Fenomena asap jerebu di Asia Tenggara (SEA) boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun.

Jerebu boleh ditakrifkan sebagai keadaan jarak penglihatan yang rendah (kurang daripada 10km) di mana keupayaan mata manusia untuk membezakan antara objek dan persekitaran menjadi terhad.

Asap jerebu yang tebal telah menyelubungi kawasan SEA, terutamanya Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, berikutan aktiviti pertanian yang menggunakan pendekatan pembakaran untuk melapangkan kawasan pertanian.

Pembakaran biojisim, terutamanya di kawasan tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia telah menyumbang kepada pelepasan zarah halus dan gas atmosferik ke atmosfera sekeliling.

Suasana jerebu yang menyelubungi kota raya

Sumber: BHonline

Faktor Pembentukan Jerebu

Interaksi kimia antara gas primer (gas sedia ada di udara), sebatian organik dan zarah terampai menyumbang kepada peningkatan tahap aerosol sekunder sepanjang pelepasan asap jerebu dari kawasan terbakar ke rantau lain.

Satu kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa episod jerebu di Malaysia tidak disebabkan oleh sumber luaran sahaja tetapi diburukkan lagi oleh pelepasan asap tempatan. Sebagai tambahan, fenomena El Nino’s Southern Oscillation (ENSO) yang memanjangkan musim kering turut memburukkan keadaan.

Sementara itu untuk tempoh persekitaran tanpa jerebu, pelepasan asap kenderaan telah didapati menyumbang lebih daripada 30% jumlah pelepasan PM 2.5 (zarah dengan saiz kurang daripada 2.5 µm) di kawasan bandar khususnya di Lembah Klang.

Malaysia pernah mengalami kemerosotan kualiti udara antara September hingga Oktober 2015. Hal ini disebabkan oleh episod jerebu yang merentas sempadan yang berasal dari Sumatra dan Kalimantan, Indonesia dan diangkut oleh angin barat daya.

Sebanyak 34 daripada 52 stesen di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (API) lebih daripada 200 (tidak sihat) pada 15 September 2015, yang merupakan hari jerebu paling teruk dalam sejarah negara pada waktu itu.

Kesan Kesihatan Akibat Jerebu

Kejadian jerebu sering dikaitkan dengan kesan kesihatan yang buruk. Satu kajian yang dijalankan oleh Nasir et al. (2000) mendakwa bahawa 285,227 serangan asma, 3889 kes bronkitis kronik dalam kalangan orang dewasa, 118,804 kes bronkitis pada kanak-kanak, 2003 kemasukan hospital akibat masalah pernafasan dan 26,864 lawatan ke bilik kecemasan telah dilaporkan pada tahun 1997 di mana berlakunya episod jerebu di Malaysia.

Satu lagi kajian oleh Brauer dan Hisham (1998) mendedahkan bahawa terdapat peningkatan yang signifikan dalam kemasukan ke hospital untuk aduan masalah pernafasan yang berkaitan dengan asma dan lain-lain masalah semasa berlakunya episod asap jerebu di Asia Tenggara.

Di samping itu, satu kajian oleh Sahani et al. (2014) menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kejadian jerebu dengan kematian semula jadi dan kematian akibat masalah pernafasan.

 

Kempen khidmat masyarakat semasa musim jerebu oleh infosihat.gov.my

Penilaian Risiko Kesihatan Akibat Jerebu

Isu yang perlu ditangani semasa berlakunya jerebu adalah tahap kesedaran kesihatan masyarakat awam, terutamanya yang berkaitan dengan penduduk yang diklasifikasikan sebagai “sensitif”, contohnya, kanak-kanak (di bawah umur 12 tahun), warga tua serta mereka yang mempunyai sistem pertahanan diri yang lemah.

Melalui penilaian risiko kesihatan, sifat dan magnitud daripada risiko-risiko kesihatan boleh dinilai. Di Malaysia, Khan et al. (2016) berjaya melaksanakan penilaian risiko kesihatan terhadap kesan aerosol PM 2.5 yang dikesan di kawasan pinggir bandar.

