Rabiatul Adawiyah atau nama sebenar beliau Umm Al-khair binti Ismail al-Adawiyah telah tergolong dalam senarai wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam.
Beliau dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah, iaitu pada tahun 99H/ 717 M berhampiran kota Basrah di Iraq dan meninggal dunia di kota itu juga pada tahun 185H/ 801M. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan, namun kaya dengan ibadah kepada Allah swt.
Semasa beliau kecil, beliau hidup seperti kanak-kanak biasa yang selalu bermain dan sebagainya. Akan tetapi, ada yang menyatakan bahawa kebijaksaan Rabiatul Adawiyah sudah terserlah sejak beliau kecil.
Diceritakan bahawa Rabiah menghafal Al-Quran pada usia sepuluh tahun. Rabiah sering dibawa beribadat dan bermunajat oleh ayahnya sejak kecil di masjid berdekatan pinggiran Kota Basrah.
Tidak banyak catatan tentang keluarga Rabiatul Adawiyah. Antara yang tercatat dalam kitab-kitab ialah Rabitul Adawiyah telah dididik oleh bapanya untuk menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikan oleh bapanya kepada Rabiatul Adawiyah adalah bersumberkan Al-Quran. Kesannya, Rabiah berjaya menghafal al-Quran dan menghayati isi kandungannya. Sejak kecil lagi, Rabiah sememangnya berjiwa halus serta mempunyai keyakinan yang tinggi dan keimanan yang mendalam.
Namun, menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi sempit dan susah. Keadaan itu semakin buruk setelah ibu dan ayahnya meninggal dunia. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian Allah swt untuk membuktikan keteguhan imannya.
Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah serta asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat Rabiatul Adawiyah inilah yang sangat berguna buat kita semua untuk diambil iktibar dan pengajaran.
Rabiatul Adawiyah merupakan orang pertama yang mengalunkan irama cintai Ilahi. Hal ini kerana generasi sebelumnya merintis aliran Islam berdasarkan rasa takut (khauf) dan pengharapan (raja’) kepada Allah (zuhud) seperti yang diajarkan oleh Hasan al-Basri.
Manakala, Rabiatul Adawiyah mempelopori rasa tulus ikhlas serta cinta kepada Allah swt. Sikap dan pandangan Rabiatul Adawiyah tentang cinta dapat difahami dari kata-katanya, baik yang langsung mahupun yang disandarkan kepadanya. Beliau memperkayakan penulisan Islam dengan kisah-kisah pengalaman sufinya dalam sajak-sajak yang tinggi nilai bahasanya.
Rabiatul Adawiyah juga mempopularkan konsep Mahabbah dalam kalangan ahli sufi, Konsep ini dibahagikan kepada berikut:
Pertama adalah memeluk kepatuhan kepada Allah dan membenci sikap melawannya;
Kedua adalah menyerahkan seluruh diri kepada yang dikasihi; dan
Ketiga adalah mengosongkan hati dari segala-galanya kecuali yang dikasihi.
Abu Nashr as-Sarraj at-Thusi mengatakan, cinta para sufi dan ma’rifat itu timbul dari pandangan dan pengetahuan mereka tentang cinta abadi dan tanpa mengharap balasan daripada Allah swt.
Cinta itu timbul tanpa ada maksud dan tujuan apa pun. Apa yang diajarkan Rabi’ah melalui konsep mahabbah ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Hasan al-Basri dengan konsep khauf (takut) dan raja’ (harapan).
Cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah sebegitu kuat membelenggu hatinya, sehingga hatinya pun tidak mampu untuk berpaling kepada selain Allah.
Pernah suatu ketika Rabi’ah ditanya, “Apakah Rabi’ah tidak mencintai Rasul?”
