Keistimewaan Hari Jumaat yang mesti Umat Islam . Mari ketahui istimewanya hari Jumaat ini.

Perkataan Jumaat atau hari Jumaat berasal dari perkataan ‘jumu’ah’ dalam bahasa Arab, bermaksud ‘berkumpul’. Makna berkumpul ini sesuai dengan ibadah yang dilakukan oleh kaum muslimin apabila mereka bersama-sama menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. Malah, mereka juga berdoa dan mendengar khutbah yang memberikan nasihat dan ingatan dalam menjalani hidup muslim.

Bukan sahaja keistimewaan solat Jumaat yang menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari, terdapat pelbagai lagi keistimewaan hari Jumaat ini yang perlu diketahui. Berikut merupakan kelebihan hari Jumaat dalam hidup umat Islam.

Hari Nabi Adam Diciptakan

Abu Hurairah RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam as diciptakan, pada hari ini (Adam AS) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.”  

(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, jelas peristiwa penting berkaitan penciptaan Nabi Adam AS,  hari baginda dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga serta hari yang berlakunya kiamat.

Hari Kebesaran Mingguan

Hari Jumaat merupakan hari kebesaran mingguan umat Islam seperti dalam hadis berikut:

Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hari Bagi Kaum Muslimin

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”

(al-Jumaah: 9)

Pada hari Jumaat, kaum muslimin akan bersolat Jumaat secara berjemaah dan mendengar khutbah. Setelah melalui lima hari yang penuh kesibukan mencari rezeki, solat Jumaat ini kembali mengeratkan silaturahim sesama Islam.

Penghulu Segala Hari

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir  RA berkata, Rasululullah SAW bersabda:

“Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Hari Jumaat menjadi istimewa kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang lebih berbanding hari lain. Oleh itu, seseorang digalakkan untuk meningkatkan amalan pada hari ini bagi meraih pahala yang berganda.

Hari Malaikat Turun ke Bumi

Bukti keistimewaan hari Jumaat ini, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke bumi dengan membawa tinta kalam emas dan kertas daripada perak. Malaikat menunggu di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang hadir menunaikan solat Jumaat.

Sebaik selesai solat Jumaat, mereka kembali ke arasy dan mempersembahkan catatan  kepada Allah SWT dan berkata;

“Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan solat Jumaat.”

Allah berfirman lagi:

“Wahai MalaikatKu, demi kemuliaan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka dan mereka tidak berdosa sedikit pun.”

Hari Mustajab Doa

Pada hari Jumaat yang mulia, terdapat dua waktu yang mustajab untuk berdoa iaitu:

  • Sewaktu imam duduk di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat.
  • Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan:

“Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.”

Hari Dihapuskan Dosa

Selain doa-doa yang dimakbulkan, hari Jumaat juga hari diampunkan dosa-dosa antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Rasulullah SAW bersabda:

“Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda lagi;

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntutan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Hari Lebih Utama Bersedekah

(Image via Pexel)

Sedekah pada hari Jumaat juga lebih utama dibandingkan amalan sedekah pada hari-hari lainnya. Jadi pada setiap Jumaat perbanyakkanlah sedekah kerana pahala yang berkali ganda.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi berkata:

“Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadan dibanding bulan-bulan lainnya.”

Hari Meraih Pahala Berganda

Setiap langkah seseorang  yang menghadiri solat Jumaat akan mendapat pahala setara dengan pahala ibadah setahun solat dan puasa.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)

Hari Mendapat Hidayah Dari Allah SWT

Hari Jumaat juga merupakan hari istimewa yang Allah SWT berikan kepada umat Islam, yang tidak diberikan kepada umat lain sebelumnya. Allah menjadikan hari Jumaat sebagai hari untuk Dia diberikan keberkatan dan kebaikan. Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW:

“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi kitab sebelum kita sedangkan kita diberi kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini, Nabi SAW menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’

Sesiapa yang meninggal pada siang atau malam hari Jumaat, adalah petanda husnul khatimah iaitu dibebaskan daripada azab kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Hari Berlakunya Kiamat

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda;

“Pada hari Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dengan itu kita wajib percaya bahawa kiamat hanya akan berlaku pada hari Jumaat, bukannya hari lain.

Penutup:  Jumaat yang penuh dengan barakah seharusnya disambut sebaik mungkin dengan amalan soleh.

Dalam tujuh hari, Allah mengurniakan hari Jumaat sebagai hari penuh keberkatan dan itu adalah  peluang untuk meraih lebih ganjaran. Pastinya kurniaan ini, tidak boleh dipandang enteng, lalu dibiarkan sahaja hari Jumaat berlalu sebegitu sahaja. Rebutlah peluang untuk meningkatkan iman dan takwa. Semoga setiap Jumaat dapat diisi dengan bersedekah, berselawat, dan berzikir sesuai dengan tuntutan agama Islam.

Jangan lupa untuk membaca lebih banyak artikel menarik kami seperti:

Rujukan

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Shafiqolbu
  3. Radio Sinar

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.