kanak-kanak bergaduhfashiondujourdaily

Yang ini tiada magiknya. Ini adalah suatu yang bersangkut dengan akhlak.

Jika anda mendapati anak-anak pada usia ini masih buruk akhlaknya, maka sesuatu perkara perlu anda lakukan walaupun payah.

#1 Cuba Muhasabah Diri

Pertama, walaupun susah muhasabah diri. Cari dan ingat kembali bagaimana cara anda menangani anak ini semasa dia masih kecil, masih di dunia 2 tahunnya. Bila dia mengamuk, memukul orang, mengigit orang, menendang atau menangis minta dibelai, bagaimana cara anda melayan dia?

Seperti yang dikongsi sebelum ini,

” Oleh itu bila orang dewasa tidak faham, mereka menuduh anak-anak kecil yang belum faham dunia ini dengan perlbagai tuduhan kepada ibu bapa mereka. Malah ada juga ibu bapa yang kerana tidak ada ilmu mengenai perkembangan anak-anak marah berlebihan akan anak-anak ini.

 

Lantaran itu anak-anak ini semakin keliru dan semakin masuk ke dalam ‘dunia’ dia. Jadilah anak ini membesar dengan keadaan begitu walaupun sudah berusia 4-5 tahun masih di dalam dunia yang sepatutnya hanya untuk anak yang berusia 1.5 tahun – 3 tahun.”

Anak itu masih keliru dan masih duduk di dalam dunia itu.

HARAP MEMAHAMI JUGA…bila pada usia 2 tahun itu bila dia menendang tidak dilarang dengan baik dan diberitahu bahawa perbuatan itu tidak baik, ianya juga boleh menyebabkan keadaan ini.

Maksudnya ; cara keibubapaan yang terlampau keras tau terlampau lembut tidak ‘bertulang belakang’, boleh menyebabkan keadaan ini.

#2 Mencari Punca

Cuba perhatikan dari mana dia ambil perangai ini. Ada tidak orang dewasa atau kawan-kawan yang melakukan kepadanya atau kepada orang lain, meyepak, menerajang, bercakap kasar dan yang sama dengan itu. Jika ada, maka itulah puncanya.

#3 Tidak Ditegur

Tidak ditegur dan dibetulkan semasa anak itu berusia 4 tahun ke atas. Kerana pada masa ini, dia sudah boleh memahami dan boleh diterangkan kesan dan natijah.

#4 Masalah Emosi

Dia ada masalah yang merundung perasaan dan perbuatan itu adalah ledakan emosinya.

Apa Yang Hendak Dibuat Untuk Membetulkan Keadaan Ini?

Pertama apa yang anda perlu tahu, anak itu telah mempunyai hati yang tertutup. Tertutup disebabkan oleh luka atau manja yang berlebihan.

Oleh itu untuk membuka balik hati ini perlu bersabar dan berstrategi.

Ini caranya…Sedutan dari Buku Ibu ‘ Membina Anak-anak Cemerlang’.

“Membuka Kembali Hati yang Tertutup”

Apabila anda telah melakukan kesalahan, tiada perbuatan lain yang lebih baik melainkan dengan meminta maaf. Sekiranya anda tahu hati anak anda telah terluka kerana perbuatan anda dan anda sedar anda bersalah, minta maaf daripadanya atas segala kesilapan anda.

Saya tahu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana anda terpaksa menelan ego dan maruah anda. Walau bagaimanapun, sekiranya saya diberikan dua pilihan, iaitu menyebabkan tertutupnya hati dan semangat anak saya atau mengetepikan perasaan ego, saya akan memilih pilihan yang kedua itu.

Anak yang telah tertutup semangatnya akan mencetuskan kacau-bilau dan memporak-perandakan kehidupan keluarga anda dengan berbagai-bagai masalah seperti dadah, arak, merokok dan pelbagai masalah lagi.