Hasilnya menunjukkan bahawa risiko kesihatan adalah pada tahap yang selamat. Risiko kanser adalah sedikit di atas tahap yang boleh diterima.

Penilaian risiko kesihatan apabila terdedah dengan unsur karsinogenik (bahan penyebab kanser) dalam udara berjerebu boleh dibahagikan kepada tiga faktor:

  1. Kitaran jerebu (episod jerebu dan episode tanpa jerebu)
  2. Kumpulan umur spesifik yang terdedah
  3. Unsur toksik dalam udara berjerebu tersebut

Seperti yang dijangkakan, kandungan unsur karsinogenik dalam udara berjerebu adalah lebih tinggi daripada udara tanpa jerebu. Risiko perkembangan kanser bergantung kepada banyak faktor, termasuklah genetik individu, cara pendedahan kepada bahan karsinogen dan tempoh masa pendedahan.

Risiko perkembangan kanser adalah lebih tinggi dalam kalangan kumpulan dewasa yang kerap terdedah dengan persekitaran luar semasa musim jerebu.

Dianggarkan, 1-2 daripada 1 juta individu berisiko untuk mendapat kanser dalam tempoh hayatnya apabila terdedah dengan keadaan berjerebu. Semakin lama individu terdedah dengan keadaan berjerebu, semakin banyak bahan karsinogen terkumpul dalam badan dan seterusnya akan menyebabkan risiko kanser.

Risiko mendapat kanser mengikut kumpulan usia adalah seperti berikut:

Dewasa > anak kecil (toddler) > remaja > kanak-kanak > bayi

Walau bagaimanapun, bagi penilaian risiko kesihatan penyakit bukan kanser yang disebabkan jerebu, seperti masalah pernafasan, paru-paru dan sebagainya, corak risiko kesihatan yang terlibat adalah seperti berikut:

Bayi > anak kecil > remaja > kanak-kanak > dewasa

Kumpulan bayi ini menunjukkan risiko kesihatan yang tinggi disebabkan mereka merupakan kategori yang sensitif, apabila sistem pertahanan tubuh mereka belum berkembang sepenuhnya.

Kumpulan bayi lebih mudah jatuh sakit berbanding kumpulan yang lebih berusia.

Selain asap jerebu, kandungan logam berat dari industri seperti kromium, mangan, arsenik dan nikel boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Manipulasi dan kawalan pelepasan asap dari industri atau kenderaan boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kesihatan yang disebabkan ketoksikan bahan-bahan tersebut. Kualiti udara perlu dikawal dengan berkesan bagi mengurangkan risiko kesihatan dan kematian.

Rujukan

  • Brauer, M., & Hisham-Hashim, J. (1998). Peer reviewed: fires in Indonesia: crisis and reaction. Environmental science & technology, 32(17), 404A-407A.
  • https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/463184/jerebu-akibat-kebakaran-di-sumatera-dan-kalimantan
  • https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu
  • Khan, M. F., Latif, M. T., Saw, W. H., Amil, N., Nadzir, M. S. M., Sahani, M., & Chung, J. X. (2016). Fine particulate matter in the tropical environment: monsoonal effects, source apportionment, and health risk assessment. Atmospheric Chemistry and Physics, 16(2), 597-
  • Nasir, M.H., Choo, W.Y., Rafia, A., Md., M.R., Theng, L.C., Noor, M.M.H., 2000. Estimation of health damage cost for 1997-haze episode in Malaysia using the Ostro model.
  • Procedings of the Malaysian Science and Technology Congress (MSTC).
  • Sahani, M., Zainon, N. A., Mahiyuddin, W. R. W., Latif, M. T., Hod, R., Khan, M. F.,  & Chan, C. C. (2014). A case-crossover analysis of forest fire haze events and mortality in Malaysia. Atmospheric Environment, 96, 257-265.
  • Sulong, N. A., Latif, M. T., Khan, M. F., Amil, N., Ashfold, M. J., Wahab, M. I. A., & Sahani, M. (2017). Source apportionment and health risk assessment among specific age groups during haze and non-haze episodes in Kuala Lumpur, Malaysia. Science of the Total Environment, 601, 556-570.

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.