Kemaman terkenal sebagai destinasi perlancongan dan makanannya yang sedap. Anda suka jalan-jalan cari makan? Ini adalah destinasi terbaik untuk anda. Jom kami kongsikan 11 tempat menarik di Kemaman yang pasti buatkan anda jatuh cinta dengan Terengganu.

1. Pantai Teluk Kalong

Pantai Teluk Kalong mempunyai pantai yang putih dengan pasir yang sangat halus. Bentuk geografinya yang berteluk menjadikan kawasan ini sesuai untuk mandi-manda sepanjang tahun tidak kira musim tengkujuh atau musim kering.

Pantai ini dibarisi dengan pokok-pokok ru yang indah dengan pemandangan laut yang membiru. Anda juga berpeluang untuk melihat bot nelayan berlabuh membawa hasil tangkapan. Di antara aktivit yang boleh anda lakukan di sini ialah berkelah, bersukan, memancing, berenang dan sebagainya.

Tempat ini menjadi kegemaran kaki pancing kerana ada banyak ikan di sini. Di antara spesis yang selalu melekat dibatang joran ialah kerapu, pari dan sebagainya.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Jomjalan

2. Muzium Kemaman

Sejarah Kemaman bermula sejak 300 tahun dahulu apabila Che Wan Teh datang mencari tempat berteduh setelah tempat asalnya di Pahang menjadi kucar-kacir akibat peperangan. Untuk mempelajari sejarah-sejarah daerah Kemaman, anda boleh melawat Muzium Kemaman.

Muzium Kemaman terletak di tengah-tengah bandar Chukai. Pada asalnya bangunan ini merupakan sebuah bank yang diduduki oleh Malayan Banking Berhad yang telah diubahsuai. Antara artifak-artifak yang ada termasuk duit-duit lama, gambar-gambar daerah Kemaman lama, buku-buku lama dan sebagainya.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Agarakutaklupa

3. Mini Zoo Kemaman

Mini Zoo Kemaman ialah satu-satunya zoo binatang di pantai timur yang telah dibuka pada tahun 2009. Zoo mini ini ditubuhkan untuk mendidik generasi sekarang tentang kepentingan menjaga spesies flora dan fauna yang kian terancam oleh kegiatan manusia.

Kawasannya agak luas iatu sebesar 35 ekar. Zoo ini menjadi habitat kepada 54 jenis spesies termasuk singa, harimau, gajah, orang utan dan sebagainya. Malah, ada juga kebun mini yang dihiasi dengan taman yang mempunyai pelbagai jenis pokok buah-buahan, herba, orkid dan bonsai.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Jomjalan

4. Pantai Teluk Mak Nik

Pantai Teluk Mak Nik atau dikenali di kalangan orang tempatan sebagai ‘Monica Bay’ ialah satu lagi pantai tarikan pelancong yang terkenal di Terengganu. Pantainya tidak sesuai untuk mandi tetapi apa yang menarik di sini ialah tidak ramai pengunjung berbanding pantai-pantai tepi laut di Terengganu.

Jadi, bolehlah menikmati pengalaman di tepi pantai sambil mendengar bunyi kicauan burung dan unggas yang menggunakan pokok ru sebagai habitatnya.

Selain itu, ada juga beberapa buah penginapan di sekeliling pantai ini jika bercadang untuk bermalam. Anda sukakan penyu? Kalau bernasib baik, anda dapat melihat penyu naik untuk bertelur atau anak penyu menetas.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Begmerah

5. Taman Rekreasi Bakau Tinggi

Taman Rekreasi Bakau Tinggi terletak di persisiran Sungai Kemaman. Taman rekreasi ini unik kerana ianya terletak dalam kawasan paya bakau. Ada banyak kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, tandas awam, bilik rehat, bangku duduk dan trek berjogging.  Ada juga anjung tinjau diatas air sungai. Anda juga boleh memancing di sini. Di sebelah taman ini ada sebuah restoran terapung yang menjadi kegemaran orang-orang tempatan kerana makanannya sedap dan segar.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Flickr

6. Pasar Besar Kemaman

Terdapat pelbagai produk pertanian di sini seperti sayur-sayuran tempatan, daging ayam, daging lembu dan sebagainya.

