Pesakit penyakit cerebral palsy boleh dilihat dari segi ketidakupayaan motor anggota badan dan sistem fizikal dan mental tubuh yang tidak berfungsi. Jemput baca artikel ini untuk mengetahui tentang penyakit cerebral palsy.

Menurut Persatuan Cerebral Palsy Amerika Syarikat, dianggarkan bahawa terdapat 8000 bayi dan kanak-kanak, ditambah dengan 1200 ke 1500 kanak-kanak berusia tadika yang didiagnos dengan penyakit ini pada setiap tahun di negara tersebut.

Punca Penyakit Cerebral Palsy

Masalah kesihatan ini melibatkan sistem saraf apabila berlakunya sistem saraf yang pegun, tidak bergerak akibat daripada kecederaan pada otak sebelum pembentukan cerebral otak lengkap. Perkembangan otak berlaku secara aktif semasa dua tahun awal usia kelahiran kita. Oleh itu, masalah cerebral palsy ini boleh terhasil ketika tempoh waktu awal kehamilan, sepanjang kehamilan atau sewaktu awal kelahiran.

Malah, hampir 70-80% kes cerebral palsy ini dikesan ketika awal kehamilan yang tidak diketahui punca utamanya. Sementara itu, komplikasi sewaktu kelahiran termasuklah asphyxia (kekurangan oksigen bayi) menyumbang kepada 6% kes cerebral palsy. Bayi yang mempunyai risiko awal kelahiran turut berisiko menghidapi cerebral palsy seperti lahir tidak cukup bulan (kurang daripada 32 minggu), berat kelahiran kurang daripada 2.5 kg, rencatan pertumbuhan semasa dalam kehamilan.

Sementara itu, hampir 10-20% kes cerebral palsy berlaku dalam kalangan bayi di awal kelahiran. Masalah ini berpunca daripada kerosakan otak akibat beberapa kemungkinan seperti:

  1. Jangkitan bakteria (meningitis);
  2. Keradangan otak (encephalitis);
  3. Hyperbilirubinemia (kandungan bilirubin yang tinggi dalam darah – demam kuning);
  4. Kemalangan jalan raya;
  5. Jatuh dengan impak yang kuat atau;
  6. Penderaan bayi.

Diagnosis Cerebral Palsy

Imej via Bidadari

Secara umumnya, diagnosis awal yang dilakukan oleh pakar perubatan untuk mengesan keadaan cerebral palsy ini ialah pemerhatian ke atas:

  • Perkembangan motor anggota tubuh yang perlahan
  • Binaan otot yang tidak normal
  • Postur badan yang kekok

Seterusnya, penilaian terhadap tindak balas refleks yang berterusan pada bayi adalah sangat penting. Langkah pengujian penyakit ini adalah berdasarkan gambaran klinikal, corak perkembangan simptom, sejarah keluarga, dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi kemungkinan diagnosis yang spesifik.

Bagi mengesahkan diagnosis, ujian makmal dan pengimejan cerebral menggunakan tomografi, MRI dan ultrabunyi akan memberikan diagnosis secara fizikal yang berguna. Pemantauan terhadap ketidakupayaan tubuh juga boleh membantu merumuskan penilaian klinikal dan diagnosis seperti

  1. Masalah pendengaran dan penglihatan;
  2. Sawan;
  3. Masalah deria rasa sentuhan dan kesakitan
  4. Kegagalan kognitif

Kenal Pasti Ciri-ciri Klinikal Cerebral Palsy

Hampir 70-80% pesakit yang menghidapi cerebral palsy mempunyai ciri klinikal spastik. Bahagian otot yang terkesan mungkin menunjukkan tindak balas refleks mendalam pada tendon, tremor, kekakuan otot, lemah otot, dan berjalan menggunakan ibu jari kaki.

Cerebral palsy jenis diskinetik atau atetoid pula merangkumi 10-20% pesakit yang boleh dilihat pada pergerakan tubuh yang perlahan, pergelangan tangan yang memulas serta di bahagian lain seperti kaki, lengan, dan tapak kaki.

