Perlukah tahnik bayi dilakukan? Adakah ia wajib? Pasti ada kisah disebalik kenapa perlu melakukan tahnik dan kaedah tahnik bayi yang betul. Ikuti sebuah kisah yang diceritakan semula oleh Asma’ yang telah melahirkan Abdullah Bin Zubair. Ceritanya berbunyi begini:
فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ
Maksudnya :” Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).”
Riwayat al-Bukhari ( 3909) & Muslim (5741)
Jelaslah bahawa Nabi SAW melakukan tahnik kepada bayi pada zaman dahulu. Tahukah anda apa maksud tahnik dan bagaimanakah cara melakukannya?
Tahnik dilakukan kepada bayi yang baru lahir untuk mengambil berkah daripada orang-orang yang soleh dengan cara menyapu rasa tamar ke atas lelangit bayi tersebut. Ia seolah-olah membuatkan bayi merasa kemanisan tamar tersebut dan didoakan yang baik-baik.
Umumnya, konsep tahnik adalah seperti didoakan. Oleh itu, mereka yang akan melakukan tahnik kepada anak-anak haruslah yang soleh dan lebih berpengalaman.
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبْرِكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ
Maksudnya: “Kanak-kanak lelaki dibawa menemui Rasulullah SAW, lalu baginda mendoakannya semoga diberkati Allah dan mentahniknya.”
Riwayat Muslim (2147)
Hukum tahnik bayi adalah sunat dan tidak wajib. Sebaiknya tahniklah bayi kerana ia merupakan amalan Rasulullah SAW. Jika buat, dapat pahala. Jika tidak dilakukan, tidak berdosa.
Jelas Imam al-Nawawi:
“Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka.
Syarh Sahih Muslim (14/143)
Bukan sahaja hukumnya sunat mentahnikkan bayi dengan tamar, tetapi ia juga sunat jika anda tahnik bayi dengan sesuatu yang manis sekiranya tiada tamar. Contohnya adalah madu.
Tahnik bayi yang merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW ini sudah pasti mempunyai manfaat dari segi kesihatan, mental, rohani dan sebagainya. Biarpun hanya sekali tahnik bayi, bayi akan merasai kesannya dari kecil sehinggalah mereka dewasa. Terdapat banyak hikmah melakukan tahnik bayi.
Tahnik dapat menguatkan saraf-saraf bayi di bahagian mulut, tenggorokan, dua rahang bawah serta gerakan lisan dan jilatan yang mana amat diperlukan untuk menghisap air susu ibu. Mereka akan bertenaga dan dapat menyalurkan susu terus ke mulut dengan baik dan semulajadi.
Kurma mempunyai manfaat kesihatan terhadap bayi dimana ia boleh melindungi bayi dari sebarang penyakit kronik dan juga penyakit biasa. Selain dapat menguatkan imunisasi tubuh badan, bayi akan terhindar dari virus seperti polio, campak, TBC, difteri dan lain lagi.
Air liur kedua orang tua atau orang yang soleh akan mengikat hati bayi untuk lebih positif, baik dan taat. Air liur dari lidah seseorang yang sering membacakan ayat Al-Quran dan zikir mengalir ditubuh seorang bayi supaya dia dapat tumbuh suci dan bersih.
Apabila kurma digunakan untuk tahnik bayi, bayi akan menghisapnya sehingga ke pembuluh darah. Kadar gula dalam darah akan automatiknya menjadi semakin normal dan tiada masalah. Bayi juga akan aktif dan lebih bertenaga.
Tahnik bayi juga dapat membersihkan mulut bayi khasnya pada bahagian atas langit-langit bayi. Kurma yang lumat itu akan menarik sisa kotoran, bakteria dan sekaligus mencuci mulut bayi.
Kurma mempunyai manfaat yang sangat kuat dari segi jasmani dan rohani. Dengan mengamalkan kurma sebelum bersalin dan ketika berpantang, bayi juga akan terkesan dengan perkara yang baik-baik.
Kaedah tahnik bayi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW amat dianjurkan dalam Islam dan begitulah kaedah yang perlu kita ikuti. Jika kita menggunakan kurma, madu atau air zamzam, caranya tetap sama. Mungkin sedikit berbeza dari segi kurma dimana anda perlu gigit dan hancurkannya dahulu. Untuk air zamzam dan madu, anda cuma terus sapu di langit-langit bayi.
Jom lihat cara tahnik bayi yang betul dan mudah.
Itulah dia info, hukum, hikmah dan kaedah tahnik bayi yang perlu anda ketahui. Semoga bermanfaat. Jom baca juga Maksud anak syurga sebenarnya, Cara mengambil anak angkat di hospital dan Langkah mengatasi pembuangan bayi.