Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika mahukan anak-anak kita rajin membantu di rumah, kita juga harus menggalakkan mereka membantu sejak mereka masih kecil lagi.

Terimbau zaman kanak-kanak saya. Saya membesar bersama dua orang abang dan jarak umur antara kami tersangatlah dekat. Tidak keterlaluan saya mengatakan, kami membesar bersama-sama.

Sejak kecil lagi, ibu saya akan memberikan kami masing-masing tanggungjawab yang berbeza – setiap hari! Setiap hari, jadual kami akan ditampal diatas sekeping kertas dan dilekatkan pada peti sejuk. Tugas tersebut mesti akan dilaksanakan sebelum ibu saya pulang kerja di petang hari.

Abang: Sidai kain

Angah: Basuh cawan

Adik: Siram pokok bunga

Biasalah, kanak-kanak. Pasti akan bermalas-malas dan lambat-lambat membuatnya. Tetapi menjelang petang, masing-masing kelam kabut menyiapkan tugasan diberi. Lucu.

Kedengaran seperti mendera, tetapi saya yakin, tindakan ibu saya membentuk kami menjadi orang yang lebih bertanggungjawab pada hari ini. Ramai ibu bapa malas untuk menyuruh anak mereka melakukan tugasan kerana merasakan akan lebih berkecah dan anda terpaksa melakukannya semula.

Selain daripada itu, anak-anak akan mengambil masa yang lebih lama berbanding sekiranya anda sendiri membuatnya. Jadi, ibu bapa memilih untuk memudahkan situasi tersebut.

JANGAN.

Berikan anak anda peluang dan banyakkan bersabar. Tunjukkannya cara yang betul untuk melakukannya. Semua orang pun tidak akan terus pandai melakukan sesuatu. Untuk menjadi pakar matematik sekalipun, dia pasti terpaksa melalui pengalaman pergi ke tadika belajar mengira 1+1=2, bukan?

Jadi, biarkan anak anda belajar melaksanakan tanggungjawabnya. InshaAllah ia akan membentuk peribadinya dewasa kelak. Sekalipun rumah anda mempunyai pembantu rumah, latih anak anda untuk rajin membantu di rumah. Jangan sesekali membiarkannya.

Kerja-kerja rumah harus bertukar mengikut umur dan kematangan anak anda. Sebagai ibu, anda pasti tahu apa yang anak anda mampu lakukan dengan apa yang dia tidak mampu lakukan.

basuh keretadonyaluana.com

Semasa saya dalam darjah 1, saya masih tidak pandai lagi membasuh kasut sekolah sendiri. Siapa ingat lagi kasut sekolah anda semasa darjah satu angkat tangan! Kebanyakannya mestilah warna putih, dan terpaksa dikapur selepas dibasuh.

Jadi, salah satu kerja rumah yang ditugaskan kepada abang saya adalah membasuh kasut saya bersama-sama kasutnya. Jadi, saya diberi tugas lain yang lebih mudah seperti membantunya menyusun buku sekolahnya sehingga ibu saya yakin saya pandai membasuh kasut sendiri.

Paling penting, jangan mengalah sekiranya mereka merengek atau merungut. Lebih mudah sekiranya anda mula memberikan mereka kerja-kerja rumah sejak awal lagi supaya mereka lebih mudah untuk membantu apabila besar.

Di sini terdapat senarai cadangan kerja-kerja rumah mengikut kumpulan usia. Perlu sentiasa ingat, anda tahu kemampuan anak anda. Berikan mereka kerja rumah sesuai dengan kemampuan mereka.

#1. Usia 2-3 tahun

  • Mengutip atau mengemas kembali permainan
  • Bawa pinggan dan cawan ke dalam sinki selepas makan
  • Susun kembali bantal di atas katil
  • Masukkan baju kotor di dalam bakul kain kotor
  • Lap kembali tumpahan makanan selepas makan
  • Menyusun kasut dan selipar

 

#2. Usia 4-5 tahun

Kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh anak-anak berusia 2-3 tahun

  • Perbetulkan alas cadar katil
  • Menolong memasukkan baju untuk dibasuh ke dalam mesin basuh
  • Asingkan barang kitar semula
  • Menyimpan pinggan yang kering di dalam almari
  • Menyapu serba sedikit
  • Memberi haiwan peliharaan makan
  • Menyiram pokok bunga

 

#3. Usia 6-8 tahun

Kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh anak-anak berusia 2-3 tahun dan 4-5 tahun

  • Siapkan meja makan untuk makan malam
  • Membasuh pinggan di dalam sinki
  • Melipat kain
  • Mengangkat kain di jemuran
  • Vacuum
  • Menyapu sampah
  • Mengambil surat di peti surat
  • Membantu menyusun barang dapur di baik pulang dari pasar raya
  • Membantu membasuh kereta
  • Membantu membuat kuih raya

 

#4. Usia 9-11 tahun

Semua kerja-kerja rumah yang boleh dilakukan dibawah usia 9 tahun

  • Membantu ibu memasak di dapur
  • Membasuh tandas
  • Mengelap sinki dan cermin di bilik air
  • Membersihkan sangkar haiwan peliharaan
  • Menukar cadar katil

 

#5. Usia 12-14 tahun

Semua kerja-kerja rumah yang boleh dilakukan dibawah usia 12 tahun

  • Membasuh kain
  • Mengemop lantai
  • Berkebun

 

Persoalannya, bagaimana untuk memberi galakan pada anak anda untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan. Semuanya bergantung pada anda! Elaun, sticker pencapaian, ganjaran berbentuk membawa ke tempat yang disukai atau apa sahaja. Bergantung pada kekreatifan anda dan apa yang terbaik serta sesuai dengan anak-anak anda.

Walau apa pun, dengan menggalakkan anak anda membantu di rumah, anda boleh membuatkan mereka rasa dihargai dan sangat penting dalam keluarga.

Selain itu, peribadi yang baik boleh dipupuk dalam anak anda terutamanya anak lelaki. Jadi, kita bolehlah terkeluar dari stigma masyarakat melayu lama iaitu “hanya perempuan sahaja yang perlu membuat kerja rumah”.

Dewasa kini, hampir semua wanita sama-sama keluar bekerja mencari rezeki bersama suami. Jadi, stigma lama tersebut sudah tidak sesuai lagi diamalkan masa kini. Semua lelaki mahupun wanita harus bersama-sama membantu menguruskan keluarga dan rumah sebagaimana sunnah Rasulullah s.a.w kita.

Go mama!

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.