Ciri klinikal cerebral palsy yang paling jarang dalam 5-10% kes pula ialah mereka yang mempunyai masalah keseimbangan dan koordinasi tubuh. Pesakit jenis ini berjalan secara ‘terkengkang’ dengan tremor yang teruk, seterusnya mengganggu aktiviti seharian yang memerlukan fungsi motor yang baik.

Masalah intelektual berlaku dalam kalangan 2/3 daripada pesakit cerebral palsy. Hampir separuh daripada pesakit kanak-kanaka cerebral palsy akan mengalami sawan. Masalah pertumbuhan merupakan pemerhatian biasa apabila berlaku ketidaknormalan neurologi seperti gangguan pendengaran, penglihatan, dan deria rasa sentuhan.

Penyakit cerebral palsy ini bukan sejenis penyakit progresif iaitu tidak akan melarat/kronik pada masa akan datang. Maka, kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan yang perlahan, kehilangan tindak balas refleks, atau mengeluarkan bau badan yang pelik perlu dinilai dari segi masalah kesihatan lain berdasarkan genetik, metabolik, otot, atau tumor saraf.

Imej via Bidadari

Pengurusan dan Rawatan Pesakit Cerebral Palsy

Matlamat pengurusan pesakit cerebral palsy bukanlah bertujuan menyembuhkan atau menjadikan pesakit normal, tetapi objektif pengurusan ini adalah untuk meningkatkan kefungsian, menambahkan kebolehan, dan mengekalkan kesihatan dari segi pergerakan, perkembangan kognitif, interaksi sosial, dan kehidupan berdikari.

Penjagaan secara klinikal yang terbaik akan diperolehi sekiranya pengurusan dilakukan lebih awal dan intensif. Pendekatan yang diambil adalah dengan memfokuskan perkembangan secara menyeluruh, berbanding peningkatan pada gejala tertentu.

Rawatan yang optimum terdiri daripada:

  1. Terapi fizikal dan kelakuan
  2. Rawatan ubatan dan pembedahan
  3. Bantuan alatan fizikal
  4. Pengurusan keadaan perubatan yang berkaitan.
  5. Sokongan keluarga dan interaksi sosial

Masalah Kesihatan Berkaitan

Pesakit cerebral palsy turut terdedah kepada risiko masalah kesihatan lain yang perlu dipantau oleh penjaga. Keadaan cerebral palsy menyebabkan kemungkinan berlakunya perkara-perkara seperti:

  • Gangguan oral-motor yang menyebabkan masalah pertuturan dan pemakanan
  • Muntah
  • Hipoksemia (kekurangan oksigen)
  • Pneumonia (jangkitan paru-paru)
  • Asid refluks

Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran pesakit untuk makan dengan betul, lalu boleh menyebabkan kekurangan nutrisi dan pitam.

Imej via Bidadari

Kebajikan dan Pencegahan Kemalangan Pesakit Cerebral Palsy Dewasa

Terdapat peningkatan individu dewasa yang menghidapi cerebral palsy apabila bayi yang dilahirkan dengan kurang berat badan berjaya meneruskan hidup dan hayat populasi dewasa juga semakin bertambah.

Jika dibandingkan dengan populasi umum, pesakit cerebral palsy mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi disebabkan masalah jantung, penyakit cerebrovascular, dan masalah penghadaman. Risiko kanser payu dara dan otak yang lebih tinggi juga sering dilaporkan. Kemalangan atau kematian yang boleh dielak seperti lemas dan kemalangan jalan raya berlaku lebih kerap bagi golongan ini.

Langkah kebajikan untuk mengurangkan risiko kesihatan bagi pesakit cerebral palsy termasuklah:

  • Senaman bersesuaian keadaan fizikal pesakit.
  • Pemeriksaan payu dara dan pelvis secara rutin.
  • Pemantauan pergerakan dan kelakuan fizikal secara berkala.
  • Perkhidmatan pekerja sosial dan wasiat apabila penjaga sudah semakin tua.

Rujukan

  1. Krigger, K. W. (2006). Cerebral palsy: an overview. American family physician73(1), 91-100. (link)
  2. Rosenbaum, P., Paneth, N., Leviton, A., Goldstein, M., Bax, M., Damiano, D., … & Jacobsson, B. (2007). A report: the definition and classification of cerebral palsy April 2006. Dev Med Child Neurol Suppl109(suppl 109), 8-14. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.