Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Ianya merupakan sesuatu yang normal tetapi kita sebagai manusia hendaklah belajar daripada melakukan kesilapan yang sama jika ingin menjadi seseorang yang berjaya dalam hidup.
Ibu bapa merupakan antara orang yang mendidik dan mengajar anak-anak apabila mereka melakukan kesilapan. Sesetengah cara yang digunakan oleh ibu bapa dalam memberikan tunjuk ajar apabila anak-anak melakukan kesilapan boleh diterima oleh mereka. Tetapi, ada juga hukuman yang tidak boleh diterima.
Mari kita lihat input menarik daripada Dr Taufiq Razif tentang cara hukuman yang bahaya pada anak. Antara cara tersebut ialah:
1. Pukul Muka.
Pukulan di muka dan kepala bukan sahaja dilarang di dalam agama boleh juga menyebabkan kecederaan dalaman yang lebih parah seperti gegeran pada otak ( concussion ) dan juga perdarahan di dalam otak.
2. Menampakkan kemarahan secara melampau.
Kesalahan anak ada masanya perlu dibetulkan dengan hukuman tetapi apabila kita sebagai ibubapa menghukum mereka dalam keadaan emosi yang tidak stabil anak akan menganggap hukuman yang kita berikan itu sebagai pemuas nafsu amarah kita.
Jangan terkejut kalau anak kita boleh berdendam dengan kita kalau kita terus menghukum mereka dengan kemarahan yang tidak terkawal.
3. Memukul sehingga cedera atau luka.
Rotan dibolehkan dalam agama tetapi jangan sampai meninggalkan lebam atau bekas. Lebam itu pun sendiri sebenarnya terhasil daripada pembuluh darah yang pecah di bawah kulit. Sebenarnya rotan dibolehkan sebagai simbolik hendak mendidik sahaja. Bukan sebagai cara hendak melepaskan rasa marah mak ayah pada anak sendiri.
4. Hypercritical dengan anak sendiri.
Anak tertumpah air sedikit kita bebel.
Anak tersilap sikat rambut sedikit kita marah.
Anak tidakk sengaja tumpahkan makanan sedikit pun kita melenting.
Anak tersalah pakai selipar pun kita sudah mula naik angin dan membebel tidak berhenti.
Mak ayah yang hypercritical ini bukannya tidak sayang anak tetapi ada benda yang tidak selesai dengan emosi dalamannya. Kalau tidak dikawal, lama kelamaan ianya boleh bertukar menjadi penderaan lisan tanpa sedar ( verbal abuse ).
5. Memaki dan mengherdik tidak berhenti.
Emosi anak kita tersangat rapuh. Bukan cuma fizikal anak sahaja sedang berkembang, emosi mereka pun sebenarnya sedang berkembang. Apa sahaja benda yang boleh mencederakan perasaan akan sangat membantutkan perkembangan emosi anak kita.
Sampai satu tahap makian dan herdikan ibubapa boleh bertukar menjadi penderaan emosi ( emotional abuse ). Anak-anak yang biasa terkena penderaan emosi ini akan tertinggal dalam pelajaran, kurang keyakinan diri dan akhirnya boleh bersikap ganas terhadap kawan-kawan dan juga adik beradiknya sendiri.
*Dengan perkongsian ini, diharapkan akan dapat membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya hukuman yang diberikan kepada anak-anak tidak membawa kepada penderaan fizikal ataupun mental. Hal ini kerana anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang tiada gantinya.
Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.
Kongsikan Artikel ini
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.