mengapa tidak boleh solat sewaktu haid

Adakalanya sebagai wanita, (dan sebagai insan biasa yang sering terlupa untuk bersyukur), saya selalunya merasakan bahawa didatangi haid setiap bulan adalah sangat merimaskan.

Badan yang letih, tidak selesa, sakit belakang, senggugut, ditambah lagi dengan emosi yang tidak stabil menyebabkan minggu tersebut dijalani dengan tidak bersemangat. Dan perkara tersebut terpaksa dilalui setiap bulan!

Disaat saya sedang giat menghafaz Al-Quran, atau saya sedang cuba menghabiskan 30 Juz Al-Quran di bulan Ramadhan, didatangi haid dilihat sebagai mengganggu.

Saya pasti, mesti ramai yang terfikir sekali sekala, mengapa wanita Muslim tidak dibenarkan beribadat semasa didatangi haid? Bukan niat untuk mempersoalkan hukum Allah, tetapi saya yakin, pasti ada hikmah disebalik larangan tersebut.

Mengapa Wanita Muslim Tidak Dibenarkan Beribadah Sewaktu Didatangi Haid?

Benar, bukanlah 100% benar wanita Muslim tidak dibenarkan beribadah sewaktu didatangi haid. Mereka hanya tidak dibenarkan untuk mengerjakan solat, berpuasa dan membaca ayat suci al-Quran sepanjang tempoh tersebut.

Mereka masih boleh berzikir, berdoa dan bermunajat. Amalan tersebut masih boleh mendatangkan pahala dan masih mendekatkan diri kita pada Allah.

Namun saya akui, adakalanya saya tertanya-tanya sendiri, mengapa tak boleh solat? Adakah kami dikatakan kotor dan menjijikkan sewaktu didatangi haid? Mengapa? Mengapa?

Seringkali, suami saya menasihati, “jangan sekali-kali bersangka buruk dengan Allah”. Disebabkan itu, saya sudah berhenti bertanya. Namun baru-baru ini, saya terbaca suatu artikel yang menjawab segala persoalan saya selama ini.

Benarlah kata suami, jangan buruk sangka dengan Allah s.w.t. Pasti apa yang ditetapkan-Nya terselit beribu hikmah.

“Dialah yang menjadikan segala yang di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikannya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” (Al-Baqarah: 29)

Allah s.w.t merupakan pencipta kita semua, pencipta alam semesta ini. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

mengapa wanita tidak boleh solat sewaktu haid

Seorang wanita, semasa dalam tempoh haid, menjalani suatu perubahan tingkah laku, emosi, dan psikologi, disebabkan oleh pembebasan hormon estogene diwaktu itu.

Disebabkan perubahan ini, semestinya, wanita tersebut sedikit terganggu dari segi mental. Pernyataan ini diperkuatkan lagi dengan kajian statistik yang dilakukan terhadap wanita. Didapati bahawa, kebanyakan daripada jenayah yang dilakukan oleh wanita, berlaku semasa tempoh mereka didatangi haid.

Dalam Islam, adalah penting bagi seseorang melakukan ibadah dalam keadaan tenang dan khusyuk.

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk (Al- Baqarah: 238)

Di dalam Al-Quran, berulang kali Allah s.w.t menekankan solat dalam keadaan yang khusyuk. Jadi sekiranya wanita tidak berada dalam keadaan emosi yang stabil, bagaimana untuk khusyuk dalam beribadah? Sesungguhnya, Allah s.w.t Maha Mengetahui.

Wahai wanita, janganlah bersedih kerana tidak dapat mengerjakan solat dan membaca Al-Quran sewaktu didatangi haid. Ketahuilah, ia merupakan fasa yang normal.

Saya berikan analogi mudah. Seorang pesakit kencing manis dilarang oleh doktor untuk mengambil sebarang makanan manis sehinggalah kandungan gulanya berada ditahap yang rendah.

Untuk manusia normal, makanan manis tidak memudaratkan mereka. Tetapi untuk pesakit tersebut, makanan itu memudaratkan kesihatannya. Sekiranya beliau tidak mematuhi arahan doktor tersebut, adakah sakitnya akan menjadi lebih elok? Tentu tidak, bukan?

Begitu juga dengan kita, sebagai manusia. Sekiranya Allah s.w.t melarang kita melakukan sesuatu, pasti ada penyebab dan seribu hikmah disebaliknya. Allah s.w.t merupakan pencipta kita, semestinya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita, lebih baik dari walau dihimpunkan semua doktor di dunia ini.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216)

Islam bukan sekadar satu agama, Islam melengkapkan hidup kita.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya” (Al-Baqarah: 286)

Sekiranya wanita itu didatangi haid atau sedang hamil, dia tidak perlu menjalani ibadah puasa. Dia boleh berpuasa bila-bila masa nanti, iaitu sewaktu dia dalam keadaan lebih sihat. Begitu juga dengan ibadah solat. Dia tidak perlu menjalaninya, dan tidak perlu juga menggantikannya.

Lihat, Islam itu indah dan mudah, bukan? Benar, Allah s.w.t menjadikan manusia untuk menyembah-Nya, tetapi Allah s.w.t tidak memaksa hamba-Nya mengerjakannya diwaktu hamba-Nya tidak mampu.

Subhanallah..

Maha Suci Allah..

Allahuakbar..

Semoga bermanfaat. Wassalam :)

Kredit gambar: UNMMEDIA

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.