Tanyalah mana-mana wanita, pasti mereka bercita-cita untuk menjadi isteri solehah yang menjadi penyejuk hati dan mata bagi si suami.Jom semak checklist tanggungjawab isteri.

Mana tidaknya, dalam hadith Nabi saw sendiri menyebut yang bermaksud, “Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita (isteri) solehah.”

(HR. Muslim)

Untuk mencapai maqam isteri solehah yang menjadi bidadari buat sang suami, seorang isteri perlu amanah dalam melakukan tanggungjawabnya.

kahwin

Imej via bercintaselepasnikah

Apakah tanggungjawab bagi seorang isteri? Seperti dalam hadith Nabi saw yang bermaksud, “Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan menjaga kehormatan diri, serta taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah masuk ke syurga dari pintu mana sahaja yang disukai.” (HR. Ahmad dan Thabrani)

Selain daripada tanggungjawab seorang hamba kepada Khaliqnya, isteri juga perlu faham tanggungjawabnya dalam memelihara maruah diri dan keluarga serta taat kepada suaminya. Isteri wajib taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ketaatan isteri kepada suami inilah tanggungjawab utama yang perlu dilunaskan oleh para isteri. Betapa kedudukan suami bagi seorang isteri itu begitu tinggi sehingga Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud,

“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.”

(HR. Imam Tirmizi)

isteri

Imej via ikahwin

Dari kecil, wanita dijaga oleh ibu bapa yang menjaga dan membesarkan mereka. Ketaatan mereka diberikan kepada ibu bapa. Namun, setelah berkahwin, mereka perlu memberikan ketaatan kepada suami yang merupakan orang asing baginya.

Seorang lelaki yang berbeza keluarga, berbeza latar belakang dan berbeza dari pelbagai sudut. Itulah sebabnya isteri yang taat kepada suami, Allah berikan ganjaran yang tinggi nilainya iaitu syurga abadi.

Di sini, kami senaraikan 10 pesanan isteri Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya yang bakal berkahwin buat para wanita jadikan panduan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri setelah mendirikan rumahtangga kelak.

 

10 Tanggungjawab Isteri Menurut Pesanan Isteri Auf bin Muhlim Ashaibani Kepada Puterinya

1) Berkhidmat dengan rasa puas.

Sebagai seorang isteri, anda perlu mendidik hati untuk berkhidmat kepada suami dan keluarga dengan hati yang redha. Kadang-kadang, apabila penat melakukan kerja rumah dan menguruskan anak-anak, mulut akan ringan untk mengungkit segala kerja yang dibuat.

Jadi, sebagai isteri solehah, menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa mendidik hati agar ikhlas melakukan kerja hal ehwal rumahtangga. Sekiranya tidak mampu melakukan tugas di rumah kerana kepenatan, mintalah pertolongan dari suami anda dengan penuh hikmah. Tanggungjawab mengurus keluarga perlu digalas oleh suami isteri bersama-sama.

2) Taat dengan baik kepadanya.

Setelah berkahwin, menjadi tanggungjawab utama untuk para isteri memberi ketaatan kepada suami. Selagi mana suami tidak meminta sesuatu yang melanggar syariat, maka wajib bagi seorang isteri untuk memberi ketaatan kepada suaminya.

Namun begitu, hubungan suami isteri ada ruang komunikasi dan diplomasi. Sebagai isteri yang bijak lagi solehah, anda boleh berbincang dengan suami secara baik untuk mencari kesepakatan yang terbaik dalam rumahtangga.

3) Memerhatikan tempat pandangan matanya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu.

Menjadi tanggungjawab isteri untuk menjaga ‘mata’ suami. Bukan sekadar memastikan mata suami memandang persekitaran rumah yang bersih dan kemas, tetapi juga perlu pastikan suami tidak memandang yang buruk terhadap diri si isteri.

Selain daripada kecantikan rumah, para isteri solehah juga perlu menjaga penampilan diri. Sekalipun berada di dalam rumah, berhias-hias untuk suami bukan satu perkara remeh. Biar suami memandang yang cantik-cantik sahaja pada isterinya.

