Pernah terbaca atau mengetahui tentang kanser perut? Jom ketahui punca dan tanda-tanda kanser perut.

Kanser perut berlaku apabila sel-sel kanser terbentuk pada lapisan perut.Jenis kanser ini sering disebut sebagai adenocarcinoma.

Walaupun bilangan kes kanser perut semakin menurun, kanser ini sangat sukar dikenalpasti.Sel-sel kanser yang membahagi tanpa kawalan akan membentuk tumor.

Proses ini berlaku secara perlahan (mengambil masa bertahun-tahun) dan mampu merebak ke kawasan organ yang lain.

1. Kepenatan

2. Perut terasa kembung selepas makan

3. Rasa kenyang walaupun hanya makan sedikit sahaja

4. Pedih uluhati yang teruk dan berterusan

5. Ketidakhadaman yang kerap

6. Mual yang berterusan tanpa sebab

7. Sakit perut terutamanya selepas makan

8. Kerap muntah

9. Kehilangan berat badan yang abnormal

10. Berak berdarah

Kebanyakan gejala-gejala ini sering diabaikan oleh pesakit kerana dianggap sebagai sakit biasa. Akibatnya, peluang untuk sembuh daripada kanser ini semakin nipis.

Ramai juga dalam kalangan pesakit kanser perut yang langsung tiada simptom yang jelas dan menyebabkan kanser hanya didiagnos pada peringkat yang kritikal.

Faktor Risiko Kanser Perut

kanser perut

Imej via Mayo Clinic

1. Pesakit limfoma

2. Jangkitan bakteria H. pylori (jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan ulser)

3. Ketumbuhan pada bahagian pencernaan yang lain.

4. Polip pada perut (ketumbuhan tisu abnormal pada lapisan perut)

5. Berusia 50 tahun ke atas

6. Lelaki

7. Perokok

8. Mempunyai sejarah keluarga yang berpenyakit kanser perut

9. Orang Asia terutamanya Korea dan Jepun, warga Amerika Selatan, atau keturunan Belarusia

10. Diet yang tinggi garam dan makanan terproses.

11. Makan terlalu banyak daging

12. Pengambilan alkohol berlebihan

13. Tidak bersenam

14. Tidak menyimpan makanan dan memasak dengan betul

Bagaimana Kanser Perut Dikenalpasti?

Disebabkan kanser perut jarang menunjukkan simptom pada peringkat awal, kanser ini selalunya sukar dikenalpasti sehingga ia merebak.

Untuk mendiagnos penyakit ini, pakar akan menjalankan pemeriksaan fizikal untuk mengelpasti sebarang tanda-tanda.

Ujian darah serta ujian kehadiran bakteria H. pylori juga lazim digunakan.

Lebih banyak ujian diagnostik yang perlu dijalankan jika pakar mendapati sebarang tanda-tanda kanser perut pada pesakit.

Ujian diagnostik secara spesifik untuk mencari ketumbuhan dan keabnormalan lain dalam perut dan esofagus boleh dilakukan dengan menjalankan pemeriksaan berikut:

1. ‘upper gastrointestinal endoscopy

2. biopsi

3. ujian pengimejan seperti ‘CT scans’ dan X-ray

Rawatan Kanser Perut

Kebiasaannya, kanser perut dirawat dengan kaedah berikut:

1. Kemoterapi

2. Terapi radiasi

3. Pembedahan

4. ‘Immunotherapy’ seperti vaksin dan ubatan

Kaedah rawatan ditentukan berdasarkan peringkat kanser dan lokasi asal sel kanser.

Umur dan keadaan kesihatan juga diambil kira untuk menentukan kaedah rawatan.

Selain merawat kanser, tujuan rawatan juga adalah untuk menghalang sel kanser daripada merebak ke organ lain seperti jantung, nod limfa, tulang dan hati.

Peluang untuk sembuh lebih tinggi sekiranya diagnosis dilakukan semasa peringkat awal lagi.Jika asal sel kanser tidak diketahui, semakin sukar untuk mendiagnos dan mengenalpasti peringkat kanser.

Hal ini juga menyebabkan kanser sukar dirawat.Ujian klinikal membantu menentukan sama ada prosedur perubatan baru, peranti, atau rawatan lain adalah berkesan untuk merawat penyakit dan simptom tertentu.

Awasi Bahaya Kanser Perut

Setakat ini, masih tiada lagi cara yang paling berkesan untuk menghalang diri daripada menghidap kanser perut.Namun begitu, risiko menghidap kanser ini boleh dikurangkan dengan cara berikut:

1. Mengamalkan diet yang sihat dan penuh nutrisi yang diperlukan

2. Mengawal berat badan dan banyak melakukan aktiviti fizikal

Berat badan ideal penting bagi mengelakkan obesiti yang menjadi punca kepada banyak penyakit berbahaya.

3. Mengelakkan penggunaan tembakau

Penggunaan tembakau boleh meningkatkan risiko kanser perut proksimal (bahagian perut yang paling dekat dengan esofagus).

Penggunaan tembakau meningkatkan risiko untuk pelbagai jenis kanser lain.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa tembakau merupakan penyebab untuk kira-kira satu pertiga daripada semua kematian kanser.

Sekiranya anda tidak menggunakan tembakau, jangan mulakan.

4. Merawat jangkitan H. pylori

Dalam kajian terbaru, masih belum jelas sama ada pesakit yang dijangkiti bakteria ini yang tidak mempunyai simptom perlu diberi antibiotik ataupun tidak.

Kajian lepas mendapati bahawa antibiotik akan mengurangkan bilangan luka pra-kanser di dalam perut dan mengurangkan risiko kanser perut.

Walaubagaimanapun, banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk memastikan perkara ini. Walaupun kanser perut dianggap sebagai penyakit yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, pengetahuan tentang kanser ini amat penting.

Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Segera dapatkan nasihat daripada pakar sekiranya anda mempunyai risiko yang tinggi terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser. Jalankan ujian genetik untuk memastikan kesihatan anda terjamin.

Rujukan

Jemput juga baca artikel kanser lain tulisan kami. Contohnya seperti kanser rahim, kanser usus dan kanser limfoma.

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.