Jemput baca artikel doa pelembut hati ini. Himpunan doa untuk melembutkan hati orang yang kita sayang terutamanya.
Mengikut pandangan kasar, kita pasti mengatakan bahawa akal dan minda adalah penguasa dalam setiap tubuh manusia. Kerana akal, kita boleh berfikiran waras dan membezakan yang mana baik dan buruk. Namun, dalam Islam, bukanlah akal yang menjadi penguasa, tetapi hati yang menjadi raja bagi tubuh manusia.
Hati sangat berpengaruh dalam tindak-tanduk seharian manusia. Jika baik hatinya, maka akan baiklah seluruh kehidupannya dan sebaliknya. Seperti mana dalam hadis Nabi saw,
Maksudnya, “Ketahuilah sesungguhnya pada tubuh manusia itu terdapat segumpal daging. Apabila ia bagus, seluruh tubuh bagus. Apabila ia rosak, seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah segumpal daging itu ialah hati.” (HR Muslim)
Seorang ulama pernah mengatakan, “Hati adalah raja. Ketika yang merawatnya bagus maka rakyatnyapun bagus.” (Lihat Kitab Syarah Arbain Nawawi, Yahya bin Syarafuddin, hal-29, hadis ke-6) Malah, terdapat hadis yang diriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sepasang mata adalah petunjuk. Sepasang telinga adalah corong. Lisan adalah juru bicara. Kedua tangan adalah sayap. Perut adalah kasih sayang. Limpa adalah senyuman. Paru-paru adalah jiwa. Kedua pinggang adalah tipu daya. Dan hati adalah raja. Ketika rajanya bagus, maka rakyatnya pun bagus. Dan jika rajanya rosak maka rakyatnya pun rosak.”
(HR Ibnu Hibban, Abu Syaikh dan Abu Nu’aim).
Begitulah peri pentingnya fungsi hati bagi manusia. Oleh sebab itu, pelbagai nasihat dan amalan yang diajarkan kepada kita agar hati kita sentiasa baik.
Racun bagi hati itu ada 4 perkara, iaitu:
#1 Banyak Berkata-kata
Banyak ayat al-Quran dan sabda Rasulullah saw serta ucapan salafus soleh yang memperingatkan kita tentang bahaya dan kerosakan lidah. Diantaranya firman Allah swt yang bermaksud, “Tiadalah suatu perkataan pun yang diucapkannya, melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, Ayat 18)
Nabi saw bersabda, “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sungguh, banyak berkata-kata cenderung untuk merosakkan hati. Ini kerana, lidah yang tidak bertulang ini berisiko untuk melukakan hati orang lain, mengumpat, menfitnah juga mengatakan perkata yang lagha. Itulah sebabnya, Nabi berpesan agar lebih baik diam jika kita tak mampu mengatakan perkara yang baik-baik.
#2 Banyak Makan
Sedikit makan itu melembutkan hati, menguatkan daya fikiran, serta melemahkan hawa nafsu dan sifat marah. Sedangkan banyak makan, akan mengakibatkan sebaliknya. Allah berfirman,
“…Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raf, Ayat 31)
Berlebih-lebihan dalam makan, akan mengakibatkan banyak hal buruk. Ia boleh menggerakkan anggota tubuh untuk melakukan maksiat, serta menjadikan kita bermalas-malasan dan merasa berat untuk taat dan menunaikan ibadah. Cukuplah dua hal ini sebagai suatu keburukan asbab daripada banyak makan. Akhirnya, ia boleh merosakkan hati yang menjadi raja bagi tubuh.
#3 Banyak Memandang
Dari Jarir berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah tentang pandangan yang tiba-tiba (tidak sengaja). Beliau menjawab, “Alihkan pandanganmu.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ahmad)
Islam mengajar kita untuk menjaga dan menundukkan pandangan. Dalam Surah an-Nur ayat 30-31, Allah turut memerintahkan agar lelaki dan wanita, kedua-duanya menjaga pandangan dan memelihara kehormatan.
Kita biasa mendengar pepatah, ‘dari mata turun ke hati’. Begitulah kaitannya mata dan hati, jika baik yang dipandang mata, maka baiklah apa yang jatuh ke dalam hati, namun, jika perkara yang buruk yang dipandang oleh hati, maka buruklah perkara yang jatuh ke dalam hati.
#4 Banyak Pergaulan
Islam sangat menitik-beratkan silaturrahim sesama manusia. Namun begitu, kita perlu berhati-hati dalam memilih sahabat. Salah memilih sahabat, ia bakal merosakkan diri kita sendiri.
