Semua orang tahu yang kita tidak boleh kembali ke masa lampau untuk mengubah perkara atau keputusan buruk yang telah kita buat, tetapi dengan mengamalkan meditasi ia boleh menjadikan diri kita lebih tenang daripada gangguan kenangan buruk dimasa silam. Setiap individu pastinya mempunyai kenangan buruk dimasa silam mereka tersendiri seperti putus cinta, hati dilukai orang lain, ditipu, dikhianati, kehilangan orang yang tersayang, terlepas peluang keemasan dalam hidup, tersalah membuat keputusan dan lain-lain.

trauma

Seseorang individu tidak seharusnya membiarkan kenangan silam terus menguasai diri dan hidupnya. Mereka tidak seharusnya membiarkan ia merunsingkan pemikiran mereka sepanjang masa. Meditasi mungkin dapat membantu anda yang mengalami masalah ini kerana meditasi ialah suatu aktiviti yang membolehkan anda menenangkan perasaan gundah gulana anda itu. Jika anda sudah mula mengambil inisiatif untuk melupakan kenangan silam anda, anda pastinya akan lebih bahagia pada ketika ini.

Anda mungkin bertanya bagaimana caranya untuk melupakan kenangan silam? Caranya ialah dengan mula menerima hakikat bahawa tiada manusia yang tidak ditimpa masalah atau tidak melakukan kesilapan didalam hidup mereka. Mulakan langkah ini ketika anda berseorangan disuatu tempat yang menenangkan dan tidak riuh rendah.

Cuba cari sesuatu yang positif mengenai kenangan silam anda itu dan cuba fikirkan bagaimana ia telah mengubah diri anda kepada yang lebih baik. Anda pastinya pernah merasakan bagaimana sakitnya perbuatan negatif seseorang terhadap anda atau sesuatu kejadian buruk yang menimpa anda. Ia akan menjadikan anda merasa tidak berguna dan seolah-olah anda lebih jijik daripada orang lain. Melakukan meditasi dan mendalami perasaan tersebut boleh menyedarkan anda yang orang lain juga sebenarnya ada mengalami nasib yang sama.

Langkah ini akan membuatkan anda dapat memahami perasaan mereka yang mengalami nasib yang sama seperti anda dan anda boleh menceritakan kisah anda kepada mereka dan bagaimana anda bangkit untuk meneruskan hidup. Sebenarnya kebanyakan kita hanya perlukan sedikit perhatian daripada seseorang malah dengan hanya bertanya khabar pun boleh menceriakan hari seseorang. Ucapkanlah sesuatu yang positif, kepada seseorang yang sedang mengalami masalah dan anda akan tahu betapa bermaknanya kata-kata anda itu kepada mereka.

Jangan hairan jika sepotong ayat pujian sahaja sudah mampu untuk membangkitkan semangat seseorang yang sedang dalam keresahan. Meditasi menjadikan anda mampu melihat dunia daripada konteks yang lebih indah dan positif, ia sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang.

Jika anda terpaksa menghadapi seseorang yang mempunyai perangai yang tidak elok atau tidak menyenangkan, jangan terikut-ikut dengan perlakuan orang tersebut. Sebaliknya, tunjukkan perilaku yang positif kerana ia mungkin akan berjangkit kepada orang tersebut untuk mengubah perilaku buruk mereka itu. Ia menjadikan mereka segan dengan diri mereka sendiri dan membuatkan mereka ingin mengubah sifat buruk mereka. Samalah juga dengan meditasi. Apabila anda menghadapi masalah, anda melakukan meditasi untuk tidak menjadikan masalah anda itu sesuatu yang terlalu membebankan. Jika anda terlalu mengikut perasaan seperti terlalu takut, terlalu cemas maka anda sebenarnya akan memburukkan lagi masalah anda yang sedia ada.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.