Masalah sengal dan sakit sendi khususnya di bahagian lutut membuatkan pergerakan kita terbatas. Nak bangun berdiri mahupun berjalan dengan betul pun jadi payah. Ayuh ketahui punca lutut sakit sebagaimana yang pernah dibincangkan dalam kertas-kertas kajian perubatan sebelum ini.

Pengenalan

Lutut merupakan bahagian sendi yang menghubungkan peha dengan betis. Tambahan pula, lutut merupakan sendi yang paling besar bagi tubuh badan.

Uniknya penciptaan lutut ini membolehkan kaki kita fleksibel untuk meluruskan, melipat dan menghayun kaki. Selain itu, lutut adalah penting untuk tujuan berlari, berjalan, melompat dan menampung berat badan. Tanpa lutut, tulang kaki yang lurus boleh jadi patah!

Pada awal kelahiran, lutut masih bersifat kartilaj atau tulang lembut. Struktur lembut ini akan mengeras menjadi tulang pada usia 3 ke 5 tahun. Tempoh ini agak lama berbanding pembentukan tulang yang lain kerana lutut merupakan jenis tulang sesamoid iaitu tulang yang terletak pada tendon atau otot.

Disebabkan fungsi lutut yang secara utamanya membantu sistem pergerakan manusia, sakit lutut boleh menjejaskan aktiviti harian kita.

Risiko Sakit Lutut dalam Komuniti

Pada tahun 1997, sekumpulan penyelidik dari Universiti Calgary, Alberta, Kanada ada menerbitkan kajian ulasan saintifik berkenaan sakit lutut. Mereka merumuskan bahawa sakit lutut boleh dialami oleh pelbagai peringkat umur. Dalam kalangan tentera pula, disebabkan aktiviti ketenteraan mereka, masalah sakit lutut dialami oleh askar lelaki dan perempuan yang berusia antara 18 dan 26 tahun.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh pakar rheumatologi di Hospital St. Thomas, London pada tahun 1992, kebanyakan mereka yang mengalami sakit lutut adalah berusia 55 tahun ke atas yang disebabkan oleh faktor penuaan.

Tambahan lagi, didapati golongan wanita lebih mudah mengalami masalah sakit lutut berbanding lelaki dengan statistik 27 orang dalam setiap 100 wanita. Keadaan ini juga seiring dengan pertambahan usia masing-masing.

Punca Sakit Lutut

Menurut kertas kajian yang diterbitkan oleh pakar ortopedik dan penyelidik di Hospital Minnesota, Amerika Syarikat pada tahun 2000, struktur anatomi bentuk lutut wanita lebih cenderung untuk mereka mengalami sakit lutut.

Dilaporkan, masalah sakit lutut ini sering dilaporkan dalam kalangan atlet yang kerap melakukan aktiviti fizikal intensif dan golongan wanita walaupun tidak terlibat secara aktif dengan aktiviti sukan.

Pengelasan punca sakit lutut dibahagikan kepada dua iaitu

  1. penyakit atau masalah tulang dan tisu lembut
  2. masalah intraartikular (sambungan antara sendi lutut)

Antara senarai punca sakit lutut yang dibincangkan adalah berdasarkan huraian seperti berikut:

1. Aktiviti Fizikal Berat

Punca sakit lutut akibat melakukan aktiviti fizikal berat terjadi apabila aktiviti fizikal tersebut memberi kesan ke atas mekanisma penjajaran atau alignment lutut untuk menjadi tidak normal.

Tekanan yang dirasai oleh bahagian sendi lutut menyebabkan ketidakseimbangan mekanisme lutut yang menjurus kepada sakit lutut apabila:

  • kartilaj sendi lutut menjadi lembut
  • sebaran daya sendi yang tidak sekata
  • kerengsaan pada bahagian tulang berhampiran
  • tindak balas keradangan pada bahagian lutut
  • kerosakan saraf kecil

Imej via Bidadari

2. Trauma Fizikal atau Kecederaan Secara Langsung

Sakit lutut akan mula dirasai apabila seseorang itu mengalami kecederaan atau impak secara terus ke bahagian kepala lutut.

