Suka minum kopi?
Kemurungan ialah salah satu penyakit mental yang biasa dilaporkan tetapi sukar dikesan kerana setiap pesakit ini menunjukkan sindrom-sindrom psikiatri yang berbeza.
Namun, kajian mendapati bahawa simptom utama dalam kes kemurungan adalah disebabkan oleh gangguan atau kehilangan fungsi monoaminergik hormon seperti norepinephrine, dopamine dan 5-hydroxytryptamine yang berada dalam otak manusia. Hal ini dibuktikan melalui ujian klinikal terhadap haiwan dengan cara mengenal pasti simptom kemurungan kepada haiwan melalui pengurangan tahap hormon tersebut.
Sehingga kini, terdapat 4 jenis ubatan yang biasa digunakan untuk merawat penyakit kemurungan ini iaitu jenis anti kemurungan tricyclic, pengambilan serotonin terpilih, pengambilan semula serotonin-norepinephrine dan penyekat monoamina oxidase (kesemua ubatan ini perlu mendapatkan preskripsi daripada doktor yang bertauliah sahaja).
Malangnya, terdapat beberapa kes yang melaporkan kesan sampingan akibat pengambilan ubatan tersebut seperti ketidakstabilan pergerakan, pening, tremor (terketar-ketar), masalah pencernaan, kencing tidak lawas, nafsu seks yang menurun dan pertambahan berat badan yang tidak terkawal.
Berdasarkan analisis dan kajian lepas, kopi didapati kaya dengan sumber sebatian bioaktif yang boleh memberikan kesan farmakologikal (perubatan) yang pelbagai.
Pertama sekali, kopi kaya dengan kandungan asid caffeoylquinic dengan sebatian 5-caffeoylquinic acid (5-CQA) merupakan kandungan tertinggi dalam kopi.
Kajian mendapati 5-CQA ini berpotensi sebagai agen antimikrob terhadap beberapa mikroorganisma seperti S. marcescens dan E. cloacae. Bahan ini juga menunjukkan kesan antiradang bagi model haiwan.
Kemasukan bahan 5-CQA ini ke dalam tikus berjaya mengurangkan kandungan gula dan lemak dalam darah tikus tersebut.
Selain itu, kopi mengandungi beberapa sebatian alkaloid seperti kafein, theobromine dan theophylline. Bahan-bahan ini merangsang sistem saraf tubuh, meningkatkan peredaran darah dan pernafasan selain memberi kesan diuretik (penyingkiran air dari tubuh melalui air kencing).
Di samping itu, sebatian alkaloid dalam kopi membantu ubatan antikanser menjadi lebih bertindak balas dengan sel kanser kolon dan pankreas.
Kajian lepas juga melaporkan tindakan kafein dalam membantu regulasi tahap glukosa, lipid dan insulin dalam darah menjadikannya agen anti diabetik yang berpotensi besar.
Pengambilan kafein dalam diet seharian secara umumnya dikaitkan dengan pengambilan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Sehingga kini, terdapat banyak kajian yang sedang mencari dan membuktikan kebaikan pengambilan kopi dan kesannya ke atas penyakit kemurungan.
Tahun 1984 – 1989: Ruusunen dan rakan-rakan melakukan kajian ke atas 2232 subjek lelaki dewasa dan 2006 subjek wanita dewasa di negara Finlad yang menyimpulkan perhubungan yang kuat antara pengambilan kopi ke atas risiko kelakuan kemurungan yang lebih rendah.
Risiko relatif kemurungan dalam peminum kafein tegar yang mengambil lebih daripada 813 ml kopi sehari berkurangan sebanyak 28% berbanding mereka yang tidak minum kopi, dalam tempoh 6 tahun kajian tersebut dan dipantau sehingga 11 tahun berikutnya.
Tahun 1989: Ratliff-Crain dan rakan-rakan mengkaji kesan dos atau amaun kafein dalam minuman kopi ke atas tahap tekanan perasaan 20 lelaki dewasa dan 20 perempuan dewasa di Amerika Syarikat selama satu minggu.
Mereka merumuskan bahawa pengambilan kafein akan mengurangkan kesan emosi yang negatif dan subjek yang tidak mengambil kafein secara sederhana akan mula menunjukkan gejala tekanan perasaan.
Tahun 1996 – 2006: Kajian Lucas dan rakan-rakan ke atas wanita dewasa di Amerika Syarikat mendapati terdapat trend pengurangan gejala awal kemurungan dalam kalangan subjek yang mengamalkan minuman kopi, dengan risiko relatif kemurungan berkurangan mendadak sebanyak 68 hingga 95%. Risiko tersebut dipantau dalam tempoh 10 tahun.
Tahun 2014: Guo dan rakan-rakan turut menjumpai perhubungan antara pengambilan teh dan kopi dengan risiko kemunculan awal gejala kemurungan dalam kalangan lelaki dewasa dan wanita dewasa di Amerika Syarikat.
Kajian ini menunjukkan peminum kopi tegar dengan 4 cawan atau lebih kopi sehari mempunyai nisbah kebarangkalian untuk kurang menunjukkan simptom awal kemurungan sebanyak 1.38 kali ganda berbanding peminum jus buah, 0.98 kali ganda berbanding peminum kopi biasa dan 1.30 kali ganda berbanding peminum minuman bergas.
Walau bagaimanapun, ujian klinikal yang yang mengaitkan kesan kafein ke atas kelakuan kemurungan tidak menunjukkan hasil yang tetap. Hal ini diterangkan dengan kehadiran faktor lain seperti sebatian flavonoid dalam minuman kopi yang boleh mengganggu kesan kafein.
Kajian Loke dan Meliska pada tahun 1984 ke atas 12 pelajar lelaki dan 12 pelajar perempuan mendapati kumpulan yang mengambil kafein adalah lebih peka dan tajam dengan persekitaran berbanding mereka yang tidak mengambil kafein. Namun, pengambilan kafein tidak boleh dikaitkan dengan perubahan mood subjek yang dikaji.
Secara biokimia, kafein didapati mengaktifkan neuron noradrenaline dan bertindak dengan sistem dopaminergik dalam tisu saraf kita.
Kafein dilaporkan menyerupai atau meniru kesan penerimaan dopamin yang akan mewujudkan sensasi kelegaan atau kegembiraan.
Walaupun terdapat kesan kesihatan yang baik daripada pengambilan kopi, kesan sampingan yang buruk akan berlaku sekiranya amaun kopi yang diminum terlalu banyak. Secara umumnya, antara kesan sampingan pengambilan kopi yang terlalu banyak adalah seperti:
Bagi ibu yang sedang hamil, kajian lepas ada mengaitkan pengambilan kafein yang berlebihan dalam kalangan ibu yang hamil dengan masalah ke atas bayi yang dikandung seperti peningkatan kadar denyutan jantung bayi, masalah jantung bayi serta masalah kepada ibu itu sendiri seperti tekanan darah tinggi dan kencing kotor.
Pengambilan kafein dalam minuman kopi khususnya menawarkan banyak khasiat perubatan terutamanya dari segi kesihatan mental.
Namun, pengambilannya mestilah dalam dos yang sederhana bagi mengelakkan terjadinya komplikasi atau kesan sampingan yang memudaratkan tubuh.