Sepertimana yang kita sedia maklum, bayi dan anak kecil sentiasa belajar daripada persekitaran mereka. Perkembangan kanak-kanak berlaku setiap hari dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosial, kemahiran motor, dan sebagainya.

Mempersiapkan anak ke alam persekolahan sangat berkait dengan kemahiran bertutur dan membaca.

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang kaedah asas untuk merangsang anak bertutur dan membaca, agar mereka tidak kekok dan dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah kelak.

Untuk menjawab persoalan tersebut, sebelum anak-anak mula bersekolah, mereka perlu didedahkan dengan PTRS seawal usia mereka.

Apakah itu PTRS? PTRS adalah 4 perkara yang sangat penting dan wajib didedahkan kepada anak-anak sejak mereka bayi sehingga sebelum mereka memulakan alam persekolahan kelak.

Ikuti perkongsian Puan Masturah A. Latib yang merupakan seorang guru atau lebih dikenali sebagai Teacher Mas, melalui laman Facebook peribadinya tentang PTRS ini.

1. PLAY (P)

Bermain adalah perbuatan sukarela dan menyeronokkan bagi kanak-kanak. Bermain adalah sebahagian daripada aktiviti yang penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari kemahiran bahasa dan pertuturan.

Kanak-kanak dapat meluahkan idea, perasaan dan fikiran mereka sewaktu bermain. Percaya atau tidak, kemahiran bermain sebenarnya merupakan sebahagian daripada kemahiran pra-pertuturan kanak-kanak.

Bagi merangsang pertuturan anak, ibu bapa seharusnya bercakap dan berbual dengan anak sewaktu bermain dengan mereka. Ini kerana, komunikasi dua hala sewaktu bermain dengan anak sebegini dapat merangsang pertuturan dan kemahiran penggunaan bahasa anak.

Gunakan ruang yang sesuai untuk bermain bersama anak dan pilih permainan yang bersesuaian dengan umur mereka. Gunakan bahasa yang mudah serta intonasi suara yang pelbagai bagi menarik perhatian dan minat mereka untuk bertutur sambil bermain.

Foto Kredit : everythingfordads.com

2. TALK (T)

Ibu bapa hendaklah sentiasa bercakap dengan bayi seawal usia mereka. Walaupun ketika itu mereka masih belum boleh berkata-kata, tetapi perkataan yang didengari akan disimpan di dalam memori mereka dan akan mula digunakan apabila tiba masanys kelak.

Pada usia 1 tahun, ibu bapa perlu ‘expect’  anak untuk mula menyebut perkataan yang biasa digunakan dalam rutin harian mereka. Terdapat anak-anak yang menyebut “mama” sebagai perkataan pertama mereka, ada yang menyebut perkataan “nak” dan ada juga yang menyebut “ball”. Ia bergantung kepada persekitaran anak serta perkataan yang kerap kali didengari dan difahaminya.

Menjelang usia 2 tahun, anak seharusnya sudah boleh menggabungkan perkataan-perkataan menjadi ayat mudah seperti “nak susu”, “nak bola”, “mama ball” dan sebagainya.

Tips untuk ibu bapa yang mempunya anak berusia 1 hingga 2 tahun :

  • Buat senarai perkataan yang difahami dan disebut oleh anak dalam konteks yang bermakna dan betul.
  • Pantau bilangan perkataan yang berjaya disebut oleh anak. Sasaran kita adalah menjelang usia anak 2 tahun, anak sudah mempunyai (iaitu faham dan sebut secara spontan) lebih daripada 55 perkataan untuk digabungkan menjadi ayat mudah.
  • Jika tidak mencapai sasaran,  ibu bapa perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk membina kosa kata anak dengan mempelajari strategi meningkatkan peluang anak menyebut perkataan yang difahaminya.

Foto Kredit : hayatouki.com

3. READ (R)

Ibu bapa boleh mula membacakan buku buat anak seawal usia mereka 6 bulan lagi. Dapatkan buku bergambar yang lembut (soft book) yang bersesuaian dengan umurnya bagi menggalakkan anak untuk melihat gambar yang disebut oleh ibu bapa melalui buku tersebut.

Cuba mulakan dengan buku-buku klasik (seperti ‘Pat the Bunny’) di mana anak boleh meniru pergerakan menepuk (pat)  atau menyentuh buku yang mempunyai tekstur. Biasakan anak dengan gambar-gambar yang terdapat di dalam buku tersebut dan beri peluang kepada anak untuk cuba menamakannya.

Dengan kerap membacakan buku tersebut buat anak, adalah tidak mustahil, mereka dapat mengingati jalan ceritanya dan dapat bertutur atau membacakan kembali cerita tersebut kepada kita kelak.

Foto Kredit : allevents.in

4. SING (S)

Sudah menjadi lumrah ibu bapa untuk menenangkan bayi dengan nyanyian apabila si kecil ini dilanda keresahan. Selain daripada mendukung, memeluk, atau memujuk mereka, antara cara lain yang sering digunakan adalah mendodoi bayi sambil menyanyikan lagu, zikir, nasyid dan sebagainya kepada mereka.

Terdapat banyak keistimewaan menyanyikan lagu untuk bayi atau bersama anak kecil. Lagu-lagu anak kecil bukan sahaja menenangkan dan menghiburkan hati, malah ia juga boleh digunakan bagi menarik perhatian mereka untuk menyanyi sambil belajar.

Walaupun mungkin suara ibu atau ayah ‘ke laut’ ketika menyanyi, itulah suara yang paling gemar didengari oleh bayi dan anak kecil. Pelbagai kajian yang bersetuju dengan kenyataan bahawa menyanyi untuk anak dapat membantu perkembangan minda terutamanya dari aspek pertuturan dan emosi.

Oleh itu, jadikan menyanyi sebagai rutin harian bersama anak, supaya anak lebih bersemangat untuk mempelajari banyak perkara daripada nyanyian dan lagu itu.

Foto Kredit : youtube.com

PLAY, TALK, READ AND SING WITH THE KIDS!

Dengan mendedahkan anak kepada PTRS (play, talk, read, sing) sejak mereka bayi lagi, ianya dapat mengasah pelbagai kemahiran asas seperti kemahiran mendengar, melihat, memberi perhatian, kawalan emosi, kemahiran motor kasar dan juga kemahiran motor halus dalam diri mereka.

Melalui kemahiran-kemahiran asas tersebut, ia bukan sahaja dapat merangsang pertuturan anak, malah apabila semuanya berjaya dicapai dan seimbang mengikut perkembangan usia, in sha Allah ia dapat membantu mereka untuk belajar membaca dengan lebih mudah dan cepat.

Apabila anak memperoleh banyak manfaat melalui PTRS ini, mereka pasti berasa yakin dan lebih bersedia untuk ke sekolah kelak.

Let’s have fun by playing, talking, reading and singing with our kids!

 

(Kredit kepada Puan Nik Eliani Nik Nawi iaitu penulis buku bersama Bacalah Anakku dan Read Easy untuk perkongsian beliau kepada Puan Masturah A. Latib tentang PTRS ini).

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Masturah A. Latib melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.