Hasil lautnya segar-segar belaka. Ikan, kerang, sotong dan sebagainya dijual pada harga yang murah. Bukan sahaja produk makanan, malah ada juga dijual cenderamata dan ubat-ubat tradisional tempatan. Sambil berjalan, bolehlah membeli makanan ringan kegemaran orang tempatan seperti keropok lekor, sata dan sebagainya.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Flickr

7. Pasar Binjai

Terletak vuma 5 km dari Kemaman, Pasar Binjai terkenal dengan kuh tradisional yang dijual di sini. Sebut sahaja apa kuih tradisional yang anda teringin nak makan, insya Allah ada di sini.

Lepat pisang, cek mek molek, kasui, lompang, tepung gomak. Kalau bulan puasa, pasar ini meriah dengan bazaar ramadhan. Terdapat juga pasar menjual barang basah.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Pekanbinjai

8. Restoran Tong Juan

Restoran Tong Juan ialah sebuah restoran Cina halal yang menyajikan masakan laut gaya Cina yang sangat popular di Chukai. Dari luar, rupanya seperti sebuah kedai yang biasa tetapi di dalamnya, penuh dengan para pengunjung yang sangat memilih dalam citarasa makanan.

Ada bermacam jenis masakan seperti udang goreng dalam sos mentega, udang galah yang besar, ikan kerapu stim, pelbagai jenis sayuran dan sebagainya.

Semuanya segar-segar kerana didapati daripada nelayan tempatan. Masakan instimewa restoran ini yang menjadi sebutan ramai ialah resepi ketam sumbat. Masakan istimewa disediakan dengan daging ketam yang disumbatkan dalam cangkerang ketam dan digoreng dengan salutan tepung campuran istimewa.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Malaysiabest

9. Kedai Kopi Hai Peng

Kedai kopi ini amat sinonim dengan bandar Chukai yang telah beroperasi sejak tahun 1940-an. Restoran ini sangat terkenal dengan kopi istimewa yang dibuat di kedai. Malah, orang yang tidak minum kopi pun akan meminati kopi di sini.

Roti bakar istimewa yang dibakar atas arang api turut menjadi pilihan untuk dimakan dengan kopinya. Selain itu, makanan-makanan lain seperti nasi lemak, kari ayam, laksa juga tak kurang sedapnya.

Setiap pagi, tempat ini menjadi sangat sesak dengan kedatangan para pengunjung dari seluruh bandar Chukai. Hiasan dalaman pun menarik perhatian dengan perhiasan vintaj dan papan tanda mencuit hati.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Malaysia mostwanted

10. Warung Aziz Sata

Tak lengkap percutian anda ke Terengganu kalau tak makan sata. Nak sata yang sedap? Anda boleh pergi ke Warung Aziz Sata yang terletak di Kampung Geliga, Kemaman. Di sebelah kedai ini ada gerai menjual cengkerang laut dan kuda laut. Mudah nak kenal.

Selain sata, di sini juga ada dijual makanan lain seperti keropok lekor dan pelbagai jenis pais seperti pais ikan pari, pais ikan bakar, pais sotong bakar, pais udang bakar, dan sebagainya. Pulut panggang pun ada.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Siputhijau

11. Pantai Rekreasi Kuala Kertih

Pantai Rekreasi Kuala Kertih terletak di sebelah jeti Kertih. Ia menjadi tumpuan penduduk sekitar dan para pelancong untuk bersantai ambil angin laut. Makanan laut di sini juga sangat fresh. Jangan lepaskan peluang untuk merasa ikan bakar di sini. Bagi yang beranak kecil, ada disediakan taman permainan.

tempat menarik di kemaman

Sumber Gambar: Caridestinasi

Itulah dia 11 tempat menarik di Kemaman yang pasti buatkan anda jatuh cinta dengan Terengganu. Tak sabar rasanya nak ke sana, kan. Selamat bercuti.

Jemput juga baca artikel tempat menarik penulisan kami seperti tempat menarik di Tawau, tempat menarik untuk honeymoon dan tempat menarik di Singapore.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.