Kebiasaannya, kita biasa melihat bahawa perkahwinan diadakan pada waktu cuti persekolahan. Jika sebut mengenai perkahwinan, kita boleh mengagak siapa yang lebih teruja iaitu kaum wanita. Semua orang menginginkan perkahwinan yang indah dan serba sempurna. Itu memang tidak dapat dinafikan.
Akan tetapi, setiap mahligai yang dibina mesti akan ada halangannya. Oleh itu, setiap pasangan mestilah berusaha untuk menangani segala cabaran yang mendatang supaya tidak membawa kepada penceraian. Jom, kita lihat serba sedikit mengenai faktor penceraian daripada Dr Hana Hadzrami.
7 Faktor Penceraian ialah:
1. Berkahwin terlalu awal atau terlalu lambat.
Kajian menunjukkan kadar perceraian adalah tinggi bagi pengantin umur belasan tahun dan juga pengantin pada umur 30 tahun keatas. Perkahwinan selepas umur 32 tahun mempunyai risiko penceraian 5% bagi setiap tahun. Kajian juga menunjukkan umur lewat 20an adalah masa yang terbaik untuk berkahwin. Jarak umur terlalu jauh antara pasangan juga meningkatkan risiko perceraian (3% bagi setiap perbezaan tahun).
2. Suami yang tidak bekerja sepenuh masa.
Suami yang bekerja separuh masa mempunyai risiko perceraian lebih tinggi (3.3%) berbanding yang bekerja sepenuh masa (2.5%). Jenis pekerjaan isteri pula tidak mempengaruhi perceraian.
3. Tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Walaupun nampak tidak adil namun kajian menunjukkan pasangan yang tidak menamatkan persekolahan berisiko 30% lebih tinggi untuk bercerai berbanding mereka yang menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat kolej.
4. Mereka yang menghina pasangan. Kajian oleh Gottman menunjukkan 4 sifat jahanam yang boleh meramalkan perceraian dengan tepat:
Mengkritik pasangan secara ad hominem. Mereka melabel setiap kesalahan yang dilakukan pasangan sebagai sifat sebenar dengan niat untuk menyerang pasangan.
Menghina pasangan. Memburuk-buruk dan merendah-rendahkan pasangan dengan niat untuk menghinanya.
Bersifat defensif. Berlakon sebagai mangsa apabila didapati berbuat salah dan menyalahkan pasangannya pula.
Bersifat membatu. Sengaja tidak mengendahkan pasangan semata-mata untuk menyakitinya.
5. Mereka yang berlebih-lebihan gembira dan mempamerkan kebahagiaan melampau sewaktu mula berkahwin.
Adalah normal untuk pasangan berasa gembira diawal perkahwinan. Namun mereka yang gembira hingga terbalik dunia lebih cenderung bercerai kerana sukar mempertahankan paras kegembiraan yang sama untuk masa yang lama. Mereka yang kurang dramatik diawal perkahwinan mempunyai masa depan yang lebih cerah.
6. Sering mengelak untuk berbincang sewaktu dilanda konflik.
Kajian menunjukkan suami yang sering mengelak sewaktu melalui saat sukar berisiko tinggi untuk bercerai.
7. Pasangan yang menggambarkan perkahwinan mereka secara negatif.
Contohnya tidak suka pada pasangan, tidak menunjukkan semangat berpasukan, menceritakan keburukan pasangan dan menyatakan perasaan kecewa terhadap kehidupan perkahwinan mereka.
*Dengan perkongsian ini, diharapkan akan dapat membantu setiap pasangan yang akan berkahwin dan yang sudah berkahwin supaya dapat membina mahligai yang bahagia sehingga ke syurga.
Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.
Kongsikan Artikel ini
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.