Bila kelembutan kasih-sayang dirasai oleh sesaorang anak, hatinya penuh dengan kasih-sayang. EQnya berkembang. Ini menyebabkan anak itu boleh merasai perasaan orang lain terutamannya ibu bapa mereka. Mereka menjadi lebih prihatin.
Maka bila tiba masa untuk memohon maaf, hati mereka memang sudah besar dan merah menyala untuk itu. Kasih-sayang yang mereka rasai terhadap ibu bapa mereka, akan menginsafkan mereka dan ini menyebabkan mereka menghulur tangan dengan penuh keikhlasan.
Itulah sebabnya, sebelum kita hendak mengajar anak memohon maaf dengan ikhlas, anak itu perlu merasai keikhlasan hati kita mendidik mereka.
Jangan banyak bersungut bila membuat kerja kerana anak dan untuk anak. Bila hendak memandikannya, lakukan dengan ceria walaupun anda sedang mengejar masa. Rasakan di dalam hati, ‘This is your precious’. Lalu suruh mandi atau mandikan dengan penuh rasa bersyukur.
Sekarang sudah menjelang hari raya, maka mulalah bercerita mengenai apa maksud hari raya itu. Apakah yang penting dilakukan semasa hari raya. Dua perkara yang sangat penting, mengukuhkan silaturrahim dan meraikan kemenangan mendidik hati semasa Ramadhan.
Kemudian terangkan bagaimana mengukuhkan silaturahim. Dengan memohon ampun maaf dan ziarah menziarahi
Kemudian terangkanlah bagaimana untuk memohon maaf dengan ikhlas, supaya betul-betul kosong-kosong.
Lakukanlah contoh supaya anak faham.
Jika sesuai, biar anak-anak melihat bagaimana anda suami-isteri bermaaf-maafan. Bila mereka melihat contoh yang baik, maka mudah untuk mereka melakukan yang betul.
Jangan kaitkan duit raya dengan memohon maaf dengan penuh keikhlasan. Bagilah duit raya itu pada masa yang lain. Mungkin malam sebelum raya atau pada masa lain yang sesuai.
Kerana kita tidak mahu anak-anak kecil terfaham bahawa bila minta maaf akan dapat duit. Kita tidak mahu anak-anak kita terfaham begitu. Memohon maaf biarlah seikhlas yang dia boleh lakukan.
Mengata anak tidak ikhlas meminta-maaf. Jika nampak anak acuh tak acuh meminta maaf. Ini petanda dia malu , rasa janggal dan dia belum berani lagi meluahkan hatinya.
Mungkin kerana tidak biasa, atau anda sendiri tidak mewujudkan rasa selamat untuk dia meminta maaf atau hanya kerana dia belum matang lagi untuk memahami semua ini. Maka bersabarlah mendidik dan membina rasa selamat di dalam dirinya itu.
Jika anak masih tersangat kecil, maka memadai untuk anak kecil itu mengikut-ngikut sahaja.
Bila anak sudah meminta maaf dan anda memberi maaf kepada anak, secara ikhlas mohonlah juga maaf dari anak. Anak itu juga manusia yang kita berinteraksi, ‘Hablumminannas’, maka elok juga untuk kita memohon maaf dengan baik darinya.
Contoh
” Mama maafkan kakak. Kakak anak yang baik. Kakak selalu tolong mama. Kadang-kadang kakak ada tersilap, degil cakap mama, lawan mama.
Mama maafkan semua itu sebab mama tahu anak mama baik dan mama tahu kakak tersilap dan boleh jadi lebih baik.
Mama juga mohon maaf dari kakak sebab ada kalanya mama termarah lebih dan tak usul periksa. Mama manusia dan juga bat silap.
Tapi mama sayang sangat kakak dan mama terus berusaha menjadi mama yang baik untuk anak-anak mama. Kita sama-sama maaf-memaafi ya….sayang anak mama ni.”
Bila anak hendak pergi dan bangun dari tempat itu, ucapkan terima kasih kerana dia meminta maaf dengan ikhlas dan baik. Ini akan memberi keyakinan kepada anak itu untuk berakhlak mulia seperti itu.
Ini adalah maklum balas yang diberi untuk anak berasa selamat untuk berbuat baik. Ketahuilah, ramai anak-anak confuse bagaimana untuk berkelakuan baik kerana bila mereka melakukan kebaikan, tidak ada maklum balas.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada ibu bapa yang lain
Wallahua’lam.