlum dengan air asam jawa membantu untuk menurunkan suhu badan anak dengan cepat. Caranya mudah sahaja. Ramaskan asam jawa dalam air suam.
Kemudian basahkan tuala kecil dengan air asam jawa tadi. Jerlum atau lap badan anak dengan air asam jawa. Sama seperti tepid sponging, cuma kesannya lagi cepat kalau anda gunakan air asam jawa berbanding air suam biasa.
Anda juga boleh amalkan petua anak demam dari orang tua-tua ini. Jika suhu badannya masih belum turun, pagi-pagi anda petik beberapa helai daun bunga raya, basuh dan kemudian rendam selama 30 minit. Kemudian daun tersebut anda potong kecil-kecil, tapis dan ambil lendirnya.
Lendir daun bunga raya boleh menurunkan suhu panas badan. Celupkan tuala dalam lendir daun tadi, kemudian lumurkan lendir di kepala dan seluruh badan anak anda. Buat selama 20-30 minit, insyaAllah demam anak akan kebah.
Selain mandikan anak dengan air lendir daun bunga raya, mandian lemon juga membantu menurunkan suhu badan anak dengan cepat. Caranya, isikan besen mandi dengan air suam. Masukkan potongan lemon kedalamnya & biarkan anak berendam sambil bermain.
Jangan lupa untuk pastikan kepala anak dibasahkan dengan air mandian lemon. Adalah sangat penting untuk anda tidak meninggalkan anak sendiri semasa mandi.
Pastikan anak minum air masak yang secukupnya untuk mengelakkan anak mengalami dehidrasi. Air masak perlu diberikan secukupnya kerana ketika demam, suhu badan yang meningkat akan menyebabkan badannya mudah kekeringan air.
Badan yang kekeringan air lebih lambat untuk sembuh dan boleh mengakibatkan masalah lain seperti ketidakseimbangan elektrolit di dalam badan. Kalau kekeringan air dibiarkan melarat, boleh menyebabkan anak mendapat sawan, kerosakan buah pinggang dan otak. Malah boleh juga menyebabkan kematian.
Jika anak anda masih menyusu badan, susukan dengan kerap. Susu ibu kaya dengan antibodi untuk melawan penyakit. Jika anak anda minum susu formula, pastikan bilangan botol yang diminum tidak kurang daripada biasa.
Pastikan perut anak tidak kosong supaya tidak masuk angin lalu kembung. Anak yang demam biasanya tiada selera makan akibat suhu badan yang terlalu panas. Masakkan bubur jika anak tidak selera makan nasi. Berikan makanan yang lembut dan tidak menyakitkan tekaknya. Makanan sanbat penting untuk memastikan anak kekal bertenaga.
Kebiasaannya, anak akan masih aktif walau pun sedang demam. Namun mungkin kurang aktif sedikit daripada normal. Bila anak demam, sentiasa pantau & pastikan anak anda aktif. Jika anak anda kelihatan lemah & tidak bermaya, ia adalah petanda bahawa ada demam anak anda semakin melarat. Segera bawa berjumpa doktor.
Jika anak anda mulai batuk & ada tanda sakit tekak, tampalkan ‘Kool Fever’ ditekaknya untuk mengurangkan sakit tekak. Berikan makanan yang lembut & cecair seperti jus buah, sup ayam atau sup daging, bubur, air kelapa, air barli, dan sebagainya. Aiskrim Vanila juga boleh diberikan kepada si kecil jika tekaknya sakit.
Selain menjaga suhu anak supaya tidak mencecah 39 darjah cclcius, anda juga perlu memerhatikan jika ada simptom sakit lain seperti demam campak, hfmd, dan sebagainya. Ia adalah langkah berjaga-jaga. Jika ada simptom selain demam, bawa anak berjumpa doktor dalam kadar segera.
Ada ibu yang sengaja menutup kipas angin & meletakkan anak di dalam bilik yang panas dengan harapan demam anak akan cepat kebah. Yang sebenarnya, persekitaran yang panas akan menyebabkan suhu badan anak semakin naik. Pastikan suhu persekitaran adalah sejuk. Pasang pendingin udara jika ada.
Anak yang demam sangat dahagakan kasih sayang & perhatian dari ibu bapa. Pastikan anda sentiasa ada di sini anak. Pelukan, ciuman, usapan, sentuhan, dan ucapan sayang sangat membantu anak untuk cepat kebah dari demam. Dukung anak anda & letakkan diatas pangkuan. Apabila hendak tidurkan anak, bacakan bedtime story.
Itulah dia 13 tips turunkan suhu demam anak di rumah dengan cepat tanpa perlu bergegas ke klinik. Apa yang paling penting, sentiasa pantau suhu badan anak. Jika suhu terlalu tinggi atau anak terkena sawan, cepat-cepat pergi ke klinik.
Jemput juga baca artikel lain seperti doa untuk anak dan nama anak perempuan.