Kisah pemuda Ashabul Kahfi telah termaktub dalam al-Quran dalam 1 surah iaitu Surah al-Kahfi. Al-Kahfi bermaksud gua dan nama surah ini diambil sempena kisah pemuda yang tertidur di dalam gua selama beratus-ratus tahun. Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Ashabul Kahfi.

Ia bukan sahaja kisah sekumpulan pemuda yang menyembunyikan diri daripada kezaliman pihak penguasa, tetapi ia adalah kisah yang sangat besar iktibarnya buat kita umat Islam.

Kisah Ashabul Kahfi

Ashabul Kahfi adalah kisah hidup tentang beberapa orang pemuda yang beriman kepada keesaan Allah swt pada zaman pemerintahan Raja Diqyanus (Decius) di Kota Ephesus (kini sebahagian dari Turki Moden), sekitar tahun 250 Masihi.

Raja Rom yang kufur ini memerintah negaranya secara kuku besi dan zalim. Barang siapa yang menentang, pastinya diseksa dan dihukum bunuh. Raja Diqyanus juga memaksa rakyatnya untuk turut segala kehendaknya termasuklah menyatakan taat setia mereka pada tuhan pagan Rom dengan melakukan pengorbanan kepada mereka.

Mereka yang menolak kepada arahan ini akan diseksa dan pastinya, hukuman mati menanti mereka. Rata-rata rakyat yang amat takutkan azab pemerintah zalim ini terpaksa menurut segala kemahuan sehinggakan mereka lupa kepada azab Allah swt yang lebih berat dan nyata.

ashabul kahfi

Imej via dedlee30

Namun begitu, Allah swt hadirkan beberapa orang pemuda yang berjiwa kental yang berani menegakkan panji-panji tauhid. Keimanan pemuda-pemuda ini dinyatakan oleh Allah swt dalam firmanNya;

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Maksudnya, “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi, Ayat 13)

Keyakinan pemuda-pemuda ini kepada agama tauhid akhirnya diketahui oleh Raja Diqyanus. Maka pemuda-pemuda ini dipanggil untuk menghadap raja. Dihadapan raja zalim ini, 7 pemuda tersebut dengan berani dan petah berhujah mempertahankan iman dan prinsip mereka. Allah swt berfirman;

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًاۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا. هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا

Maksudnya, “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan dan menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain Dia,

sesungguhnya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?)

Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah swt? (Surah al-Kahfi, Ayat 14-15)

pemuda kahfi

Imej via endangsriwahyunie

Biarpun Raja Diqyanus dan pengikutnya gagal mematahkan hujah-hujah bernas tentang keesaan serta kekuasaan Allah swt seperti yang diperkatakan oleh pemuda-pemuda itu, namun raja tetap berkeras hati dan berpaling daripada mengimani kata-kata pemuda-pemuda tersebut.

Raja Diqyanus menggunakan kekuasaannya dan memaksa pemuda-pemuda tersebut untuk meninggalkan agama dan keimanan mereka kepada Allah swt. Jika dalam tempoh yang diberi, pemuda-pemuda ini masih tidak meninggalkan agama tauhid, mereka akan dimurtadkan secara paksa atau dijatuhi hukuman mati.

Ramai mufassirin (ahli tafsir) generasi salaf dan khalaf (generasi awal Islam dan generasi yang terkemudiannya) yang menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada anak-anak raja Rom dan orang-orang terhormat di Rom. Mereka semua bersatu atas dasar iman. Mereka tidak takut dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk saling bantu-membantu dan mempertahankan keimanan mereka.

Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri untuk mencari satu keputusan muktamad. Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan pendalaman.

pemuda

Imej via iluminasi

Berangkatlah mereka bertujuh bersama seekor anjing ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan mereka bersembunyi di dalam gua tersebut. Allah swt berfirman;

وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا

Maksudnya, “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah swt, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna.” (Surah al-Kahfi, Ayat 16)

Sebelum mereka memasuki gua tersebut, mereka telah berdoa kepada Allah swt seperti yang termaktub dalam Ayat 10, Surah al-Kahfi;

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya, “(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).”

 

kahfi

Imej via razfira450

Raja telah memerintahkan agar mencari pemuda-pemuda ini. Bukan sekadar tentera yang memburu pemuda-pemuda ini, malah rakyat jelata yang berpegang teguh pada agama Pagan Rom juga turut memburu mereka. Keseluruh pelusuk tempat mereka cari, tetapi tidak menjumpai pemuda-pemuda tersebut.

Sehinggalah, sekumpulan pegawai kerajaan menjumpai gua tempat mereka bersembunyi. Tetapi, mereka merasa gerun dan tidak berani untuk memasuki gua tersebut.

Para pegawai itu melaporkan kepada raja bahawa mereka telah menyusuri semua tempat di negeri tersebut dan telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya para pemuda tersebut berada di dalam, maka mereka tidak akan boleh keluar dan akan mati kelaparan.

