Pembezaan suhu yang tinggi boleh menjadi ancaman serius terhadap kesihatan manusia. Antara penyakit yang mempunyai kaitan dengan pembezaan suhu tinggi termasuklah strok haba, demam, kelesuan, pitam, kekejangan, keletihan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, penyakit yang paling serius sehingga boleh mengancam nyawa adalah strok haba.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda tips untuk menghindarkan tubuh badan kita dari terkena strok haba khususnya ketika cuaca panas.
Strok haba adalah keadaan yang memerlukan tindakan perubatan segera. Ia berlaku apabila badan seseorang tidak dapat mengawal suhu dalaman dengan betul dan suhu badan meningkat secara mendadak.
Gejala strok haba termasuklah seperti kesedaran yang terganggu, pening, muntah, kulit kemerahan dan kering, nadi yang laju, dan suhu badan yang sangat tinggi melebihi 103°F (39.4°C), dan sebagainya.
Jika tidak dirawat dengan segera, strok haba boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman, termasuk otak, hati, buah pinggang, dan jantung, dan boleh mengakibatkan kematian.
Bagi mengelakkan tubuh badan kita terdedah dengan penyakit ini, langkah-langkah perlindungan dan keselamatan perlu diambil semasa berada di persekitaran yang panas.
Berikut adalah beberapa tips penting untuk mengelak dari penyakit ini menyerang tubuh badan kita.
Amalkan minum air yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan cecair akibat peluh dan suhu tinggi.
Elakkan minum minuman yang mengandungi alkohol atau kafein, kerana ia boleh menyebabkan kita kehilangan lebih banyak cecair melalui proses perkumuhan.
Pakailah pakaian yang longgar, ringan, dan bermaterial sejuk seperti kapas.
Elakkan pakaian yang ketat atau terlalu berlapis, kerana ia boleh menyekat pengaliran udara dan menyebabkan badan menjadi panas.
Jika anda terdedah kepada persekitaran yang panas, pastikan anda mengambil rehat yang mencukupi untuk mengelakkan keletihan yang berpanjangan disebabkan haba panas.
Cari tempat yang teduh dan sejuk untuk berehat, dan elakkan aktiviti berat semasa cuaca panas.
Pakailah topi, cermin mata hitam, dan gunakan pelitup kulit untuk melindungi diri daripada pancaran matahari yang terik.
Biasanya kulit yang terdedah kepada sinaran UV yang berlebihan boleh menyebabkan risiko kesan pada kesihatan yang teruk dan kronik.
Selain minum air yang mencukupi, pastikan anda makan makanan yang kaya dengan elektrolit seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Elektrolit membantu mengekalkan keseimbangan pH, mengekalkan tekanan osmotik dan taburan air pada pelbagai cecair di dalam badan.
Sentiasa berikan perhatian kepada suhu badan anda dan orang sekeliling. Jika seseorang menunjukkan gejala strok haba seperti keadaan kesedaran yang terganggu atau suhu badan yang tinggi, segera ambil tindakan untuk mencari bantuan perubatan.
Jika anda melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang berat, cuba lakukan pada waktu yang lebih redup dan sejuk seperti awal pagi atau lewat petang. Hindari aktiviti luar yang terlalu intensif semasa waktu siang ketika suhu paling tinggi.
Terdapat kumpulan risiko yang lebih tinggi untuk penyakit yang berhubung kait dengan cuaca panas ini. Ia termasuklah seperti kanak-kanak, warga tua, dan individu dengan masalah kesihatan kronik.
Pastikan individu yang dimaksudkan ini mendapat perlindungan terbaik daripada suhu yang tinggi dan sentiasa berikan pengawasan yang lebih teliti terhadap mereka.
Pastikan anda mempunyai persediaan darurat seperti air minuman yang mencukupi, penyaman udara atau kipas, dan ubat penahan panas dalam rumah anda.
Ini akan membantu anda mengatasi situasi cuaca panas yang tidak dijangka.
Ambil perhatian akan isyarat bahaya dari kerajaan yang menunjukkan kemungkinan penyakit teruk yang berhubung kait dengan cuaca panas di kawasan anda.
Gejala seperti pening, muntah, kekejangan otot, kelemahan, atau perubahan tingkah laku perlu diambil serius dan tindakan perubatan segera perlu diambil jika diperlukan.
Kesimpulannya, penyakit yang berhubung kait dengan cuaca panas boleh menjadi ancaman serius terhadap kesihatan kita. Strok haba adalah keadaan yang mengancam nyawa dan memerlukan tindakan segera.
Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah perlindungan dan keselamatan yang betul semasa berada di persekitaran yang panas.
Selain dari tips elak terkena strok haba ini, anda juga boleh baca artikel kesihatan kami yang lain berkenaan masalah kesihatan bawaan cuaca panas seperti:
Sumber: