Nak tahu kenapa perempuan membebel kepada lelaki?

“Penat kemas rumah tak habis lagi, budak-budak ni dah buat sepah lagi. Abang pun satu, kalau nampak anak-anak tu sepahkan rumah, cuba tegur. Saya tengah masak kat dapur. Haaiii, ingat kita robot ke apa. Macam ni kena upah bibik, bolehlah saya berehat sedikit…bla bla bla….”

Situasi macam ni bukanlah sesuatu yang ganjil dalam sesebuah keluarga. Di sebalik sifat semula jadi yang penuh dengan kasih sayang dan kelembutan, jangan dijolok sarang tebuan. Itulah bahananya kalau perempuan dah mula membebel.

Walau pun kebanyakan lelaki tak suka, kalau ibu, adik-beradik perempuan atau isteri membebel, namun ada sebabnya bebelan tu. Cuba tahankan hati untuk dengar butir-butir bebelan tu. Ada maklumat-maklumat penting di sebalik cakap tak henti tu.

Dalam artikel ni, penulis akan berkongsi 15 sebab perempuan suka bebel. Mungkin lelaki tak suka dengar bebelan yang membingitkan telinga. Ada sebabnya wanita suka membebel. Mungkin ada perkara yang boleh dibetulkan untuk kebaikan bersama.

Jangan pula ingat penulis menyokong wanita yang suka membebel. Itu memang fitrah semula jadi kebanyakan wanita yang tanpa sedar menjadi bertih jagung. Artikel ni hanya bertujuan mengorek beberapa rahsia di sebalik kenapa perempuan membebel panjang tu.

Mana tahu lelaki ada terlepas pandang beberapa perkara penting. Ah, jom baca kenapa perempuan membebel sama-sama!

#1 Letak Barang Merata-Rata

Mana-mana wanita pun akan jadi gunung berapi yang meletus kalau barang yang dicari hilang dari tempatnya. Boleh buat gaduh tu. Sebagai pengurus rumah tangga, tentunya mereka lebih arif tentang susun atur barang-barang di rumah.

Namun, kadang-kadang suami atau anak-anak tak ambil endah sangat perkara sebegini. Lepas ambil barang yang diingini, mulalah letak merata-rata. Contohnya selepas mandi, tuala yang sepatutnya disangkut pada penyidai, dicampak pula di atas katil.

#2 Tak Menepati Masa

Bayangkan dah janji nak keluar makan pukul 6.00 petang, batang hidung tak nampak sampailah pukul 7.00 lebih. Memang tahanlah telinga kena bebelan dari rumah sehingga ke dalam kereta. Kalau nasib tak baik, lepas makan sambung lagi membebel di rumah.

Mana taknya, berbanding lelaki, perempuan tentunya lebih lambat bersiap. Dengan nak cari bajunya. Kena pula padankan dengan tudung yang sesuai. Belum lagi bersolek dan pakai tudung. Semua ni ambil masa yang lama. Kalau dah siap tapi tak sampai-sampai juga memang cari masalah.

#3 Lupa Tarikh-Tarikh Penting

Wanita memang dilahirkan dengan sifat yang kompleks dan mempunyai sentimen yang tinggi atas perkara-perkara tertentu. Itulah sebabnya mereka tak pernah lupa tarikh-tarikh penting seperti ulang tahun kelahiran, perkahwinan dan sebagainya.

Berbeza dengan lelaki, bagi mereka tu semua perkara remeh. Kalau tiba-tiba kekasih hati atau isteri tarik muka, cuba ingat betul-betul sebelum kena bebel.

#4 Brek Mengejut

Biasanya lelaki yang akan memandu kereta dan si isteri lebih selesa menjadi penumpang di sebelah. Yang jadi masalahnya, ketika leka membelek telefon bimbit, suami menekan brek secara tiba-tiba.

Jawabnya tak hentilah mulut si isteri membebel kerana fikirkan keselamatan mereka. Yang lebih teruk, kalau semasa tekan brek si isteri sedang pakai gincu. Hmmmmm….

#5 Asyik Main Game

Ada lelaki yang mempunyai hobi bermain game. Jika ada waktu terluang memang fokusnya hanya pada game. Jika keterlaluan, si isteri boleh hilang sabar dibuatnya. Mana taknya, masa habis begitu saja. Bil elektrik juga melambung naik.

#6 Suami Lebihkan Kawan Berbanding Isteri

Berbanding wanita, kaum lelaki masih bebas berjumpa dengan kawan-kawan tak kira masa. Wanita pula sibuk di tempat kerja dan di rumah. Mereka perlu masak dan uruskan anak-anak. Bila suami sering tiada di rumah, pastinya mereka akan berasa bosan.

Jika dah tak mampu nak simpan lagi, mereka akan mula membebel untuk meluahkan perasaan marah dan geram. Jangan pula masa tu marahkan isteri sebab tak memahami.

#7 Salah Beli Barang

Walaupun kelakar, kena bebel tu pasti berlaku. Lain yang suruh dibeli, lain pula yang dibawa pulang. Minta daun sup, dibelikan daun ketumbar. Malah, ada yang tak tahu jenis-jenis ikan yang isteri minta. Nak masak ikan siakap 3 rasa, terpaksa masak ikan tongkol pula.

#8 Suami Biawak Hidup

Mencari nafkah tentunya tanggungjawab kaum lelaki. Namun, ada juga kes suami yang malas bekerja dan isteri pula sibuk cari rezeki. Jika sihat tubuh badan dan mental, tiada alasan untuk tak bekerja.

Suami yang ambil kesempatan macam ni memang perlu dielakkan sama sekali. Isteri mana yang sanggup tahan. Tak cukup penat cari duit, perlu pula uruskan makan minum suami dan anak-anak. Jika dah tak larat lagi, memang kena bebel 24 jam.

#9 Dah 10 Tahun Tak Tukar Perabot

Belek-belek katalog Ikea, terdetik dalam hati nak tukar perabot untuk raya tahun ni. Dah bagi macam-macam hint pada suami. Hujung-hujung janji tinggal janji. Bila pergi beraya rumah saudara-mara atau kenalan, hati berapi-api tengok perabot baru.

Balik rumah, tadahlah telinga kena bebel dengan isteri sebab perabot tak pernah tukar dari dulu. Yang penting kalau masih elok dan boleh digunakan, jangan bazir beli baru jika ada komitmen lain.

#10 Berat Mulut Puji Masakan Isteri

Pastinya sedih kalau penat-penat bersilat di dapur menyediakan makanan kegemaran, suami hanya makan tanpa cakap apa-apa. Kalau beli lauk di gerai Cik Siti, puji bukan main lagi. Memang bernanahlah telinga kena bebel kalau masakan isteri sendiri liat nak puji.

#11 Jika Sakit Malas Nak Pergi Klinik

Ada orang yang tak suka ke klinik atau hospital kalau sakit. Mereka lebih suka berehat di rumah atau makan ubat tahan sakit. Sebagai isteri yang mengambil berat akan kesihatan suami, tentunya mereka akan paksa suami untuk dapatkan rawatan.

#12 Tiap Tahun Beraya Rumah Mertua

Setiap kali raya, kes yang paling banyak diperkatakan adalah tentang pergaduhan suami isteri tentang destinasi balik kampung. Kalau setiap kali raya puasa atau raya haji asyik nak balik ke rumah mak bapa suami, isteri mana boleh tahan.

Sepatutnya hari yang mulia disambut dengan kemeriahan dan kesyukuran berakhir dengan pergaduhan dan leteran tanpa henti. Bertolak-ansur lebih baik dan buatlah sistem giliran balik kampung.

#13 Kereta Rosak di Tengah-Tengah Jalan

Baru nak mood gembira dapat berjalan-jalan dengan keluarga tercinta, tiba-tiba kereta boleh buat hal. Yang lebih haru, kereta rosak di tengah-tengah jalan yang kiri kanannya hanya hutan tebal saja.

Bukan tak memahami keadaan suami, namun disebabkan risau keselamatan diri dan anak-anak, biasanya wanita akan terbebel tanpa sengaja. Suami yang sedang kalut bertambah stres jadinya.

#14 Habiskan Duit Pada Hobi Kegemaran

Bila dah bergaji, mulalah si suami beli barangan aksesori kereta. Yang minat alat permainan seperti kereta kawalan jauh sanggup cari yang lebih terkini. Kebanyakan hobi yang disukai lelaki memerlukan kos yang tinggi.

Ada isteri yang tak suka suami yang obses dengan hobi sebegini. Jika beli sesekali, masih boleh diterima. Ni kalau sampai setiap bulan, memang saja buat isteri marah.

#15 Tanpa Bebelan, Tak Adalah Hiburan

Jangan salah faham, bebelan seorang wanita bukan semuanya kerana rasa marah, geram atau sakit hati. Kadang-kadang mereka membebel untuk bergurau dengan suami dan anak-anak.

Seronok bila tengok respon suami yang kena bebel untuk hal-hal kecil. Anggaplah ia hiburan dalam keluarga. Bosan jadinya rumah yang sunyi tanpa gurauan dan tawa.

Macam mana kaum lelaki? Setuju tak dengan senarai 15 sebab kenapa perempuan membebel? Bagi kaum wanita jangan jadikan tabiat suka membebel sebagai suatu cara untuk menunjukkan kemarahan atau tak puas hati.

Cara yang paling baik ialah berbincang dan berterus-terang. Ini kerana kadangkala kita tak menyampaikan sesuatu secara telus, bebelan sekadar untuk menyindir dan sampaikan secara tersirat. Bebelan akan membuat lelaki menjadi semakin ego dan sakit hati.

Jemput juga baca tanda suami tak sayang dan urutan untuk suami

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.