Namun begitu, sangkaan mereka meleset dan tidak benar sama sekali. Pemuda-pemuda itu bukan sahaja tidak mati kelaparan di dalam gua, malah, dengan kuasa Allah swt, mereka mendapat keselesaan serta keselamatan di dalam gua itu. Allah swt telah menidurkan mereka berates-ratus tahun lamanya di dalam gua itu. Allah saw berfirman;

فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا

Maksudnya, “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah al-Kahfi, Ayat 11).

Para pemuda ini ditakdirkan Allah, tidur selama 309 tahun lamanya di dalam gua tersebut. Seperti mana firman Allah swt,

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا

Maksudnya, “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah al-Kahfi, Ayat 25)

kisah

Imej via nu

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah swt, badan dan jasad mereka tidak hancur atau rosak. Inilah salah satu tanda-tanda kekuasaan Allah swt.

Jika difikirkan mengikut logik akal manusia semata-mata, memang kita tidak akan dapat terbayang, bagaimana manusia boleh tidur selama 309 tahun tanpa makan, tanpa minum, malah sedikitpun jasadnya tidak mereput.

Malah, dengan kuasa Allah swt juga, kedudukan gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda ini berada di sebelah utara secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu. Firman Allah swt;

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا

Maksudnya, “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah.

Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah al-Kahfi, Ayat 17)

pemuda gua

Imej via islamkafah

Peristiwa Ashabul Kahfi menunjukkan kepada kita bahawa kekuasaan Allah swt sangat benar, haq, dan tidak dapat diragukan. Beberapa perkara yang berlaku kepada pemuda-pemuda ini telah dibuktikan selari dengan ilmu sains. Firman Allah swt;

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya, “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah),

sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.” (Surah al-Kahfi, Ayat 18)

Dalam ayat di atas, Allah swt berfirman bahawa kuasa Allah swt telah membalik-balik tubuh pemuda-pemuda it uke kanan dan ke kirisupaya tubuh mereka tidak di makan tanah.

Dalam ilmu perubatan juga, para doktor akan menasihatkan pesakit mereka yang terlantar atau uzur (bed ridden) agar sentiasa menggerakkan serta mengalihkan tubuh agar tidak tetap dalam 1 posisi sahaja untuk tempoh masa yang lama. Ini kerana, jika kita hanya baring tanpa mengalih-alihkan posisi tubuh untuk tempoh masa yang lama, akan timbul komplikasi antaranya kudis tekanan. (Lihat artikel ‘Penjagaan Pesakit Bed Ridden’ di link ini https://web.facebook.com/chaku/posts/10156749840683351)

baring

Imej via Facebook

Dalam tempoh masa tersebut, zaman pemerintahan di Rum pun telah bertukar. Zaman kerajaan yang mengamalkan sistem kuku besi dan zalim itu telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.

Raja dan pemerintah negeri pada waktu ini pula merupakan orang yang beriman kepada Allah swt, begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya. Selain itu, laluan pintu gua mereka yang ditutup oleh pegawai kerajaan pada zaman Raja Diqyanus (Decius), telahpun terbuka.  Terdapat seorang pemilik tanah yang mengambil keputusan untuk membuka kembali laluan yang telah ditutup selama beratus tahun ini.

Setelah 309 tahun mereka tidur, akhirnya mereka bangun dari tidur kerana perut mereka terasa lapar. Mereka tertanya-tanya sudah berapa lama mereka tidur. Ada yang menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari sahaja, ada pula yang meneka mereka tidur selama separuh hari. Firman Allah swt;

قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ

Maksudnya, “Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari... (Surah al-Kahfi, Ayat 19)

Kerana kelaparan, maka mereka memilih seorang daripada mereka sebagai wakil untuk keluar ke kota mencari makanan. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dahulu, mereka membawa bersama bekalan wang perak. Firman Allah swt;

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا. إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

Maksudnya, “Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu,

dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah al-Kahfi, Ayat 19-20)

Dari firman Allah swt ini dapat kita bahawa betapa pemuda-pemuda ini sangat memelihara keimanan mereka. Sekalipun dalam keadaan tertekan kerana diburu oleh raja yang zalim (peristiwa yang menyebabkan mereka bersembunyi di dalam gua), namun mereka masih berusaha untuk mencari makanan yang halalal toyyiba. Ini salah satu tanda yang menunjukkan bahawa pemuda-pemuda sangat tinggi ketaqwaan mereka kepada Allah swt.

dalam gua

Imej via arniesamsudin

Walaupun dalam firman Allah swt itu menyatakan bahawa para pemuda tadi amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak diketahui orang lain kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih lagi raja kafir yang dahulu, namun Allah swt telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukkan keagungan, kekuasaan dan kehebatanNya. Firman Allah swt;

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ

Maksudnya, “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah swt menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya. (Surah al-Kahfi, Ayat 21)

Setibanya pemuda itu di pasar, dia ingin membeli roti. Namun apabila dia ingin membayar dengan wang perak yang dimilikinya, peniaga itu pelik kerana wang perak yang diberikan pemuda itu bukan duit yang mereka gunakan pada masa itu. Wang perak pemuda itu adalah wang pada zaman pemerintahan Raja Diqyanus (Decius). Namun kini adalah zaman pemerintahan Raja Theodosius II.

wang perak

Imej via laboblo

Perkara ini menimbulkan syak wasangka kepada peniaga tersebut. Ini kerana, dia tidak pernah melihat wang seperti itu. Hal ini menyebabkan identiti pemuda itu terdedah. Lalu diceritakan kepada pemuda itu bahawa raja kufar yang zalim itu telah lama mati dan raja yang baharu ini merupakan seorang raja yang alim dan warak.

