Rumah anda ada banyak semut? Mencari tips petua halau semut? Adakalanya kehadiran semut boleh menyebabkan anda hampir mengamuk semasa masuk ke dapur. Terutamanya jika semut mula menghurung makanan anda atau masuk ke dalam bekas simpanan air.

Tak lalu untuk menelan air yang penuh dengan semut mati terapung didalamnya. Membazir pula apabila terpaksa membuang air dan makanan tadi. Jom kami kongsikan 10 petua hilangkan semua yang boleh anda amalkan di dapur dan di kebun.

1. Daun sireh

Daun sireh mempunyai bau yang kuat dan agak tidak menyenangkan. Baunya agak pedas. Bayangkan, jika kita manusia yang bertubuh besar pun kurang suka dengan bau sireh, bayangkan kesan bau daun sireh ke atas semut yang halus sahaja tubuh badannya. Terdapat dua cara untuk menghalau semut dengan menggunakan daun sireh iaitu:

  • Racik daun sireh kecil-kecil dan masukkan dalam bekas. Letak di kawasan yang selalu dihurung semut.
  • Masukkan daun sireh ke dalam air, ramas sehingga baunya mesra dengan air. Rendam dalam 30 minit. Masukkan air tadi ke dalam botol spray dan sembur kawasan yang menjadi laluan dan tepat hurungan semut.

2. Kulit telur

Kulit telur adalah satu lagi petua halau semut yang anda boleh cuba. Caranya sangat mudah dan yang lebih menarik, kulit telur adalah bahan semulajadi yang selamat dan boleh didapati secara percuma. Setiap dapur rumah mempunyai telur ayam untuk masakan. Cara menghalau semut dengan kulit telur adalah seperti berikut:

  • Basuh kulit telur sehingga bersih.
  • Jemur sehingga kering.
  • Kisar kering atau tumbuk sehingga halus.
  • Tabur pada kawasan laluan semut dan kawasan yang menjadi tumpuan semut.

3. Serbuk kopi

Taburkan sahaja serbuk kopi di kawasan laluan semut. Aroma kopi yang kuat akan menyebabkan semut tidak datang lagi ke kawasan tersebut. Malah serbuk kopi tadi akan menjadi melekit apabila bertindak balas dengan udara. apabila ada semut degil yang cuba untuk melalui kawasan tersebut, ia akan melekat pada lekitan serbuk kopi tadi lalu terperangkap dan mati. Apabila semut lain melihat apa yang berlaku, mereka akan berasa takut dan tidak akan datang lagi ke situ.

4.  Lada hitam dan garam

Biasa kita dengar lada hitam dan garam digunakan dalam perubatan islam untuk mengatasi masalah gangguan sihir dan jin. Namun dua bahan tersebut juga sangat berkesan untuk menghalau semut. Caranya. Tabur lada hitam dan garam di kawasan yang selalu dilalui oleh semut di rumah anda.

5. Jus limau nipis

Sumber: Malaysiankitchen

Jus limau nipis adalah petua halau semut yang anda wajib cuba kerana ianya adalah sangat berkesan. Apa yang anda perlukan ialah sebiji limau nipis. Ambil limau nipis tadi, perah jusnya dan masukkan jus limau nipis ke dalam botol spray. Sembur di kawasan yang berkenan.

6. Air sabun

Air sabun boleh digunakan untuk menghalau semut. Air sabun bukan sahaja mengeluarkan bau kuat yang tidak disukai oleh semut malah ia akan menyebabkan mata semut menjadi pedih. Terdapat dua cara yang boleh anda lakukan iaitu:

  • Sembur air sabun dengan menggunakan botol spray.
  • Tuang air sabun ke atas permukaan kaunter atau meja makan, dan lap dengan kain bersih supaya seluruh permukaan ditutupi oleh air sabun.

7. Timun

Mungkin anda terkejut apabila kami senaraikan timun sebagai salah satu petua halau semut yang berkesan anda boleh cuba. Ya. Timun boleh digunakan untuk menghalau semut. Caranya juga sangat mudah untuk anda lakukan iaitu:

  • Potong timun kepada potongan kecil, letakkan potongan timun di kawasan yang sesuai.
  • Kisa timun sehingga halus, masukkan ke dalam botol spray dan sembur jus timun tadi di kawasan laluan semut. Jus timun mengeluarkan bau yang tidak disukai oleh semut.

8. Cuka

Cuka ada bersifat asid dan ia merupakan bahan di dapur yang boleh digunakan untuk menghalau semut. Kami pasti setiap dapur di Malaysia mempunyai sebotol cuka memandangkan ia adalah bahan serbaguna yang sangat membantu para ibu. Untuk menghalau semut dengan menggunakan cuka, terdapat dua cara yang boleh anda lakukan iaitu:

  • Tuangkan cuka di atas kaunter cabinet atau meja makan, lap dengan kain bersih agar cuka menjadi rata dan keseluruhan permukaan dilitupi dengan cuka.
  • Masukkan cuka ke dalam botol spray, semburkan kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan semut.

9. Soda bikarbonat

Soda bikarbonat bukan sahaja bahan penting dalam membakar kek, roti, dan biskut, malah ia juga berguna untuk menghalau semut yang mengganggu ketenteraman dapur anda. Soda bikarbonat telah digunakan sebagai salah satu petua menghalau semut yang berkesan sejak dulu lagi. Caranya juga sangat mudah. Anda hanya perlu menabur soda bikarbonat di kawasan laluan semut dan ia akan menghalang semut daripada datang lagi.

10. Bunga cengkih

Sumber: The Rohani

Petua halau semut yang terakhir anda boleh cuba ialah dengan cara meletakkan bunga cengkih di kawasan laluan semut dan kawasan yang menjadi kegemaran semut di rumah anda. Bunga cengkih mengeluarkan bau yang kuat dan akan memedihkan mata semut. Semut tidak akan datang lagi kerana tidak tahan akan baunya.

Itulah dia info  tentang petua halau semut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.