Ilmu tentang penjagaan si ibu sedang hamil bukan sahaja perlu diketahui oleh golongan wanita, tetapi sama-sama ditimba oleh golongan lelaki khususnya si suami.

Jom baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai makanan untuk ibu mengandung yang membantu otak bayi berkembang.

Pengenalan

Semasa tempoh mengandung pastinya anda akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada bayi dalam kandungan anda. Selain melakukan pemeriksaan bulanan di klinik dan mengambil vitamin pre natal sebagai nutrisi tambahan, aspek pemakanan tidak kurang pentingnya.

Bayi dalam kandungan memperoleh segala nutrisi dari pemakanan si ibu. Oleh itu, apa-apa jenis makanan yang diambil oleh si ibu, sudah semestinya akan mempengaruhi perkembangan si anak. 

Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan makanan untuk ibu mengandung yang terbaik untuk bayi yang comel, sihat dan bijak.

Makanan untuk Ibu Mengandung

Selain elakkan daripada makanan tinggi garam, makanan segera dan makanan yang diproses, diet pemakanan si ibu yang sedang hamil perlulah kaya dengan nutrisi bagi kelengkapan perkembangan bayi. 

Berikut ialah senarai makanan yang boleh dijadikan amalan berdasarkan kajian sains.

1. Buah-buahan

Imej via Bidadari

Makanan untuk ibu mengandung yang paling utama ialah buah-buahan. Buah-buahan sangat penting kerana ia membekalkan:

  • Vitamin
  • Mineral
  • Serat yang penting untuk mengelakkan anda daripada mengalami sembelit
  • Membantu mengatasi morning sickness

Antara buah-buahan yang baik untuk ibu mengandung ialah:

Kurma

Menurut kajian, kurma mengandungi mineral, vitamin, serat & antioksidan lengkap yang memenuhi keperluan tubuh badan setiap hari, terutamanya ibu mengandung.

Jika anda berasa lemah atau kurang sihat, kurma membantu anda sihat dan segar semula dengan kandungan gula ringkas yang membekalkan tenaga segera.

Kurma kaya dengan kandungan mineral yang sangat baik untuk kesihatan sistem saraf anda dan bayi dalam kandungan. apa yang menarik, kurma membantu pembentukan otak bayi yang sempurna. Selain itu, kurma juga membantu untuk menambah darah, menguatkan tulang, dan mengawal kenaikan berat badan anda semasa mengandung.

Buah tin

Buah tin boleh dimakan dalam keadaan segar atau kering. Kedua-duanya baik untuk kesihatan ibu mengandung dan bayi dalam kandungan. 

Buah tin menjadi makanan pilihan ibu mengandung kerana mengandungi vitamin, mineral, serat & antioksidan yang tinggi. Antara khasiat buah tin ialah menjaga sistem penghadaman dan membantu membuang toksin dari badan.

Serat yang terdapat dalam buah tin membantu usus menyerap makanan dengan lebih baik. Untuk anda, buah tin mengawal tekanan darah agar bacaan darah anda cantik setiap kali mendapatkan pemeriksaan rutin bulanan.

2. Madu asli

Imej via Bidadari

Makanan untuk ibu mengandung yang seterusnya ialah madu asli. Pastinya anda tahu bahawa madu ialah makanan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah dan juga makanan para ahli syurga.

Madu sangat baik untuk ibu mengandung. Menurut kajian, madu kaya dengan:

  • Enzim
  • Vitamin
  • Mineral
  • Pinocembrin iaitu bahan antioksidan yang membantu meningkatkan fungsi otak ibu mengandung dan bayi dalam kandungan
  • Sebatian aktif lain yang membantu untuk melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel & mencegah kanser

3. Minyak zaitun

Imej via Bidadari

Minyak zaitun ialah makanan sunnah yang kaya dengan polifenol iaitu sejenis antioksidan semulajadi yang baik untuk kesihatan.

Selain itu minyak zaitun juga kaya dengan asid lemak sihat seperti Omega 3 dan Omega 6. Antara khasiat minyak zaitun untuk ibu mengandung ialah:

  • Mengawal paras kolestrol dalam badan
  • Menjaga kesihatan jantung
  • Mengawal tekanan darah
  • Membantu kekal berseri dan awet muda
  • Meningkatkan sistem daya tahan badan
  • Mengurangkan kerosakan sel disebabkan oleh radikal bebas

Para saintis juga telah menemui bukti bahawa minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap tulang dan kesihatan penghadaman serta agen anti-kanser.

Tubuh badan yang sihat membantu otak menjadi cerdas secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. 

4. Kismis

Imej via Bidadari

Kismis merupakan anggur yang dikeringkan yang kaya dengan vitamin, riboflavin, folat, dan boron yang membantu meningkatkan fokus, koordinasi tangan & mata ibu mengandung. 

Berikut merupakan kebaikan kismis untuk ibu mengandung:

  • Sangat baik untuk meningkatkan memori. Lepas ni takdelah lagi anda jadi seorang yang pelupa semasa mengandung dan selepas bersalin.
  • Mengurangkan tekanan 
  • Melancarkan peredaran darah
  • Menambah darah merah
  • Menjaga kesihatan jantung
  • Meningkatkan kesihatan dan fungsi otak

5. Produk tenusu

Imej via Bidadari

Produk tenusu adalah sangat baik untuk ibu mengandung kerana membekalkan protein dan kalsium yang sangat diperlukan semasa mengandung.