Rasulullah saw bersabda, “Seseorang itu mengikuti agama sahabatnya. Maka hendaklah kalian memperhatikan siapa sahabat kalian.” Rasulullah saw turut bersabda, “Janganlah kamu berteman melainkan dengan orang mukmin dan janganlah memakan makananmu, kecuali orang bertaqwa.” (HR Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi)
Berkata Bilal bin Sa’ad, “Saudaramu yang selalu mengingatkanmu akan kedudukanmu di sisi Allah adalah lebih baik bagimu, daripada saudaramu yang selalu memberimu dinar harta benda.”
Ubat kepada hati itu ada 5 perkara seperti yang dikatakan oleh Abdullah al-Antaki. 5 perkara ini mampu melembutkan hati yang keras dan mengubati hati dari kerosakan. 5 perkara itu adalah:
#1 Bergaul dengan orang yang soleh, iaitu dengan cara menghadiri majlis-majlis ilmu. Dan dalam masa yang sama berusaha untuk menjauhi mereka yang hanyut dalam kesalahan dan maksiat.
#2 Membaca al-Quran disertai tadabbur makna-maknanya.
#3 Mengosongkan perut adalah dengan cara berpuasa atau dengan cara mengambil sedikit sahaja dari yang halal. Dalam sebuah hadis marfu’ dikatakan, “Tiga perkara akan menjadikan hati keras, iaitu suka makan, suka tidur dan suka berehat.”
#4 Solat malam, iaitu melakukan qiyamullail. Solat sunat setelah bangun tidur di malam hari.
#5 Bersembah sujud di waktu menjelang Subuh, kerana dalam waktu ini terdapat ketenangan dan di sinilah waktu diturunkan rahmat dari Allah swt.
Doa adalah salah satu ibadah yang kita lakukan untuk memohon serta meletakkan pergantungan hanya kepada Allah swt. Allah juga Maha Membolak-balikkan hati.
Oleh itu, sangat wajar untuk kita sentiasa berdoa kepada Allah swt agar hati kita bersih dan lembut. Antara doa yang kita boleh amalkan untuk melembutkan hati, bukan setakat melembutkan hati kita, tetapi juga berdoa agar pasangan, anak-anak serta orang lain juga boleh berlembut hati, ialah:
#1 Ayat 1-5, Surah Taha
Doa Pelembut Hati ini adalah diambil daripada kisah Saidina Umar yang tersentuh hatinya ketika mendengar adiknya membaca ayat suci al-Quran. Pada waktu itu, Saidina Umar belum memeluk Islam. Beliau adalah seorang yang tegas dan garang, tetapi, hatinya menjadi lembut dan sangat terkesan pada ayat tersebut. Ayat itu adalah Ayat 1-5 Surah Taha.
Sesua untuk doa pelebut hati suami.
Maksudnya, “Taha. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini padamu supaya kau menjadi susah, namun sebagai peringatan untuk orang yang takut kepada Allah, iaitu diturunkan dari Tuhan yang telah menjadikan bumi berserta langit yang tinggi, (Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang bersemayam di atas ‘Arsy.” (Surah Taha, Ayat 1-5)
#2 Doa Nabi Daud Melembutkan Besi
Allah swt berfirman,
Maksudnya, “Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman), “Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud.” Dan Kami telah melunakkan besi untuknya, (iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang saleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Saba, Ayat 10-11)
Daripada dalil di atas, kita dapat mengetahui bahawa salah satu mukjizat Nabi Daud as adalah melenturkan besi dengan mudah. Seperti kita tahu, besi sifatnya keras dan sukar untuk dilenturkan kecuali dengan menggunakan suhu yang tinggi (api). Tetapi, kuasa Allah swt menyebabkan Nabi Daud dapat melenturkan besi hanya menggunakan tangan untuk membuat baju besi.
Oleh sebab itu, terdapat teks doa yang disandarkan kepada kebolehan Nabi Daud as melentur besi sebagai Doa Pelembut Hati. Dengan harapan, hati yang keras juga dapat dilembutkan dengan mudah seperti mana Nabi Daud as melenturkan besi yang keras dengan sangat mudah.
Teks doa itu adalah,
Maksudnya, “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi.”
#3 Ayat 12, Surah al-Hasyr
Maksudnya, “Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”
#4 Ayat 19, Surah as-Syura
Maksudnya, “Allah Maha Lembut kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada siapa saja yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah as-Syuraa, Ayat 19)
Hakikatnya, hanya Allah swt yang berkuasa memegang hati-hati manusia. Oleh itu, berdoalah dengan sepenuh keyakinan kepada Allah swt, bahawa Allah swt akan menjaga dan memelihara hati kita dari kekotoran dan kerosakan. Semoga hati kita lembut dan sentiasa bersih untuk menerima hidayah daripada Allah swt.
Bagaimana dengan artikel berkenaan Doa Pelembut Hati yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?
Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:
Rujukan: