Ekolalia. Apakah itu ekolalia?

Ekolalia adalah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan apabila seseorang kanak-kanak mengulang atau meniru kata-kata yang didengarinya. Sebagai contoh:

Ibu: Adik nak biskut?
Adik: Biskut.
Ibu: Nak makan nasi?
Adik: Nasi.

Sama seperti contoh di atas, anak buah saya yang berusia setahun setengah juga memberikan respon seperti di atas. Ekolalia juga boleh berlaku apabila kanak-kanak mengulang semula apa yang didengarnya pada jangka masa yang lalu. Seperti contoh, dialog dari rancangan televisyen yang ditontonnya pada waktu pagi.

Namun, persoalan yang paling penting:

Adakah Ekolalia Normal?

Jawapan mudah: YA, tetapi dalam satu jangka masa yang terhad sahaja.

Apa maksudnya?

Ekolalia adalah salah satu peringkat yang akan dialami oleh kanak-kanak untuk membentuk kemahiran pertuturannya. Mereka akan mengulang semula apa yang didengarnya, dan dari situ mereka akan mula memanipulasi perkataan yang didengarnya untuk membina ayat sendiri apabila mereka semakin dewasa. Jadi pada peringkat kanak-kanak, ekolalia ada penting.

Namun, terdapat kanak-kanak yang tidak meninggalkan fasa ekolalia. Mereka akan terus-menerus mengulangi perkataan yang didengari, tanpa menghasilkan ayat atau ekspresi sendiri. Ada kanak-kanak yang tidak bercakap langsung, kecuali mengulang semula dialog yang didengarnya dari televisyen.

Ekolalia jenis ini adalah tidak normal, dan merupakan petunjuk bahawa kanak-kanak tersebut mengalami masalah bahasa dan pertuturan.

Jadi pada peringkat umur mana ekolalia dianggap bermasalah?

ekolalia

facebook.com

Berikut adalah fasa-fasa ekolalia mengikut umur:

  • 1 – 2 Tahun
    Kanak-kanak akan kerap mengulangi percakapan orang dewasa. Ini adalah normal.
  • 2 – 3 Tahun
    Ekolalia masih wujud, namun kanak-kanak mula menggunakan perkataan mereka sendiri. Mereka mula kurang mengulang semula percakapan orang dewasa untuk mengekspresikan diri.
  • 3 Tahun Ke Atas
    Ekolalia adalah minimal. Pada peringkat ini mereka akan menghasilkan ayat mudah sendiri dan kurang menggunakan pengulangan kata-kata.

Delayed echolalia, atau juga dikenali sebagai ekolalia lewat; seringkali digunakan oleh kanak-kanak dalam pelbagai peringkat umur. Anak anda mungkin mengulang semula dialog dari filem kegemaran mereka dan melakonkan semula babak kegemaran mereka. Itu tak mengapa! Itu sekadar menunjukkan mereka begitu gemarkan filem tersebut.

Namun jika anak anda kerapkali mengulang dialog atau ayat dari satu filem saja dan sentiasa mengulanginya tidak mengikut ketika, ia mungkin satu petunjuk kepada masalah lain.

Sebagai contoh, anak anda mungkin peminat besar filem Frozen, bukan? Mungkin anda ada nampak mereka mengibas rambut mereka sambil menyanyikan “Let It Go” di depan cermin. Mungkin sambil ambil langsir dan ikat dekat leher ala Elsa. Itu adalah normal!

Sangat normal, kerana ia membuktikan anak anda ada minatnya yang tersendiri. Namun apabila ayat atau dialog yang sama dari Frozen diulang-ulang tak kira masa dan pada situasi yang tidak sepatutnya, berkemungkinan terdapat masalah di situ.

Saya risau anak saya ada ekolalia! Apa perlu saya buat?

Penyebab ekolalia adalah berbeza-beza dari seorang kanak-kanak ke yang lain. Mungkin Adik A berekolalia kerana dia selesa mengulang sesuatu dari filem kegemarannya. Mungkin Adik B berekolalia kerana dia tidak mempunyai indeks kosa kata (vocabulary) yang cukup bagi peringkat umurnya. Dan pelbagai lagi penyebab yang boleh menyebabkan ekolalia.

Jadi adalah disarankan jika melebihi 3 – 4 tahun, dan anak anda masih mengulang kata-kata anda sentiasa, bawa mereka berjumpa dengan Terapis Pertuturan-Bahasa dengan segera. Mereka mempunyai skil dan latihan untuk mengesan penyebab sebenar ekolalia, dan seterusnya melatih kanak-kanak untuk berhenti melakukannya.

Bertindak segera. Tindakan pantas anda merujuk kepada Terapis Pertuturan-Bahasa boleh membawa perubahan besar kepada anak anda semua.

Penulis: Aishah Kassim

Mahir dalam memberikan khidmat nasihat bagi meningkatkan kemahiran berkomunikaso bagi kanak-kanak dan orang dewasa. Merupakan seorang Terapis Pertuturan Bahasa atau secara ringkasnya disebut SLT (Speech & Language Therapist). Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.