Rambut sudah mula beruban? Jom ketahui punca rambut beruban dengan membaca artikel ini.

Pengenalan

Pigmentasi rambut yang memberikannya warna tertentu seperti rambut hitam, merah, perang dan putih ditentukan pada peringkat selular melalui proses yang dipanggil melanogenesis folikular.

Proses pewarnaan rambut secara semulajadi ini bermula dengan pembentukan melanin dan pemindahannya kepada sel rambut yang dikenali sebagai keratinosit.

Folikel rambut manusia mengandungi hanya 2 jenis melani iaitu coklat-hitam eumelanin dan kuning-merah pheomelanin.

Punca rambut beruban sering dikaitkan dengan pembentukan melanin yang tidak mencukupi atau gangguan semasa proses pemindahan melanin.

Oleh itu, artikel ini akan membincangkan faktor-faktor yang menjadi punca rambut beruban.

Fungsi dan Nilai Biologi Pigmentasi Rambut

Menurut kajian lepas, rambut dengan pigmen warna memberikan beberapa fungsi dan kepentingan kesihatan kepada manusia. Antaranya:

  1. Ciri perlindungan sinaran matahari
  2. Aktiviti antimikrob melalui kehadiran melanin
  3. Kepentingan dari aspek kehidupan sosial dan keyakinan diri
  4. Penebat haba dan kawalan suhu

Ciri-ciri Rambut Beruban

Berikut pula ialah ciri-ciri rambut beruban jika dibandingkan dengan rambut yang mempunyai pigmen warna:

  • Lebih kasar, tebal dan panjang
  • Lebih mudah dirosakkan oleh radiasi UV
  • Kurang meresap warna daripada pewarna tiruan dan warnanya cepat luntur
  • Serat rambut yang kurang kuat

Punca Rambut Beruban

Imej via Bidadari

Selain daripada proses penuaan, berikut ialah punca rambut beruban berdasarkan penyelidikan dan tinjauan saintifik yang pernah dijalankan:

1. Kekurangan Vitamin B

Golongan remaja dan orang muda turut tidak terkecuali daripada mendapat rambut beruban.

Satu kajian ke atas 52 responden berusia < 20 tahun yang mengalami gejala rambut beruban di usia muda, atau dikenali sebagai premature canities, melaporkan kekurangan vitamin B kompleks seperti B12, biotin dan asid folik.

Oleh itu, disarankan mengambil diet makanan tinggi vitamin B, contohnya:

  • sayuran hijau
  • telur
  • susu
  • keju
  • kerang (oyster, kepah, kupang, lala)
  • kembung
  • tongkol
  • tuna
  • salmon

2. Kekurangan Zink

Zink merupakan mikronutrien mineral yang penting sebagai mangkin untuk aktiviti sel menghasilkan pigmen kepada rambut khasnya.

Satu kajian kes mengejutkan dilaporkan melibatkan masalah rambut beruban yang berlaku ke atas bayi yang baru berusia 5 bulan di India!

Kajian kes ini dibentangkan oleh Dr, Keshavamurthy Vinay et al. pada tahun 2014 yang mengaitkan kes ini sering ditemui dalam masyarakat yang tidak mendapat keperluan zink secukupnya dalam diet seharian.

Seterusnya, suplemen unsur zink diberikan kepada bayi dan si ibu. Kesan mula kelihatan pada minggu pertama dan pada bulan ke-3, rambut bayi tersebut sudah bertukar warna menjadi hitam dan sihat.

3. Gaya Hidup Tidak Sihat

Kemunculan rambut beruban boleh terjadi disebabkan oleh gaya hidup seseorang. Berdasarkan beberapa kajian lepas, kemunculan rambut beruban berjaya dibuktikan secara statistik yang dipengaruhi oleh faktor seperti

  • Merokok
  • Tabiat minuman alkohol
  • Obesiti

4. Tahap Pendidikan

Agak mengejutkan, bukan? Namun, menurut ulasan sekumpulan penyelidik dari Bangkok pada tahun 2019, punca rambut beruban boleh dikaitkan dengan status atau tahap pendidikan.

Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin tinggi risiko mereka mendapat rambut beruban.

Hal ini boleh diterangkan dengan tahap tekanan mereka yang menduduki pendidikan lebih tinggi yang berhadapan lebih banyak tekanan sama ada daripada rakan sebaya, keluarga atau masyarakat sekeliling.

Tahap tekanan diakui menyumbang kepada masalah rambut beruban disebabkan gangguan sistem fisiologi akibat perubahan hormon.

5. Penyakit Punca Rambut Beruban

Kajian-kajian lepas cuba mencari hubungan antara penyakit yang dihidapi dengan punca rambut beruban. Namun, hasil kajian tersebut belum boleh diyakini sepenuhnya tetapi ada yang menunjukkan korelasi yang kuat.

Antara penyakit yang menjadi punca rambut beruban ialah:

  • Osteoporosis dan osteopenia
  • Penyakit kardiovaskular
  • Jangkitan HIV
  • Kanser Hodgkin limfoma
  • Cystic fibrosis

6. Ubatan

Kemasukan ubatan moden dalam sistem tubuh telah dilaporkan memberi kesan sampingan punca rambut beruban.

Antara kes yang melibatkan pesakit mendapat rambut beruban akibat pengambilan ubatan ialah:

  • chloroquine
  • mephenesin
  • phenylthiourea
  • triparanol
  • fluorobutyrophenone dixyrazine
  • epidermal growth factor receptor inhibitor imatinib
  • interferon-alpha

7. Kekurangan Antioksidan dalam Tubuh

Punca rambut beruban yang seterusnya ialah kekurangan bahan antioksidan dalam tubuh. Namun, hipotesis ini masih lagi di peringkat penyelidikan menyeluruh.

Pemerhatian ini dibuat apabila melihat kesan aktiviti antioksidan yang mampu mempengaruhi perkembangan sel melanosit dan kawasan umbi rambut.

Selain itu, keadaan tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas dalam tubuh mengganggu pertumbuhan rambut dan proses pigmentasi pewarnaan rambut secara semulajadi.

Radikal bebas ini boleh ‘ditangkap’ menggunakan bahan-bahan antioksidan yang diperolehi melalui sumber makanan.

Oleh itu, antara cadangan makanan tinggi antioksidan yang boleh diambil, selain untuk kesihatan rambut, juga bagus untuk sistem pertahanan tubuh ialah:

  • bayam
  • ubi bit
  • jambu batu
  • manggis
  • epal
  • kale
  • goji beri
  • bawang merah bawang putih
  • anggur
  • terung
  • lobak merah
  • labu
  • mangga
  • kekacang

Kesimpulan

Secara ringkasnya, antara punca rambut beruban ialah kekurangan vitamin B, mineral zink, gaya hidup yang tidak sihat, tekanan hidup, penyakit, ubatan dan kekurangan antioksidan dalam tubuh.

Selain tanda penuaan, rambut beruban menjadi indikator atau petunjuk kepada kualiti kesihatan kita yang mungkin kekurangan nutrisi tertentu.

Kini, kajian demi kajian dijalankan giat dilakukan bagi menghasilkan produk yang boleh mencegah rambut beruban selain penggunaan pewarna rambut di pasaran sekarang yang bersifat sementara. Jemput juga baca artikel punca rambut kering dan petua rambut gugur

Rujukan

  1. Almohanna, H. M., Ahmed, A. A., Tsatalis, J. P., & Tosti, A. (2019). The role of vitamins and minerals in hair loss: a review. Dermatology and therapy9(1), 51-70. (link)
  2. Triwongwaranat, D., Thuangtong, R., & Arunkajohnsak, S. (2019). A review of the etiologies, clinical characteristics, and treatment of canities. International Journal of Dermatology58(6), 659-666. (link)
  3. Vinay, K., Yadav, S., & Handa, S. (2014). Zinc deficiency and canities: An unusual manifestation. JAMA dermatology150(10), 1116-1117. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.