4) Memerhatikan bau yang diciumnya. Jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kita biasa dengar orang mengatakan, isteri di rumah bau bawang, bau belacan. Ini menunjukkan bahawa isteri kalau di rumah, sentiasa memasak untuk menyediakan makanan buat keluarga tercinta. Tetapi, sebagai isteri solehah, menjadi tanggungjawab anda untuk berwangi-wangian di depan suami.

Kebanyakan orang berwangi-wangian ketika hendak keluar rumah sahaja. Namun, bagi isteri solehah, mereka berwangi-wangian di dalam rumah, khas untuk suaminya.

5) Memerhatikan waktu makannya kerana lapar yang berlarutan mengganggu emosi.

Orang tua-tua ada berpesan, terdapat dua perkara perlu dijaga untuk suami, iaitu mata dan perutnya. Jaga mata suami supaya dia tidak memandang perkara yang boleh mendatangkan dosa. Jaga perutnya agar dia tidak berlapar, kerana lapar akan membuatkan emosi mudah terganggu dan naik marah.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab isteri untuk memastikan suami tidak berlapar. Sekiranya anda sibuk dan kesuntukan masa untuk memasak makanan, sekali-sekala beli makanan di kedai juga tidak mengapa. Asalkan suami dapat makan pada waktunya dan tidak kelaparan.

 

6) Memerhatikan waktu tidurnya kerana tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Tanggungjawab isteri untuk prihatin terhadap waktu tidur si suami. Jika suami perlukan rehat, berilah masa untuk mereka berehat. Apabila suami yang penat bekerja mendapat rehat dan tidur yang cukup, emosi mereka akan lebih stabil. Setelah keletihan suami telah hilang, barulah isteri boleh meminta bantuan suami untuk sama-sama melakukan kerja rumah pula.

7) Menjaga hartanya.

Menjadi tanggungjawab isteri solehah untuk bijak menjaga dan mengurus harta suaminya. Wang yang banyak diurus sebaiknya, manakala wang yang sedikit pula dibelanjakan secara cermat dan berhemah. Isteri perlu sentiasa bersyukur dengan rezeki dan harta yang dimiliki oleh suami. Jangan meminta-minta benda di luar kemampuan suami.

8) Memelihara kehormatan serta keluarganya. 

Tanggungjawab isteri bukan sekadar menjaga kehormatan suami dan keluarga, tetapi juga menjaga maruah keluarganya sendiri dan keluarga mertua.

Rahsia dan aib keluarga mertua, bukan untuk dicanang pada keluarga sendiri. Sebagaimana anda sayang dan menjaga kehormatan keluarga anda, begitu juga yang perlu anda lakukan kepada keluarga mertua yakni keluarga suami anda.

9) Jangan membangkang perintahnya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya.

Lelaki ada egonya yang tersendiri. Sebagai isteri, anda harus bijak berdiplomasi dan seni komunikasi dengan suami. Sekiranya ada perbezaan pendapat, janganlah anda keras menentangnya. Tetapi ibaratnya ‘tarik rambung dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak bersepah’.

10) Jangan membuka rahsianya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya. 

Rahsia suami harus disimpan rapi oleh isteri. Apatah lagi, kisah-kisah dalam kamar tidur. Sebagai isteri, anda tidak boleh menceritakan perihal suami anda kepada orang lain. Biarlah manis masam suami anda, hanya anda seorang yang tahu.

 

Kesimpulan

pengirbanan isteri

Immej via pesonapengantin

Tanggungjawab isteri yang paling utama kepada suami adalah mentaatinya selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Manakala, berkenaan tanggungjawab isteri dalam kerja-kerja menguruskan rumah tangga, ia adalah hasil diplomasi antara anda dan suami.

Setiap rumah, ada peraturannya. Tidak semua cara dan amalan keluarga orang lain, sesuai dengan keluarga kita. Sebagai isteri, anda perlu berkomunikasi secara jelas dengan suami berkenaan pembahagian tugas kerja-kerja di rumah, lebih-lebih lagi bagi isteri yang bekerja.

Mudah-mudahan 10 pesanan ini boleh menjadi panduan buat para wanita dalam melakukan tanggungjawabnya sebagai isteri.

 

Untuk membaca teks penuh ucapan isteri Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya, sila klik link ini Jendela Hikmah

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.