“Asyik-asyik main!”
“Semua benda nak jadi mainan!”
Anak-anak hari ini ‘sibuk’ memenuhi jadual yang disusun oleh ibubapa mereka. Sekolah, tuisyen, kelas petang dan pelbagai jadual akademik anak-anak menjadi penanda aras ‘the perfect child’ idaman ibubapa. Sehinggakan kita kadangkala ‘menyekat’ anak-anak dari bermain.
Kadang-kadang kita terlupa, hari ini kita jadi ‘hebat’ kerana sebahagian perjalanan kanak-kanak kita dulu diisi dengan main ‘polis-sentri’, main masak-masak bawah rumah, ‘main tanah’, main biji saga, main cakap depan kipas, berebut colour power rangers dan macam-macam lagi permainan yang kita cipta sendiri.
Imej ‘the perfect parents’ yang kita sendiri cipta melupakan kita bahawa melalui permainan, sebenarnya kita dahulu belajar berimaginasi, bertolak ansur, menunggu giliran, menghormati hak orang lain, mencuba pelbagai ‘watak’ lakonan dan pelbagai nilai yang tidak ada dalam ‘buku akademik’.
Dr Maria Montessory, pakar pendidikan anak-anak menekankan bahawa permainan penting untuk menjadikan anak aktif, pandai membuat pilihan dan membantu perkembangan otak. Terutamanya permainan yang menggalakkan perkembangan sensory-motor, cognitive dan social-emotional anak-anak. Di sinilah peranan permainan dan pembentukan psikologi sihat anak-anak.
Dalam psikiatri, kalau berhadapan dengan kanak-kanak yang mengalami trauma, gangguan emosi, autism dan sebagainya, antara sebahagian dari ‘rawatan’ yang kami berikan ialah ‘play therapy’. Ya, rawatan BERMAIN! That’s how therapeutic play can be for the children.
Kalau kita rujuk sirah, kita akan bertemu dengan hadith kisah Aisyah R.A dengan anak patungnya, Abu Umair dengan burung ‘nughar’ dan Hussain R.A dan binatang kecil. Kesemuanya disaksikan oleh Baginda SAW. Sahabat yang hebat, tetapi ada sisi lain dalam usia kecil mereka bersama dengan permainan mereka.
Pengarang buku Cara Mendidik anak mengikut Sunah rasulullah SAW, Muhammad Nur Abdul Hafiz Suwaid menggariskan 3 kkriteria mainan yang baik untuk anak-anak.
– mainan yang melatih jasmani dan kesihatan anak-anak
– mainan yang melatih anak-anak menyusun dan mengawalnya sendiri
– mainan yang mendorong fikiran dan mempelajari/mencuba kemahiran orang dewasa
Tak perlu berhabis dengan mainan yang mahal untuk anak-anak. Kadang-kadang kotak, pinggan plastik, pasir, ‘buble wrap’ dan sebagainya lebih memberi ‘kepuasan’ buat anak-anak ni berbanding mainan dengan brand mahal.
Bersikap adil dengan anak-anak, beri ruang mereka menikmati zaman kanak-kanak tanpa mengabaikan tuntutan yang lain.
Kadangkala kita perlu tolak ego kita ketepi dan katakan, “mainlah”, sambil dalam hati niatkan semoga Allah kurniakan dari permainan ini suatu pengalaman yang akan membantu mereka menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah kelak.