Hentakan yang kuat atau terjatuh di permukaan yang keras boleh mengakibatkan rasa sakit yang datang beberapa jam selepas insiden tersebut.

Pada masa kejadian, rasa sakit mungkin belum dirasai, tetapi kesakitan akan dirasai apabila kartilaj mula rosak secara berperingkat akibat trauma itu tadi.

3. Berat Badan Berlebihan, Hamil dan Melahirkan Anak

Masalah sakit lutut akan dialami mereka yang sedang hamil dan selepas melahirkan anak. Hal ini disebabkan perubahan sistem rangka badan bagi menyesuaikan badan wanita untuk mengandungkan bayi dan memudahkan urusan kelahiran.

Hal ini sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada bahagian sendi yang berperanan menyerap dan menampung sebarang daya dan berat badan bertambahan.

Faktor ini juga boleh menerangkan masalah sakit lutut yang menimpa mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

4. Faktor Hormon

Khusus bagi wanita, faktor hormon boleh menjadi punca sakit lutut dengan penghasilan estrogen. Dilaporkan, hormon estrogen mengurangkan penghasilan kolagen.

Kandungan kolagen yang berkurangan memberi kesan kepada fungsi lutut. Oleh itu, untuk mengurangkan kesan ini. golongan wanita terutamanya boleh cuba mendapatkan sumber kolagen melalui diet makanan seperti:

  • ikan
  • ayam
  • telur
  • buah-buahan sitrus
  • beri
  • sayuran berwarna merah dan kuning

5. Lain-lain Faktor (amalan harian)

Punca sakit lutut boleh juga disebabkan oleh tabiat dan rutin amalan harian yang memberi tekanan kepada kawasan sendi lutut. Antaranya ialah:

  • pemakaian kasut tumit tinggi
  • kerap naik dan turun tangga
  • duduk kaki bersilang
  • mencangkung terlalu lama

6. Makanan

Kajian makanan ke atas sakit lutut masih belum dikembangkan dengan meluas. Punca sakit lutut disebabkan makanan ini berlaku ke atas mereka yang sedang sakit lutut dan pengambilan makanan tertentu akan menambahkan lagi rasa sakit lutut tersebut.

Menurut pengalaman orang lama, berdasarkan pemerhatian mereka, jika anda sedang sakit lutut, elakkan daripada makan makanan yang ‘sejuk’ atau dalam bahasa lainnya ‘membuatkan urat kembang.’

Antara petua makanan yang perlu dielakkan ialah kobis, cendawan, pucuk daun, salad, soya dan sebagainya.

Biarpun tiada kajian saintifik untuk mengesahkan atau menafikan dakwaan ini, tidak salah sekiranya dicuba petua elak makanan ‘sejuk’ ini, sekurang-kurangnya sehingga lutut tidak sakit lagi.

Kesimpulan

Antara punca lutut sakit ialah aktiviti fizikal yang berat, kecederaan, berat badan berlebihan, hamil, melahirkan anak, faktor hormon dan tabiat rutin harian.

Masalah sakit lutut ini boleh beransur-ansur pulih dan lega secara berperingkat. Ubat tahan sakit boleh diambil bagi meredakan kesakitan pada bahagian lutut. Gaya hidup yang lebih sihat juga sangat bagus untuk diamalkan bagi faedah kesihatan secara keseluruhan.

Namun, jika gejala sakit lutut ini sering berulang dan berpanjangan, anda perlulah mendapatkan khidmat rawatan pakar perubatan bertauliah. Jemput juga baca tentang punca badan berbau dan punca rambut beruban 

Rujukan

  1. Cutbill, J. W., Ladly, K. O., Bray, R. C., Thorne, P., & Verhoef, M. (1997). Anterior knee pain: a review. Clinical journal of sport medicine7(1), 40-45. (link)
  2. Fulkerson, J. P., & Arendt, E. A. (2000). Anterior knee pain in females. Clinical Orthopaedics and Related Research®372, 69-73. (link)
  3. McAlindon, T. E., Cooper, C., Kirwan, J. R., & Dieppe, P. A. (1992). Knee pain and disability in the community. Rheumatology31(3), 189-192. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.