Dr. Gary Smalley di dalam bukunya The Key to Your Child’s Heart memberi anda lima langkah untuk membuka kembali pintu hati anak-anak kita. Saya akan berkongsi dengan anda secara ringkas apa yang tertulis di dalam bukunya.

Namun, saya amat mengesyorkan agar anda membaca buku ini kerana buku ini sangat baik sebagai panduan keibubapaan dalam membina hubungan kekeluargaan yang erat dan mantap.

Langkah 1 –Jadilah seorang yang lembut hati

Gunakan nada suara, bahasa tubuh, dan berkomunikasilah dengan lembut. Biarkan dia merasai dirinya penting kepada anda dan pada masa yang sama anda sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Langkah 2 – Tingkatkan kefahaman

Akuilah kesakitan di jiwanya dan fahamilah pandangannya tentang bagaimana dia melihat tindakan kasar anda terhadapnya.

Langkah 3 – Kenali perbuatan kasar anda

Akuilah kesalahan anda. Perkara ini mungkin sesuatu yang sukar, terutama bagi kita yang dibesarkan dengan kepercayaan di mana kita tidak patut mengakui kesalahan-kesalahan kita di hadapan anak-anak kita kerana bimbang dia tidak akan menghormati kita.

Sebaliknya, anak-anak akan lebih menghormati kita apabila kita berani mengakui kesalahan kita kerana mereka sedar bahawa seseorang itu lebih budiman sekiranya dia mengaku bahawa dia telah membuat kesilapan.

Langkah 4 – Berusaha melakukan sentuhan

Sentuhan fizikal ialah satu daripada bahasa kasih sayang yang cukup berkesan. Sentuhlah dengan kelembutan.

Walau bagaimanapun, pastikan telah wujud tanda-tanda anak anda telah bersedia untuk menerima sentuhan kasih yang sedemikian. Lebih mudah sekiranya hubungan anda dengan anak anda baik sebelum ini dan sentuhan dan pelukan kasih ialah sesuatu yang lumrah dalam keluarga.

Walau bagaimanapun, sekiranya hubungan anda dengan anak anda telah tegang sekian lama, ambillah sedikit masa. Perhatikan tanda-tanda yang dia semakin pulih dan hadirkan diri kepadanya secara perlahan-lahan. Usap dan sentuhlah tangannya dahulu, selain terus mendakapnya. Ini boleh diumpamakan seperti memecahkan dahulu air batu yang wujud yang memisahkan dunia anda dengan dunianya.

Langkah 5 – Mohon kemaafan

Mohon kemaafan dengan seikhlas hati dan beri masa kepadanya untuk bertindak balas. Sekiranya dia berdiam diri, ini ialah petunjuk ada sesuatu perkara yang lebih parah. Oleh itu, tanyakan kepadanya perlahan-lahan, apakah wujud masalah yang lebih parah daripada apa yang anda ketahui?

Jangan terhenti di situ sahaja dan hanya berkata, “Sekiranya kamu tidak mahu memaafkan, tidak mengapalah, ibu/ayah telah melakukan tanggungjawab ibu/ayah. Sekiranya kamu mahu berdendam, itu pilihan kamu.”

Sikap yang sebegini tidak akan membawa keharmonian dalam keluarga dan sebagai ibu bapa, kita yang sepatutnya menjadi contoh. Memohon kemaafan bukanlah bererti kita lemah, tetapi satu petanda bahawa kita seorang yang berhati besar.”

Jika setelah anda berlembut dan berusaha membetulkan keadaan tetapi anak anda masih dengan perangai buruknya, di sini anda perlu tegas dan claim your leadership. Anda perlu tegas menghukumnya jika dia berperangai buruk.

Kerana ada anak-anak yang menyangka bila ibu bapa mereka meminta maaf, bermaksud mereka selepas itu boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu lakukan termasuk membuli ibu bapa.

Oleh itu, berdiri tegap dan bertindak tegas dalam masa yang sama penuh kasih sayang. Itulah yang dinamakan TOUGH LOVE.

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.