Perasan tak, semakin meningkat usia semakin kerap kita sakit tumit. Kadang-kadang bangun tidur, pijak lantai terus sakit tumit. Kalau cuaca sejuk pun boleh diserang sakit tumit.

Kata orang-orang tua zaman dulu, sakit tumit tanda ada masalah dengan peranakan. Betul ke? Jom kami kongsikan punca sakit tumit bagi wanita.

punca sakit tumit
Sumber: Semuajenis

1. Berat badan berlebihan

Punca sakit tumit bagi wanita yang paling kerap berlaku ialah berat badan berlebihan. Apabila anda mempunyai berat badan yang berlebihan daripada BMI yang sepatutnya, tumit anda akan terpaksa menanggung beban yang berlebihan. Ini kerana salah satu daripada fungsi tumit ialah untuk menyokong seluruh berat badan anda semasa berjalan dan tugasan ini termasuklah untuk menyerap tekanan semasa anda berjalan atau melompat. 

Oleh itu, berat badan yang berlebihan akan menyebabkan tumit anda terpaksa bekerja dengan lebih keras daripada yang sepatutnya. Malah ianya akan semakin buruk kalau berat anda memasuki tahap obesiti.

Oleh itu, kalau anda selalu sakit tumit dan dalam masa yang sama mempunyai masalah berat badan yang berlebihan, tiba masanya untuk anda berusaha untuk menurunkan berat badan.

2. Selalu memakai kasut bertumit tinggi

Rasanya semua orang tahu bahawa kasut bertumit tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan seorang wanita. Memakai kasut bertumit tinggi bukan sahaja akan menyebabkan anda sakit tumit malah ia juga akan menyebabkan anda sakit lutut dan belakang.

Ini kerana postur badan anda tidak lagi berada dalam keadaan yang normal semasa anda memakai kasut bertumit tinggi di mana anda akan berada dalam keadaan berjengket setiap masa. Oleh itu, jika anda kerap sakit tumit, kurangkan pakai kasut bertumit tinggi. Jangan siksa diri anda semata-mata untuk kelihatan cantik dan bergaya.

3. Memakai kasut rata

Selain kasut bertumit tinggi, kasut yang bertapak rata atau dalam bahasa inggerisnya flat shoes juga boleh menjadi punca sakit tumit bagi wanita. Ini kerana ia tidak memberikan sokongan yang sepatutnya kepada tapak kaki anda, terutamanya pada bahagian tumit.

Kalau kasut tumit tinggi tak boleh, kasut rata pun tak bagus, kasut jenis macam mana yang seorang wanita patut pakai? Jawapannya ialah pilih kasut yang mempunyai tapak, tidak terlalu rata, dan tidak terlalu tinggi.

punca sakit tumit
Sumber: Bukalapak

4. Memakai kasut yang tidak menyerap hentakan dan bebanan berat badan

Perasan tak, kasut yang mahal biasanya sangat lembut dan selesa. Selain itu, ia juga mempunyai fungsi untuk menyerap hentakan pada kaki. Fungsi ini adalah sangat penting untuk menjaga tumit kaki anda. Ini kerana memakai kasut yang tidak menyerap hentakan dan bebanan berat badan adalah satu lagi punca sakit tumit bagi wanita.

Oleh itu, laburkan duit yang lebih untuk membeli kasut yang baik agar anda tidak menderita sakit tumit. Kalau anda boleh berbelanja untuk membeli set penjagaan kulit dan barang kosmetik, apa salahnya kalau anda keluarkan duit yang lebih untuk kasut, kan?

5. Kecederaan pada tumit

Punca sakit tumit bagi wanita yang seterusnya ialah disebabkan oleh berlakunya kecederaan pada tumit. Di antara jenis kecederaan pada tumit yang sering berlaku ialah retakan tekanan dalam tulang tumit yang akan menyebabkan berlakunya ketegangan pada otot, tulang dan ligamen di bahagian tumit lalu menyebabkan anda mengalami sakit tumit.

Oleh itu, jika anda terlalu kerap sakit tumit dan mengalami kesakitan yang keterlaluan, sila ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan kerana dikhuatiri anda mengalami kecederaan pada tumit.

6. Tumit terseliuh

Selain kecederaan pada tumit, tumit terseliuh juga merupakan satu lagi punca sakit tumit pada wanita yang sering berlaku. Jika sakit tumit yang ada rasa disebabkan oleh terseliuh, ianya akan hilang dalam masa yang singkat, mungkin lebih kurang seminggu.

Sebaik sahaja seliuh pada tumit anda reda, sakit juga akan hilang dengan sendiri. Untuk mempercepatkan proses pemulihan tumit anda yang terseliuh, anda boleh rawat dengan cara berikut:

  • Rehatkan tumit. Kurangkan berjalan. Banyakkan baring dan berehat.
  • Tuam tumit anda yang terseliuh dengan ais untuk mengurangkan bengkak dan meredakan kesakitan yang dialami.
  • Mampatkan tumit anda dengan membungkus menggunakan kain bandage.
  • Tinggikan tumit anda. Rehatkan tumit di atas bantal semasa berbaring atau duduk.
punca sakit tumit
Sumber: Rileklah

7. Radang pada tumit

Selain kecederaan dan terseliuh pada tumit, radang yang berlaku pada tumit juga boleh menjadi punca sakit tumit bagi wanita. Pada tumit terdapat tisu penghubung yang dipanggil sebagai Plantar fascia adalah rangkaian tisu penghubung yang meluas dari tulang tumit anda ke bebola kaki.

Keradangan pada tisu penghubung ini dipanggil plantar fasciitis. Keradangan pada tisu penghubung ini biasanya berlaku kepada mereka yang selalu memakai kasut tumit tinggi atau kasut yang terlalu rata. Oleh itu, elakkan daripada memakai kedua jenis kasut tersebut.

8. Selalu memijak lantai simen

Lantai simen bersifat sejuk dan menurut orang lama, sangat berbisa dan boleh menyebabkan anda sakit tumit. Oleh itu elakkan daripada memijak lantai simen tanpa beralas semasa berada di dalam rumah. Pakai selipar untuk melindungi kaki anda, terutamanya bahagian tumit.

9. Pertumbuhan tulang yang tidak normal pada tumit

Pertumbuhan tulang yang tidak normal atau bony spurs merupakan satu lagi punca sakit tumit yang tidak disedari. Pertumbuhan tulang yang tidak normal ini boleh berlaku disebabkan oleh:

  • Cara berjalan yang tidak sesuai
  • Membongkok kaki ke dalam semasa berjalan
  • Memakai kasut yang tidak sesuai sama ada terlalu ketat, bertumit tinggi atau terlalu rata.

10. Arthritis

Adakalanya penyakit seperti arthritis rheumatoid juga boleh menjadi punca sakit tumit bagi wanita. Oleh itu, jika anda mempunyai masalah sakit tumit ditemani dengan tanda arthritis yang lain, sila dapatkan rawatan dengan segera.

punca sakit tumit
Sumber: Norfaziela

Itulah dia punca sakit tumit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang resepi diet atkins makanan untuk diet dan senaman kempis perut

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.