Contoh produk tenusu yang boleh anda makan setiap hari ialah susu segar, keju, dan yogurt. Antara fungsi utama protein dan kalsium kepada ibu mengandung ialah:

  • Memastikan pertumbuhan bayi terutamanya tulang dan gigi berjalan dengan baik
  • Agar ibu mengandung tidak mengalami masalah kekurangan protein dan kalsium
  • Mengelakkan ibu mengalami osteoperosis
  • Mengelakkan gigi ibu mereput dan rambut gugur dengan banyak semasa mengandung

Penemuan menarik yang dikongsi oleh sekumpulan penyelidik Jepun pada tahun 2010 mengaitkan kesan positif pengambilan produk tenusu oleh ibu yang mengandung.

Kajian ke atas 763 pasangan ibu dan anak di Jepun itu mendapati bahawa ibu yang mengamalkan diet produk tenusu semasa hamil berjaya mengurangkan masalah kulit eczema bayi yang dilahirkan sebanyak 63%.

6. Sayuran hijau

Imej via Bidadari

Berdasarkan kajian lepas, sayuran hijau diakui kaya dengan vitamin dan zat besi. Semasa anda mengandung, terutamanya semasa trimester pertama di mana janin sedang membentuk, zat besi adalah antara nutrien yang sangat anda perlukan untuk membantu pembentukan hemoglobin dan darah.

Pengambilan sayur hijau seperti sawi, kailan, bak choi, kangkung, dan sebagainya akan membantu mengelakkan anda mengalami masalah anemia atau kekurangan darah semasa mengandung.

Sayuran hijau juga membantu anda mendapat khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan, terutamanya jika anda mengalami alahan yang teruk semasa mengandung.

Oleh itu, pastikan anda makan sayuran hijau setiap hari sepanjang tempoh kehamilan kerana khasiatnya yang sangat baik untuk anda dan bayi dalam kandungan.

7. Makanan Kaya Kandungan Folat

Folat atau asid folik merupakan antara kumpulan nutrisi dari vitamin B kompleks yang tidak boleh dihasilkan oleh badan manusia dan perlu diambil secara diet makanan.

Ibu yang hamil memerlukan dua kali ganda keperluan folat berbanding orang lain. Folat sangat diperlukan untuk proses selular, DNA dan sintesis asid amino untuk keperluan perkembangan bayi. 

Iyer & Tomar, penyelidik dari India pada tahun 2009 telah menekankan fungsi folat dalam diet ibu mengandung melalui penulisan artikel mereka yang diterbitkan di Journal of Food Science. 

Mereka turut mengulas kesan sampingan pengambilan folat yang dihasilkan secara sintesis kimia, sebagai contoh, arthritis, leukimia, kehamilan ektopik dan kanser usus.

Oleh sebab itu, mereka mencadangkan supaya hanya folat yang dicadangkan doktor bertauliah atau dari sumber semulajadi sahaja yang perlu diambil. Antara senarai makanan yang kaya folat sebagaimana yang dilaporkan mereka ialah:

  • kekacang (kacang tanah, kacang peas, kacang hijau)
  • bayam
  • brokoli
  • kobis bunga
  • buah-buahan sitrus
  • yogurt (kandungan folat dalam yogurt adalah lebih tinggi berbanding susu segar)

Imej via Bidadari

Kesimpulan

Ringkasnya, antara cadangan makanan untuk ibu mengandung yang membantu otak bayi berkembang ialah buah-buahan segar, madu asli, minyak zaitun, kismis, produk tenusu dan sayuran hijau.

Diet berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran juga membekalkan serat yang mencukupi untuk mengelakkan sembelit atau masalah pencernaan yang biasa dialami oleh ibu mengandung.

Tambah menguntungkan buat kita di Malaysia, bekalan makanan ini semua boleh diperolehi dengan mudah dan murah di sini.  

Itulah dia info tentang tips pemakanan untuk ibu mengandung yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, pastinya anda juga akan berminat untuk membaca perkongsian kami tentang hadith berkaitan ibu bapa dan cara menegur ibu bapa

Rujukan

  1. Iyer, R., & Tomar, S. K. (2009). Folate: a functional food constituent. Journal of food science74(9), R114-R122. (link)
  2. Khan, F. R., Abadin, Z. U., & Rauf, N. (2007). Honey: nutritional and medicinal value. International journal of clinical practice61(10), 1705-1707. (link)
  3. Miyake, Y., Sasaki, S., Tanaka, K., & Hirota, Y. (2010). Dairy food, calcium and vitamin D intake in pregnancy, and wheeze and eczema in infants. European Respiratory Journal35(6), 1228-1234. (link)
  4. Orjuela, M. A., Titievsky, L., Liu, X., Ramirez-Ortiz, M., Ponce-Castaneda, V., Lecona, E., … & Mueller, N. E. (2005). Fruit and vegetable intake during pregnancy and risk for development of sporadic retinoblastoma. Cancer Epidemiology and Prevention Biomarkers14(6), 1433-1440. (link)
  5. Tamizi, S. M. (2017). The Prophetic tradition and nutrition: issues of mixing raisins and dates. Online Journal of Research in Islamic Studies1(2), 77-88. (link)
  6. Visioli, F., & Galli, C. (2002). Biological properties of olive oil phytochemicals. Critical reviews in food science and nutrition42(3), 209-221. (link)

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.