Permainan tradisional merupakan warisan yang wajib kita pertahankan supaya kekal sehingga ke generasi yang akan datang. Sayangnya, kebanyakan anak muda zaman sekarang sudah tidak mengenali permainan tradisional. Apa kata kita ubah keadaan ini?
Jom kita perkenalkan semula permainan tradisional supaya dekat dihati anak-anak kita.
Apabila sebut perkataan permainan tradisional, permainan pertama yang muncul di minda kami ialah congkak. Terimbas kembali memori bermain congkak semasa kecil dahulu. Istimewanya, kami mengorek tanah untuk dijadikan sebagai congkak dan ramai-ramai cari batu jalan untuk dijadikan sebagai buahnya. Kadang-kadang ada yang bergaduh sehingga menangis apabila kalah.
Dalam permainan congkak, terdapat 7 lubang pada setiap pihak, dan pemain akan mendapat satu lubang besar yang dipanggil sebagai rumah. Anda boleh belikan set congkak sebagai hadiah kepada anak-anak dan bermain bersama semasa hujung minggu. Tak perlu lagi keluar window shopping di pusat membeli-belah.
Dulu zaman sekolah rendah, galah panjang merupakan permainan kegemaran ramai. Masing-masing akan berdiri memeluk tiang sambil menunggu untuk menangkap kawan yang berlari laju dalam cubaan untuk melepasi penjaga- penjaga tiang. Habis waktu sekolah, permainan galah panjang akan disambung di halaman rumah pula.
Petak-petak besar akan dilukis diatas tanah menggunakan ranting kayu. Pemain akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan akan menjaga petak, manakala satu kumpulan lagi akan berlari melepas penjaga petak. Galah panjang merupakan permainan yang sangat menyeronokkan.
Lompat getah juga merupakan permainan tradisional kegemaran kami. Sangat-sangat mengundang nostalgia. Terdapat dua permainan yang boleh dimainkan dengan gelang getah yang disambung-sambungkan ini.
Permainan pertama ialah zerofon. Untuk permainan ini, anda dan kawan-kawan akan melompat getah mengikut ketinggian. Bermula dari lutut, naik ke pinggang, diikuti bahu dan kepala.
Permainan kedua, kami panggil skipping. Untuk permainan ini, getah akan diayun-ayunkan sambil ramai-ramia menyanyi, dan seorang pemain akan melompat-lompat seperti menari di atas getah tersebut.
Permainan tradisional teng-teng juga dipanggil sebagai jengket-jengket. Terdapat dua jenis permainan teng-teng. Permainan pertama kami panggil teng-teng kapal terbang, seperti gambar di bawah. Dipanggil kapal terbang kerana bentuknya yang seakan-akan kapal terbang.
Permainan teng-teng yang kedua merupakan kegemaran kami, bentuknya ialah segi empat dengan petak-petak untuk dipijak. Yang menariknya, serpihan kaca digunakan sebagai buah untuk dibaling.
Siapa yang lahir tahun 80an dan 90an pasti akan kenal dengan permainan legend ini. Permainan mudah tapi sangat menyeronokkan. Peralatan yang diperlukan ialah beberapa pasang selipar. Selipar keras adalah pilihan utama. Pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan.
Kumpulan pertama akan membuat balingan ke arah selipar dan membuat cubaan untuk menyusun kembali selipar, manakala kumpulan kedua akan membaling selipar ke arah kumpulan lawan. Siapa yang terkena selipar akan terkeluar. Sakitnya bukan kepalang, tapi tetap nak main.
Permainan tradisional baling tin lebih kurang sama seperti baling selipar. Bezanya, untuk permainan baling selipar, benda yang akan disusun ialah selipar manakala bagi permainan baling tin, pemain akan membuat cubaan untuk menyusun tin susu.
Permainan tradisional yang seterusnya ialah rounders yang lebih kurang sama seperti baseball dan kriket. Pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dan bermain dengan memukul bola menggunakan kayu besbol buatan sendiri dan membuat satu pusingan larian.
Yang ini merupakan permainan tradisional yang sangat menyeronokkan. Bermain pondok-pondok bermakna anda boleh jadi apa sahaja, di mana sahaja. Nak jadi orang kaya, nak jadi peniaga kedai makan, nak main kawin-kawin, semua pun boleh. Pondok-pondok merupakan permainan yang menggalakkan anda berimaginasi dengan menggunakan apa-apa sahaja yang ada di sekeliling.
Gunakan tanah untuk main masak-masak dalam tin susu. Nak bina rumah? Cari pelepah kelapa atau dahan kayu sebagai tiang dan gunakan daun pisang sebagai bumbung dan dinding rumah. Kalau emak tak marah, boleh pinjam bekas plastik, cawan plastik dan periuk buruk untuk dibuat main.
Anda pernah main lompat tikus waktu kecik dulu? Ini merupakan permainan tradisional yang memerlukan anda berlari, melompat dan merangkak dalam usaha untuk melepasi tangan dan kaki dua orang pemain dari kumpulan lawan. Semakin lama, halangan akan menjadi semakin tinggi dan makin susah untuk dilepasi.
Untuk bermain konda kondi, anda memerlukan dua kayu iaitu kayu ibu dan kayu anak. Anda akan membuat cubaan untuk menyungkit kayu anak menggunakan kayu ibu. Selepas berjaya mengungkit kayu anak, dan perlu berlari untuk mengejar dan menangkap kayu anak yang berjaya dibaling.
Siapa pernah main permainan tradisional pukul berapa datuk harimau? Permainan ini sememangnya mendebarkan. Salah seorang pemain akan menjadi harimau. Apabila sampai pukul 12, harimau tadi akan mengejar pemain-pemain lain. Siapa kena tangkap, dia pula akan menjadi harimau.
Permainan tradisional ini lebih kurang sama seperti pukul berapa datuk harimau. Bezanya, untuk permainan ibu ayam dan musang, akan ada seorang pemain menjadi musang, seekor ibu ayam, dan pemain lain akan menjadi anak ayam. Anak-anak ayam akan beratur di belakang ibu ayam yang mendepakan tangannya untuk mengelakkan anak-anaknya daripada dimakan musang.
Itulah dia beberapa permainan tradisional yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, kami pasti anda pasti akan suka perkongsian kami tentang doa untuk anak, faedah membaca, dan nama anak perempuan