Pemuda itu telah dibawa pergi menghadap raja yang baharu. Baginda sangat terkejut kerana tidak menyangka cerita lagenda yang diwarisi turun-temurun itu benar-benar berlaku dan akhirnya Baginda dapat menemui salah seorang daripada kumpulan pemuda tersebut. Pemuda itu membawa pemuda-pemuda yang lain yang masih di dalam gua untuk bertemu dengan raja di istana. Kisah Ashabul Kahfi ini berakhir tidak lama selepas itu, apabila mereka semua meninggal dunia.

Peristiwa Ashabul Kahfi telah menjadi asas yang amat kuat bagi rakyat Rum pada waktu itu untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah swt, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka semakin percaya bahawa janji Allah swt itu benar belaka serta Hari Akhirat itu juga benar semuanya.

gua

Imej via alfaviral5044

Sepeninggalan para pemuda itu, orang ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu. Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama sentiasa mengingati, menyembah dan membesarkan Allah swt. Hal ini diceritakan Allah swt dengan firmanNya;

فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًاۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا

Maksudnya, “Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah swt jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah al-Kahfi, Ayat 21)

Kesimpulan

Kisah Ashabul Kahfi adalah suatu kisah benar yang diceritakan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui firmanNya dalam ayat 13, surah al-Kahfi. Kisah Ashabul Kahfi ini banyak versi. Malah, penganut Kristian juga mempercayai kisah pemuda gua ini.

Oleh sebab itu, terdapat beberapa fakta yang berbeza mengikut versi-versi cerita yang boleh kita baca. Namun sebagai Muslim, cukuplah sekadar kita mengetahui kisah Ashabul Kahfi ini seperti yang termaktub dalam al-Quran dan juga kitab-kitab ahli tafsir yang mentafsirkan ayat-ayat dalam surah al-Kahfi.

Ashabul

Imej via mediamaklumat

Sebagai contoh, ada yang mengatakan bahawa pemuda-pemuda kahfi ini seramai 7 orang dan ditemani oleh seekor anjing, Namun, Allah swt menyebutkan persangkaan orang-orang ahli kitab tentang jumlah mereka. Hal ini sebagaimana dalam firmanNya;

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدً

Maksudnya, “Nanti (ada orang yang akan) mengatakan (jumlah mereka) adalah tiga orang yang keempat adalah anjingnya, dan (yang lain) mengatakan, “(Jumlah mereka) adalah lima orang yang keenam adalah anjingnya,” sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan, 

“(Jumlah mereka) tujuh orang, yang kelapan adalah anjingnya.” Katakanlah, “Rabbku lebih mengetahui jumlah mereka; tidak ada orang yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit.

” Kerana itu janganlah kamu (Muhammad) berdebat tentang hal mereka, kecuali perdebatan yang lahir sahaja dan jangan kamu menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada seorang pun di antara mereka.” (Surah al-Kahfi, Ayat 22)

Begitu juga dengan tempoh yang tepat berapa lama Ashabul Kahfi tidur di dalam gua. Walaupun dalam ayat 25, Surah al-Kahfi telah menyebut bahawa mereka tinggal di gua selama 300 tahun, ditambah 9 tahun lagi, namun ada yang berpendapat bahawa ia merujuk kepada 300 tahun solar (matahari) yang bersamaan dengan 309 tahun lunar (bulan). Allah swt juga berfirman,

قُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا ۖ لَهُ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَدًا

Maksudnya, Katakanlah: “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya;

tak ada seorang pelindungpun bagi mereka selain dari pada-Nya; dan Dia tidak mengambil seorangpun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan”. (Surah al-Kahfi, Ayat 26)

Oleh itu, selain daripada fakta berkenaan dengan jumlah pemuda dan berapa tahun mereka tinggal di dalam gua, sebenarnya ada ‘fakta’ yang lebih besar, agung dan hebat yang kita semua perlu tahu dan ambil pengajaran daripada kisah Ashabul Kahfi ini. Fakta itu adalah berkenaan bukti kekuasaan serta kehebatan Allah swt, Tuhan sekelian alam, Yang Maha Menghidupkan dan juga Maha Mematikan.

Ketahui juga pengajaran kisah Ashabul Kahfi melalui link. Jemput juga membaca kisah Uwais al-Qarni dan Imam Al-Ghazali.

Rujukan:

  1. Scribd
  2. BTN
  3. Wikipedia
  4. Iluminasi
  5. Al-Manhaj
  6. The Patriot
  7. Abu Namira 
  8. Shafiqolbu

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.