Ia menjawab, “Ya, aku sangat mencintainya, tetapi cintaku kepada Pencipta membuat aku berpaling dari mencintai makhluknya.” Allah adalah teman sekaligus Kekasih buat Rabiatul Adawiyah, sehingga ke mana saja Rabi’ah pergi, hanya Allah sahaja yang ada dalam hatinya. Dia mencintai Allah dengan sepenuh hati dan keimanannya.
Disebabkan kecintaannya kepada Allah swt terlalu mendalam, Rabiah merelakan dirinya menjadi ‘gadis abadi’. Dia tidak mahu bernikah bukan kerana tidak ada yang meminangnya, tetapi dia memilih ‘kegadisan abadi’ kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.
Ketika Rabiah ditanya: “Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi’ah?”
Dia menjawab: “Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati.” Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sukar untuk diluahkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman. Pada pandangan Rabiah, cinta pada Penciptanya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah swt.
Sewaktu di istana, Rabiah menjadi penghibur yang digemari raja. Ada riwayat mengatakan beliau sudah terjebak dalam kancah dosa. Namun dengan limpah hidayah, beliau mulai insaf dan kembali mengingati Allah.
Di kesunyian malam, Rabiah bermunajat setulus hati kepada Allah swt:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripadaMu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan hiburannya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu.
Maka semoga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Setelah Rabiatul Adawiyah dibebeaskan oleh raja, dia membuktikan kesyukurannya dengan meningkatkan amalan kerohaniannya. Dia dipimpin oleh seorang mursyid bernama Hassan al-Basri dan akhirnya Rabiatul Adawiyah telah beriktikad untuk menghambakan diri sepenuh masa terhadap penciptaNya.
Rabiatul Adawiyah menghabiskan sisa hidupnya untuk tinggal di dalam pondok kecil dan tidur berbantalkan serpihan tembikar dan berselimutkan tikar lusuh. Tiada sekelumit pun rasa keduniaan yang membenam dalam hatinya.
Suatu hari, seorang pencuri telah menyelinap masuk ke pondok Rabiatul Adawiyah. Kemudian dia mendapati tiada apa-apa barang berharga. Sebelum keluar, Rabiatul muncul dan menyuruh pencuri itu mengambil bekas air milik beliau untuk berwuduk.
Kemudian pencuri itu menunaikan solat dua rakaat. Ternyata pencuri tersebut merasakan suatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini. Rabiatul Adawiyah lantas berdoa,
“Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri di hadapanMu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmatMu.”
Kecintaan Rabiatul Adawiyah kepada Allah sering diluahkan dalam kuntuman syair-syairnya,
“Aku mencintaiMu dengan dua cinta, cinta kerana diriku dan cinta kerana diriMu.
Cinta kerana diriku, adalah keadaan sentiasa mengingatMu,
Cinta kerana diriMu, adalah keadaanMu mengungkapkan tabir, hingga Engkau kulihat, baik untuk ini mahupun untuk itu,
Pujian bukanlah bagiku, bagiMu pujian untuk semua itu.”
Ada petikan syair yang mengatakan betapa pasrahnya hati beliau akan Tuhan,
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Pernah sekali Rabiatul Adawiyah berdoa,
“Jika aku menyembahMu kerana takut daripada api nerakaMu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembahMu kerana tamak kepada syurgaMu maka haramkanlah aku daripadanya!
Tetapi jika aku menyembahMu kerana kecintaanku kepadaMu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajahMu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiatul Adawiyah meminta kepada mereka,
“Bangkit dan keluarlah; berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!”
Maka, semua orang bangkit dan keluar, dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadah dan mereka mendengar sebuah suara,
“… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah denganNya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu.” Surah al-Fajr, ayat 27-30
Rabiatul Adawiyah adalah ikon bagi Muslimah yang meletakkan kecintaannya hanya kepada Allah swt. Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Namun pengajaran yang besar dari kisah Rabiatul Adawiyah adalah keikhlasan taubat kita kepada Allah swt.
Bagaimana dengan artikel berkenaan Rabiatul Adawiyah yang dikongsikan? Anda dapat manfaat? Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu: